Sunday, December 20, 2009

MINGGUAN MALAYSIA 20 DISEMBER 2009

GOMBAK 19 Dis. - Pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin, kini dalam persiapan terakhir untuk mencipta nama dalam Guinness World Book of Records melalui pendakian Gunung Kinabalu dan Menara Kuala Lumpur.


Beliau yang juga jurugambar Utusan Malaysia akan melakukan pendakian ke puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu sebanyak 111 kali dalam masa 111 hari sebelum meneruskan misinya dengan mendaki tangga menara Kuala Lumpur sebanyak 111 kali dalam tempoh seminggu.

"Semoga misi kali ini akan terus mengharumkan nama negara di mata dunia kerana jarang sekali rakyat Malaysia dapat mencipta rekod baru dunia dalam acara mendaki di negara sendiri.

"Selain itu, ia juga secara tidak langsung akan membantu mempromosikan kedua-dua destinasi tersebut," kata Mohd. Noor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas selesai menjalani latihan fasa terakhir sebagai persiapan untuk mendaki Gunung Kinabalu dan Menara Kuala Lumpur di Batu Caves di sini hari ini.

Projek itu dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dengan kerjasama UMNO Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan Sabah dan Terengganu, Taman-taman Sabah, Milo, syarikat telekomunikasi CSL, Menara Kuala Lumpur dan lain-lain.

Utusan Malaysia dan TV3 merupakan media rasmi sepanjang ekspedisi berkenaan berlangsung.

Untuk rekod, sepanjang tahun lalu, Mohd. Noor, 42, telah berjaya menyelesaikan beberapa misi seperti Pendakian Merdeka, Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur dan juga Pendakian Solo tanpa henti selama 24 jam di menara tersebut.

Selain itu, beliau juga pernah menganggotai pasukan Projek Malaysia-Everest '97 dan pendakian solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka pada tahun yang sama.

Kini berbekalkan slogan '1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia' yang bermaksud bermula dengan satu pendakian untuk sampai ke satu kemuncak bagi menyahut cabaran satu Malaysia, Mohd. Noor yakin usahanya akan berhasil.

Ketika ditanya mengenai misi seterusnya, Mohd. Noor berkata, beliau akan membawa anaknya yang kini berusia 6 tahun dalam projek yang dinamakan Everest 2016.

"Saya berharap agar satu lagi rekod baru dunia akan dicipta suatu hari nanti.

"Manusia termuda yang memegang rekod mendaki puncak Everest ketika ini berusia 15 tahun sedangkan anak saya pada 2016 nanti akan berusia 13 tahun," katanya - Mingguan Malaysia


Saturday, December 19, 2009

Misi Rekod Dunia Pendaki Solo

19/12/2009 4:52pm


BATU CAVES 20 Dis. - Pendaki solo negara yang juga jurufoto akhbar Utusan Malaysia, Mohd Nor Mat Amin, 42, kini dalam persiapan terakhir untuk mencipta nama dalam Guiness World Book of Records.

Beliau yang mula berkecimpung dalam sukan mendaki sejak menyertai Utusan pada 1993 sentiasa berusaha untuk mencipta pelbagai rekod baru.

“Setiap pendakian yang saya lakukan merupakan kenangan manis dalam hidup saya. Ia menjadi bertambah manis apabila berjaya mencipta rekod baru.

“Saya selalu berlatih untuk mengekalkan stamina dan tidak mengamalkan sebarang petua tertentu. Apa yang penting ialah persiapan minda,” katanya ketika ditemui selepas selesai menjalani latihan terakhir sebagai persiapan untuk mendaki Gunung Kinabalu dan menara Kuala Lumpur. - Utusan

Wednesday, December 16, 2009

LAYARI www.pendakisolo.com

Kepada semua pengunjung laman blog ini yang ingin mengetahui perkembangan lanjut mengenai Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010, sila layari Laman Web rasmi iaitu www.pendakisolo.com yang mana laman blog ini pula jarang dikemaskini oleh pendaki solo yang akan membuat cabaran untuk negara bermula 31 Disember ini.
Oleh itu untuk mengetahui perkembangan terkini, sila layari:  www.pendakisolo.com

Tuesday, December 8, 2009

KERATAN AKHBAR



www.pendakisolo.com


Salam sejahtera semua...
  Pendaki solo telah mewujudkan laman web rasmi bagi memudahkan semua pihak mengikuti perkembangan terbaru mengenai program Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 yang bermula 31 Disember ini.

  Web Master pendaki solo bekerja keras bagi memastikan info terkini masuk di dalam laman web rasmi ini terutama perkembangan terkini ketika pendakian dilakukan nanti
  Pendaki Solo akan update sendiri melalui mms atau sms ketika membuat pendakian dari masa ke semasa terutama ketika berada di Gunung Kinabalu nanti.
  Dalam Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 ini, penganjur memerlukan kos kewangan yang agak banyak kerana kos operasi terutama makan minum serta sewaan penginapan dan bagi urusetia amat mahal sekali.
  Adalah menjadi harapan, agar pelbagai pihak terutama sektor korporat tampil untuk sama-sama menjayakannya atas nama 1Malaysia.
 Dalam program fasa pertama ini, lebih 300 pendaki sokongan yang terdiri belia daripada seluruh negara terbabit dengan mendaki secara bergilir sehingga lah ianya berakhir pada 19 April 2010.

 

Saturday, December 5, 2009

GAMITAN GUNUNG TEBU


(Berita Harian - 5/12/09)
Oleh Hazran Mohamed

GUNUNG Tebu di daerah Besut, Terengganu, menjadi antara destinasi popular bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak. Cabaran mendaki puncak tertinggi serta meredah hutan belantara pasti meninggalkan kenangan sukar dilupakan terutama bagi mereka yang pertama kali menjejaki magis alam di destinasi ini.
 Bagi Kelab Kaki Redah TV3, Gunung Tebu menjadi pilihan untuk kami mengerah keringat menjejakinya dalam ekspedisi hujung minggu, baru-baru ini. Hasrat tetap diteruskan biarpun ketika perancangan dibuat, sudah tersiar laporan beberapa kawasan di Terengganu dilanda banjir.
 Namun, dek semangat berkobar-kobar, penulis dan rakan-rakan sekelab menyahut cabaran mendekati keindahan alam di Gunung Tebu... Ikuti catatan ini.
Sabtu
 9 pagi : Kami seramai 10 ahli Kelab Kaki Redah TV3, memulakan perjalanan ke pantai timur dari Sri Pentas. Kami menaiki dua kereta menyusuri Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju Besut.
 Sepanjang perjalanan, hujan lebat mencurah-curah. Kira-kira seminggu lalu, gelombang pertama musim tengkujuh dan banjir sudah melanda pantai timur termasuk di daerah Besut. Keadaan ini memaksa beratus-ratus penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sementara akibat rumah dinaiki air.
 Di benak fikiran kami, terfikir juga andai hujan berterusan, alamat terpadamlah hasrat mendaki Gunung Tebu. Sebaik memasuki sempadan Terengganu, hujan mula reda dan kami lega melihat cuaca cukup baik.
 3 petang : Kami singgah seketika di Kemaman untuk mengambil seorang lagi anggota ekspedisi iaitu Mohd Zahari Yusof. Beliau adalah Penasihat Khas Kelab Kaki Redah TV3 yang lebih mesra dipanggil ‘Abah’ di kalangan ahli kelab. Beliau adalah kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah Dungun yang cukup berpengalaman dan mahir mengenai selok-belok hutan.
 5 petang : Kami akhirnya tiba di Kampung Jabi dan menuju ke Lata Belatan yang terletak di kaki Gunung Tebu. Lokasi ini adalah pintu masuk ke Gunung Tebu.
 Perkara pertama yang dilakukan, kami mendaftar diri di pondok pengurusan Lata Belatan dan Gunung Tebu yang dikendalikan Jabatan Perhutanan.
 Kami dimaklumkan oleh kakitangan Jabatan Perhutanan, jika hujan lebat sepanjang hari, semua pengunjung tidak dibenarkan mendaki Gunung Tebu bagi mengelak terperangkap.
 Kami difahamkan, sebelum ini, kes pendaki tersesat atau hilang di Gunung Tebu kerap dilaporkan. Malah, kami dimaklumkan, dalam kejadian terbaru pada 27 November lalu, sekumpulan lima sahabat dikatakan sesat hingga terpaksa bermalam di hutan.
 Kami juga mendengar cerita kononnya Gunung Tebu agak ‘keras’ seperti yang diperkatakan penduduk tempatan.
 6 petang : Selesai urusan pendaftaran, tanpa membuang masa, kami terus ke tapak perkhemahan untuk mendirikan khemah sebelum hari gelap. Alhamdulillah, keadaan cuaca baik hingga ke tengah malam, cuma hujan renyai-renyai.
 Ahad
 8 pagi : Kami bersiap untuk memulakan pendakian. Keadaan cuaca, amat baik dan tidak ada hujan. Ini memberi harapan kepada kami untuk mencapai misi menawan Gunung Tebu.
 Ekspedisi mendaki Gunung Tebu adalah sebahagian daripada program latihan bersama ahli Kelab Kaki Redah TV3 dan Pendaki Solo Negara, Mohd Nor Mat Amin bersama ahli Kelab Rekreasi Kota, yang sedang mempersiapkan diri menawan Gunung Kinabalu, akhir tahun ini. Ini bagi mencipta rekod dunia mendaki Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari bermula 31 Disember ini.
 Mohd Nor yang sudah beberapa kali menawan puncak Gunung Tebu, menjadi ketua ekspedisi ini. Sebaik ahli kelab bersedia dengan kelengkapan masing-masing termasuk bekalan makanan dan minuman, kami memanaskan badan dengan membuat regangan otot.
 8.30 pagi : Kami mula bergerak memasuki trek pendakian menyusuri air terjun Lata Belatan yang sungguh mempesonakan. Kehijauan airnya membuatkan perasaan berbelah-bagi sama ada hendak meneruskan pendakian atau bersantai di air terjun itu.
 Ahli kelab iaitu Haizal, Junaidi dan Mohd Nor yang membawa kamera, tidak henti-henti merakamkan panorama alam semula jadi yang terhidang di depan mata.
 10 pagi : Selepas lebih sejam setengah meredah hutan dan mendaki, kami tiba di persimpangan yang membuatkan kami berhenti seketika bagi menentukan arah sebenar ke puncak Gunung Tebu.
 Ketika itu, barulah kami tersedar, rupa-rupanya trek yang kami lalui membawa kami kembali semula ke lokasi permulaan iaitu berhampiran tapak perkhemahan. Semuanya dek asyik menikmati keindahan air terjun Lata Belatan serta ghairah merakamkan foto, hingga terlupa kami perlu menyeberangi Sungai Cakah Dua untuk menuju ke laluan sebenar ke puncak Tebu.
 Kami seolah-olah kembali ke titik permulaan pendakian. Jam sudah menunjukkan 10.15 pagi. Laluan berbatu dan agak licin terpaksa kami tempuhi untuk menyeberangi Sungai Cakah Dua atau dikenali sebagai Sungai Y.
 Keadaan laluan selepas menyeberangi Sungai Cakah Dua agak mendatar dan kumpulan ekspedisi terpaksa melalui beberapa titian kayu. Kami akhirnya tiba dikem Sungai Cakah Dua untuk berhenti rehat seketika sambil membasahkan tekak.
 Dari sini, kami perlu menyeberangi satu lagi sungai. Dengan air sungai di paras bawah lutut, ada antara kami membuka kasut untuk mengelak sepatu basah. Lebar sungai ini pula lebih kurang empat meter saja.
 Selepas menyeberangi sungai, laluan ke puncak Tebu mula menegak. Tiga anggota baru Kelab Kaki Redah iaitu Sue, Shikin dan Razila mula terpisah antara satu sama lain. Sue dan Razila jauh di depan meninggalkan Shikin di belakang yang agak kepenatan selepas melalui laluan pendakian menegak.
 1.45 petang : Kumpulan kami tiba di kem Batu Mat Hasan. Kami berhenti rehat, menikmati bekalan makanan yang dibawa untuk menambah tenaga yang sudah hampir kehabisan dek laluan pendakian mencabar sepanjang kira-kira dua kilometer.

 Dari kem Batu Mat Hasan, jarak pendakian hanya tinggal 2.5 kilometer lagi untuk tiba di puncak gunung. Kami agak kecewa. Selepas berbincang dengan semua anggota, ekspedisi terpaksa dihentikan. Keputusan itu dibuat atas nasihat Abah dan Mohd Nor selepas mengambil kira jarak pendakian dan waktu yang sudah menunjukkan 2.30 petang. Jika pendakian diteruskan, besar kemungkinan kumpulan kami akan berdepan risiko keletihan. Ini kerana bekalan makanan tidak mencukupi selain terpaksa pulang ke tapak perkhemahan dalam keadaan gelap.
 Atas faktor itu, kami terpaksa memendam rasa kecewa dan menerima hakikat bahawa impian untuk menawan puncak Gunung Tebu tidak kesampaian. Untuk meredakan rasa kecewa, kami berazam untuk kembali ke gunung ini pada masa depan. Kami membuat keputusan untuk segera turun ke kaki gunung dan bersantai di air terjun.
 3 petang : Kami mengambil masa kurang dua jam menuruni gunung dan menuju ke lokasi sesuai untuk bersantai dan menghilangkan kepenatan. Lokasi dipilih bagaikan di tepian pantai dengan pasirnya yang memutih. Yang pasti, sebaik memasuki air sungai di Lata Belatan ini, segala rasa penat bagaikan hilang serta-merta. Lebih sejam berendam dalam air, nyata tidak cukup.
 Sepanjang ekspedisi ini, lebih 1,500 foto sempat kami rakamkan. Sebaik pulang, masing-masing sibuk memuat naik foto ke laman Facebook. Pelbagai komen diterima dari rakan-rakan termasuk ahli kelab yang tak dapat menyertai ekspedisi ke Gunung Tebu.
 Apa yang pasti, ekspedisi Gunung Tebu banyak meninggalkan kenangan kepada ahli kelab. Apatah lagi ahli baru yang menjadi ‘bahan’ sakat-menyakat oleh Abah dan Haizal. Antara situasi lucu yang tidak dapat dilupakan, Sue, Shikin dan Razila bagai berpakat ‘mengenakan’ Haizal dengan hidangan teh tarik dicampur garam.
INFO
•Ketinggian 1,037 meter dari aras laut.
•Jarak perjalanan hampir tujuh kilometer atau lima jam pendakian.
•Terletak di daerah Besut, Terengganu.
•Peserta ekspedisi perlu melapor diri di kaunter Pejabat Hutan, Air Terjun Lata Belatan.
•Gunung tertinggi di Terengganu.




Thursday, December 3, 2009

Akhbar TENGANUKITE KERAJAAN NEGERI TERENGGANU -1Nov 2009


Keratan akhbar Tenganukita  terbitan Unit Komunikasi  Kerajaan Negeri Terengganu mengenai Program Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 dalam ruangan IKON Anak Terengganu.

PENDAKIAN PUNCAK UMS

  Pendaki Solo dan Naib Cancelor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Y.Bhg. Brig. Jen. Prof. Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Hj. Ampon  akan mengetuai program Pendakian Puncak UMS bersama lebih 100 pensyarah dan kakitangan UMS pada 12 Dis ini.

  Program yang julung diadakan itu bertujuan untuk menggalakan seluruh warga kerja UMS supaya sentiasa sihat dan cergas dan ianya dijangka dijalankan pada setiap bulan pada masa akan datang.
  Ia juga sebagai menyemarakkan lagi program Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 yang dilakukan oleh pendaki solo negara yang mana UMS juga terbabit sebagai Penganjur Bersama.
  UMS akan menghantar lebih 150 orang belia daripada seluruh negara yang menuntut di UMS sebagia pendaki sokongan  dan juga  urusetia program Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010.

  Sementara itu, sebagai penganjur bersama UMS turut menyediakan pengangkutan sepanjang program ini berlansung sehinggalah tamah pada 19 April tahun depan.
  Disamping itu juga, UMS juga akan menyediakan beberapa perkhidmatan lain yang diperlukan semasa pendakian kelak.
  Program ini akan disiarkan dalam TV3 dan sisipan WOW akhbar Utusan Malaysia yang menjadi akhbar dan televisyen rasmi program Pendakian solo 1Malaysia 2009-2010.
  Pada 13 Dis pula, pendaki solo bersama team TV3 akan ke Kinabalu Park untuk pengambaran sekitar Timpohon Gate hingga pondok Layang-Layang untuk terbitan Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 dan terbitan sisipan Wow di akhbar Utusan Malaysia.
   

Wednesday, December 2, 2009

Pendakian solo naik imej negara

(Sinar Harian 2 Dis 2009)


  KUALA TERENGGANU - Pendaki solo negara, Mohd Noor Mohd Amin yang akan menggalas cabaran pada Pendakian Solo 1Malaysia giat menjalani latihan intensif bermula akhir Jun lalu.
  Selepas selesai menjalani latihan pendakian di tangga pangsapuri 10 tingkat, tangga Batu Caves, Gunung Tebu Terengganu dan latihan berenang.
  Terbaru, Mohd Noor giat menjalani latihan sehari dengan melakukan pendakian Bukit Besar Terengganu setinggi 800 meter.
  Pendakian Solo 1Malaysia bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak, 1Malaysia bermula dengan cabaran pendakian sebanyak 111 kali ke puncak Gunung Kinabalu dalam tempoh 111 hari dan cabaran kedua adalah pendakian tangga Menara Kuala Lumpur sebanyak 111 kali dalam tempoh seminggu.
  Pendakian sebanyak 111 kali Gunung Kinabalu akan dilakukan pada 31 Disember ini hingga 19 April 2010, sementara cabaran kedua akan bermula pada 1 hingga 7 Mei 2010.

  Pendakian yang dilakukan pendaki solo negara menjadi perintis dengan semangat 1Malaysia, bertujuan membuktikan kepada dunia bahawa di Malaysia juga mempunyai lokasi boleh dijadikan tempat mencipta dan memecahkan rekod dunia.

  Mohd Noor berkata, pemilihan Gunung Kinabalu dan Menara Kuala Lumpur dijadikan lokasi pendakian solo adalah kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri dan dilakukan di dalam negara sendiri atas semangat 1Malaysia, sebagai mewakili seluruh rakyat berbilang kaum.

  “Kejayaan itu juga akan menggalakkan semangat mencapai kejayaan dan menjadi satu contoh kepada seluruh rakyat negara ini, khususnya remaja serta belia untuk menyahut cabaran ekstrem di dalam negara sendiri bagi mencipta rekod bertaraf dunia,” katanya.
  Menurutnya, dalam usaha mencipta sakejayaan, seseorang itu harus berani ke hadapan atas nama 1Malaysia dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang ke seluruh dunia melalui sukan lasak dilakukan di dalam negara sendiri sebagai yang pertama di dunia, dan ia bukan sekadar hanya mengikut kejayaan telah dilakukan orang lain sebelum ini.

Terkini - PENDAKIAN SOLO 1MALAYSIA 2009-2010 (Sedutan WOW Utusan Malaysia 28/11/09

Oleh ABD. HALIM HADI
rekreasi@utusan.com.my

CABARAN rekod baru yang akan memasukkan nama dalam rekod dunia.
-----------------------
  SATU lagi rekod pendakian bakal dicipta oleh pendaki solo yang juga jurugambar akhbar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin selepas empat rekod pendakian Gunung Kinabalu dan Menara Kuala Lumpur dipegang beliau sebelum ini.

  Melalui projek Pendakian solo 1Malaysia itu, Mohd. Noor bakal melakar nama ke dalam Guiness World Book of Records dengan pencapaian 111 pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dalam masa 111 hari.
  Fasa pertama projek dijadualkan bermula pada 31 Disember 2009 hingga 19 April 2010, manakala fasa kedua akan disusuli dengan pendakian sebanyak 111 kali ke Menara Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 1 hingga 7 Mei 2010.
  Kegigihan terbaru Mohd. Noor itu didorong semangat untuk memartabatkan nama negara melalui slogan '1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia' sebagai inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian.
  Rekod pendakian terdahulu adalah Pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo tanpa henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).
  Mohd. Noor, 42, berkata, pendakian tanpa bantuan itu akan bermula pada pukul 7 pagi setiap hari di Gerbang Timpohon dan dijangka sampai ke Low's Peak (puncak) dalam masa tujuh hingga sembilan jam.

  "Kiraan satu pendakian akan bermula dari situ sehingga saya berjaya turun semula (Gerbang Timpohon).
  "Cabaran utama pendakian ke puncak setinggi 4,095 meter itu adalah perubahan cuaca terhadap suhu badan," ujar beliau ketika ditemui baru-baru ini.
  Sebagai persediaan, beliau yang mula berkecimpung dalam sukan mendaki sejak 1994 kini giat menjalani latihan yang diadakan di seluruh negara.
Persediaan
  Menurutnya, persediaan projek Pendakian Solo 1Malaysia bermula sejak awal tahun ini melalui latihan panjat tangga sebanyak dua hingga tiga kali seminggu, mendaki Gunung Tebu di Terengganu dan jelajah hutan bagi mengekalkan stamina sehingga hari acara.
  Mengulas perkembangan projek tersebut, Mohd. Noor berkata, pihak pengurusan kini sedang gigih merancang strategi untuk melicinkan peringkat-peringkat pendakian.
  "Sehingga kini kita bersyukur kerana beberapa pihak sudah menyatakan kesudian untuk berkerjasama sepanjang projek ini," ujarnya.
  Antaranya adalah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Pemuda UMNO Sabah, Taman-Taman Sabah dan Menara Kuala Lumpur.
  Sementara itu, Pemuda UMNO Sabah juga akan menghantar lebih 100 belia daripada seluruh Sabah menjadi ahli Pemuda UMNO Sabah untuk turut bersama-sama menjayakan pendakian solo yang dilakukan pendaki solo nanti.
  Namun, beliau mewakili pihak pengurusan projek sangat mengalu-alukan penajaan daripada syarikat swasta bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung.
  "Kos memasukkan pendakian ini ke dalam Malaysia Book of Records dan Guiness World Book of Records sahaja menelan belanja kira-kira RM160,000.
  "Itu belum mengambil kira kos untuk kerja-kerja logistik, perbelanjaan dan pengurusan kru yang terbabit," katanya.
  Sementara itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghantar lebih 120 orang pelajar manakala Pemuda UMNO Sabah juga akan menghantar lebih 120 belia untuk turut bersama-sama menjayakan pendakian solo itu nanti.
  Utusan Malaysia dan TV3 akan bertindak sebagai media rasmi sepanjang tempoh pendakian.