Wednesday, June 30, 2010

81,000 anak luar nikah berdaftar membimbangkan - IIM

IPOH 29 Jun - Angka yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa terdapat 81,000 anak luar nikah berdaftar ketika ini merupakan perkembangan yang membimbangkan.
Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, antara punca yang menyumbang kepada peningkatan gejala sosial tersebut ialah penyaluran maklumat tanpa batasan dan perubahan budaya masyarakat.
Menurutnya, sebanyak 55 peratus rakyat Malaysia dilaporkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai 'gila Internet' dan mereka mempunyai akses terhadap penyaluran maklumat melalui alam maya yang begitu luas.
''Perkenalan melalui Facebook dan laman sosial lain akhirnya mengundang kepada pergaulan bebas sehingga membawa kepada keterlanjuran dan sebagainya.
''Ini berlaku jika kita tidak memiliki benteng dan integriti diri yang kuat dalam era globalisasi kini,'' katanya pada Seminar Pengukuhan Integriti Pemimpin Masyarakat Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Sektor Sosio Budaya IIM, Hamilye Sham Harun.
Seminar sehari tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim.
Menurut Mohd. Tap, penyaluran maklumat secara berleluasa menyebabkan masyarakat terutama golongan muda lebih terdedah kepada budaya yang bertentangan dengan amalan masyarakat di negara ini dan tanpa disedari ia meresap ke dalam diri mereka.
Dalam hal itu, katanya, semua pemimpin masyarakat perlu memberi tumpuan dalam melaksanakan usaha pengukuhan integriti golongan belia yang merangkumi 11.8 juta atau 42 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.
Sementara itu Abdul Rahman berkata, pemimpin masyarakat perlu mempamerkan nilai-nilai integriti yang tinggi terlebih dahulu agar mereka dapat menjadi contoh kepada masyarakat.
''Sebagai 'duta integriti' dalam masyarakat, mereka harus terlebih dahulu menanamkan nilai-nilai terpuji dalam kehidupan seharian seperti mengamalkan budi bahasa yang baik, berakhlak mulia, amanah dan tinggi tahap akauntabiliti masing-masing,'' katanya. - Sumber Utusan Malaysia 30 Jun 2010

Saturday, June 26, 2010

Bukan sekadar produk lasak

Oleh RAJA JAAFAR ALI

"DUA ribu jenis barang, wow banyaknya," itulah reaksi pertama saya apabila diberitahu oleh si empunya pemilik kedai lasak, Extreme Response Gears, Raja Izdihar Raja Mohamede Kamil, 39, mengenai jumlah barangan di premisnya.Kedai yang baru memulakan operasinya awal tahun ini terletak di Festive Mall, Teluk Danga, Johor iaitu lokasi terkenal tarikan pelancong sama ada untuk membeli-belah, makan ataupun menenangkan fikiran dengan pemandangan panorama Selat Tebrau.Pernah belajar di Universiti Belfast, Ireland Utara selama lima tahun dalam bidang perniagaan, Raja Izdihar tekad dengan azamnya untuk menjadikan bidang perniagaan yang diceburinya sebagai satu batu loncatan untuk terus maju.
"Selepas belajar saya bekerja di Eropah selama lima tahun untuk mencari pengalaman," katanya kepada Kosmo!Menurut Raja Izdihar, beliau mula tertarik dengan aktiviti sukan lasak dan ketenteraan apabila menyertai askar wataniah Terratorial Army ketika di England.
"Bermula dengan menjadi Terratorial Army, hati saya mula berdetik betapa segaknya memakai pakaian seragam, selain menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan berdisiplin. Ia juga membuatkan saya mula jatuh cinta dengan sukan ekstrem," katanya lagi.
Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Perak itu bertekad satu hari nanti apabila kembali ke Malaysia beliau akan membuka kedai sukan lasak.
Kini impiannya menjadi kenyataan apabila berjaya membuka kedai itu dengan bermodalkan RM100,000.
Kedai yang terletak di Festive Mall itu bukan saja menjadi tumpuan peminat sukan lasak bahkan tempat persinggahan anggota pasukan keselamatan yang ingin mendapatkan keperluan peribadi dan kerja.
"Saya turut mendapat galakan dari- pada anggota polis dan tentera supaya kedai saya ini menjual pelbagai peralatan untuk anggota beruniform," jelasnya lagi.
Antara barangan yang menjadi perhatian orang ramai di kedai itu ialah kasut taktikal, beg-beg galas, peralatan khemah, perkhemahan perubatan, peralatan paintball, tali pinggang keselamatan, peralatan memancing, pakaian seragam tentera dan juga barangan taktikal sukan lasak.
SELAIN menjadi tumpuan peminat sukan lasak, Extreme Response Gears turut terkenal sebagai tempat persinggahan anggota tentera.
"Sebenarnya walaupun terdapat kira-kira 2,000 jenis barang di sini tetapi ia belum mencukupi lagi. Kalau ikutkan ia baru 70 peratus saja daripada sasaran saya. Insya-Allah pada akhir tahun ini semuanya akan lengkap 100 peratus," katanya lagi.
Bapa kepada dua cahaya mata itu menambah, pada kebiasaannya kaki-kaki pancing akan datang ke kedai itu untuk mendapatkan peralatan memancing, begitu juga dengan peminat mendaki gunung yang mahu mendapatkan keperluan mendaki seperti khemah dan beg galas.
Harga barang yang dijual di situ bermula dari RM30 hingga RM300.
Bagi mereka yang gemar berkhemah Extreme Response Gears menjual khemah lipat yang hanya memerlukan kira- kira lima saat untuk didirikan.
Anda hanya perlu mencampakkan khemah tersebut dan ia akan terbuka dan siap untuk digunakan. Harga khemah tersebut antara RM220 hingga RM290 bergantung kepada keluasannya

Tuesday, June 15, 2010

Qobin kecewa keraja gagal ke puncak GUNUNG

SEPANG: “Ketika tiba di ketinggian 6,085 meter (14,000 kaki) saya ada dua hari untuk berfikir sama ada meneruskan pendakian ke puncak atau turun kerana keadaan kaki yang melecet teruk,” kata pendaki negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin atau Qobin.
Qobin berlepas ke Los Angeles, Amerika Syarikat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), akhir bulan lalu untuk memulakan misi Ekspedisi Tujuh Puncak Tujuh Benua Tujuh Nilai dengan mendaki Gunung McKinley di Amerika Utara yang dijangka berakhir pertengahan bulan ini.
Dengan nada kecewa Qobin berkata, dia yang memulakan pendakian 3 Jun lalu bagaimanapun membuat keputusan untuk menamatkan pendakian selepas lima hari bagi mengelakkan kecederaan lebih serius berikutan mengalami reput salji pada beberapa jari kanan, terbakar sebahagian muka serta melecet yang teruk akibat salji yang terlalu tebal.
“Saya terpaksa mengambil keputusan untuk turun kerana sakit dan risiko gagal ke puncak amat tinggi. Lebih memburukkan lagi keadaan saya terpaksa membawa sendiri bekalan makanan dan minuman kerana tiada pembantu seperti ketika mendaki Gunung Everest sebelum ini.
“Dalam keadaan itu, kita harus berfikiran rasional untuk membuat keputusan terbaik. Saya fikir jangan pulang dengan hilang semuanya (anggota badan) dan tidak berjaya meneruskan misi untuk menawan gunung berkenaan sedangkan saya boleh mencuba lagi apabila sudah sembuh kelak kerana gunung McKinley masih ada di situ,” katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Los Angeles di KLIA, di sini, semalam.
“Jika saya teruskan pendakian mungkin saya akan kehilangan anggota badan akibat mengalami pereputan salji,” katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Los Angeles di KLIA, di sini, semalam.
Walaupun mengetahui hanya satu ‘base camp’ saja untuk dia menjejakkan kaki ke puncak gunung itu, dia tidak ingin mengambil risiko dan mengambil keputusan amat berat dengan berpatah balik ke kaki gunung.
“Sebelum saya mengambil keputusan untuk berpatah balik, salji masih turun sehingga ketebalan tiga ke empat kaki. Malah, difahamkan ramai pendaki lain lagi termasuk yang sudah berada di ketinggian lebih 1,518 meter (17,000 kaki) terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk di puncak Gunung McKinley,” katanya.
Qobin berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan misi Ekspedisi Tujuh Puncak Tujuh Benua Tujuh Nilai, tetapi dia perlu berehat antara dua hingga tiga minggu sebelum meneruskan misi untuk menawan puncak gunung Kilimanjaro bulan depan.
“Kegagalan ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk meneruskan misi. Tetapi saya perlu berehat dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Damansara sebelum memulakan latihan semula.
“Kecederaan di muka mungkin mengambil masa sebulan lebih untuk pulih. Saya akan terus menjalani latihan fizikal seperti biasa,” katanya. - HARIAN METRO NEWS 15 JUN 2010

Wednesday, June 2, 2010

PENYANYI SAYANG KINABALU MENINGGAL

KOTA KINABALU, 2 Jun (Bernama) — Penyanyi tempatan Sabah Kimin Mudin yang popular dengan lagu “Sayang Kinabalu”, sebuah lagu Dusun yang dijadikan popular khusus bagi mempromosi pelancongan di Sabah, meninggal dunia akibat masalah jantung di Hospital Likas dekat sini awal Rabu.

Kimin, 46, yang juga abang kepada pencipta dan penulis lirik lagu popular Asmin Mudin, menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira 1.35 pagi selepas dimasukkan ke hospital itu malam tadi.

Menurut Asmin, 40, Kimin yang berasal dari Kampung Kelatuan, Papar mengadu sesak nafas selepas mandi di rumahnya di Kampung Rampaian Menggatal pada kira-kira pukul 10 malam.

“Isterinya kemudian menghantarnya ke Hospital Likas. Semasa dirawat di sana, abang saya kemudian pengsan dan disahkan meninggal pada pukul 1.35 pagi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Orang Islam Jalan Kepayan, dekat sini pada Rabu.

Turut berada di tanah perkuburan itu ialah para artis tempatan Sabah termasuk Abu Bakar Ella.

Nama Kimin mula dikenali ramai selepas membawa lagu Sayang Kinabalu ciptaan Asmin pada tahun 2000, dan pada tahun 2004, pengurusan Skyline mengambil alih tugas untuk mempromosi album yang memuatkan lagu Sayang Kinabalu.

Asmin, yang turut mencipta lagu Kau Ilham Ku, Anggapanmu, Gemilang yang masing-masing pernah dipopularkan oleh Man Bai, Ziana Zain dan Jacklyn Victor, berkata setakat ini, jualan album Sayang Kinabalu sudah mencecah sekitar 50,000 unit. Kimin dikurniakan tujuh cahaya mata termasuk dua lelaki. — BERNAMA