Monday, July 26, 2010

Adik-beradik penuh muslihat

DAVID COPPERFIELD, jejaka tampan yang pernah menggegarkan dunia silap mata dengan persembahan yang melangkaui batasan dan tidak terfikir akal sekitar tahun 1980-an. Aksinya menghilangkan Patung Liberty, terbang di ngarai Grand Canyon dan berjalan menembusi Tembok Besar China mencetuskan fenomena tersendiri dalam dunia magis.
Ia telah mencetuskan polemik dan prasangka pelbagai pihak sama ada ahli silap mata tersebut menggunakan ilmu sihir, doa, jampi atau muslihat ilusi semata-mata. Persoalan itu terus menjadi tanda tanya sehingga kemunculan siri Magic's Greatest Secrets Finally Revealed pada penghujung 1990-an.
Pembongkaran mengejut yang dilakukan oleh ahli silap mata illusi, Val Valentino itu membangkitkan kontroversi di kalangan ahli silap mata. Dunia yang sebelum ini diselubungi rahsia gerakan halus hingga mengelirukan mata penonton hampir hilang serinya. Persoalannya adakah pendedahan itu mematikan minat orang ramai terhadap cabang hiburan tersebut?
"Bagi saya tidak. Silap mata ini seronok dan menarik kerana dapat menipu orang dengan cara yang bijak. Pernahkah anda terfikir bahawa menjadi ahli silap mata sebenarnya melahirkan individu yang kreatif?" soal ahli silap mata muda, Jorrin Chee Ka-Yee.
Sebenarnya, membezakan kemampuan antara ahli-ahli silap mata adalah melalui gaya mereka mengekspresi kemahiran yang anda dalam persembahan mereka. Harry Houdini contohnya menggunakan gimik rantaian di badan sebagai imejnya. Kesemua adegan itu bagi menunjukkan ciri keistimewaan dalam diri ahli silap mata tersebut.
Berbeza bagi gadis yang berumur 16 tahun itu, gaya persembahan Jorrin lebih banyak diadaptasi daripada minatnya terhadap seni dan budaya. Dia menghimpunkan intipati konsep 1 Malaysia bagi menjadikan aksinya lebih menarik.
"Saya menggabungkan enam elemen dalam setiap persembahan. Ada konsep menari, menyanyi, pertukaran topeng muka dan baju, angklong dan silap mata. Semestinya memberikan keunikan tersendiri.
"Selain menghiburkan orang ramai, saya dapat juga mempromosikan produk kesenian dan kebudayaan yang terdapat di negara ini," jelas anak sulung daripada empat beradik itu.
Pernah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Merlin iaitu anugerah tertinggi dalam dunia silap mata baru-baru ini, Jorrin menjelaskan bahawa bukan mudah untuk mencapainya kerana terpaksa bersaing dengan 100 ahli silap mata dari seluruh dunia.
Kriterianya ditimbang melalui bakat, kemahiran persembahan, keaslian dan keupayaan luar biasa untuk menghiburkan orang ramai di bawah sebarang keadaan. Pengiktirafan yang diterimanya itu merupakan satu lambang bahawa rakyat Malaysia turut mampu bersaing dalam apa jua bidang di pentas antarabangsa.
Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang, Selangor menyatakan cintanya terhadap ilmu magis berputik sejak umurnya sembilan tahun. Persembahan keduanya pada usia tersebut di sebuah rumah orang tua memberikan impak mendalam terhadap dirinya. Sangkaannya bahawa silap mata hanya diminati oleh golongan kanak-kanak ternyata meleset.
Pelukan erat yang disertai linangan air mata daripada salah seorang warga rumah tersebut menjadi perangsang untuknya terus bergerak aktif dalam dunia silap mata.
"Tiba-tiba sahaja nenek yang berumur 90 tahun itu memeluk saya dan menangis. Betul-betul terkejut. Dia menyatakan bahawa dirinya benar-benar terhibur dan mengucapkan terima kasih. Saya terharu mendengar kata-katanya," terangnya yang tersentuh mengimbau kenangan tersebut.
Realitinya, dalam dunia silap mata, bukan mudah untuk mempelajari seni itu daripada orang lain. Mengakui tiada guru atau tenaga pengajar yang tetap, dia menggunakan buku, rujukan Internet dan video persembahan artis magis yang lain sebagai sumber utamanya. Sehingga kini, Jorrin sudah menguasai hampir kebanyakan teknik silap mata antaranya magis ilusi, jarak dekat, manipulasi dan persembahan.
Menurut Jorrin, magis sebenarnya lebih berkaitan dengan kebijaksanaan dunia sains. Istilah silap mata dalam bahasa Melayu membawa makna yang sebenarnya menjelaskan kefahaman tentang seni khayalan dan tipu muslihat tersebut. Walau bagaimanapun, dalam memiliki ilmu tersebut terdapat beberapa perkara yang harus dititikberatkan. Antaranya adalah kemahiran, memahami dan mentafsir silap mata serta menunjukkan konsep yang ingin dibawa.
"Mungkin adakalanya silap mata yang kita tontoni agak sama. Malah, ada ketikanya penonton akan menjerit dan memerli setiap kesilapan yang jelas kelihatan di mata kasar mereka. Dari situ kita belajar memperbaiki kesilapan seterusnya mematangkan setiap persembahan.
"Ahli silap mata juga harus bijak menyesuaikan diri di mana sahaja mereka berada. Andai di pentas, anggap pentas tersebut sebagai milik kita. Dengan itu, imej kita akan serta-merta berubah menjadi seorang yang luar biasa dan memukau para penonton," katanya pernah mendapat tunjuk ajar daripada Jeff McBride semasa mengadakan persembahan di Shenzhen, China.
Lebih menarik, pendedahan yang diberikan secara tidak langsung oleh Jorrin kepada adik-adiknya yang mengikutinya ke serata lokasi persembahan telah mendorong mereka untuk turut mengikuti jejak langkahnya. Antaranya yang menyerlah adalah Gelvin Chee Ka- Shing, 13, yang berjaya memenangi Kejohanan Silap Mata Remaja di bawah 15 tahun dengan mengenepikan 20 orang pesaingnya pada tahun lepas.
Menjadikan ahli silap mata Ann Ha Lim sebagai idolanya, konsep persembahan Gelvin lebih kepada permainan daun terup. Mungkin ia lebih bersifat tradisional namun Gelvin mempunyai pendapatnya tersendiri.
"Hampir kesemua ahli silap mata di dunia mengetahui permainan kad kerana adalah asas dalam mengenali silap mata. Antara yang terkenal seperti Harry Loravne, Juan Tamariz dan Dai Vernon.
"Namun, yang membezakannya adalah kelajuan dan kecekapan masing-masing dalam mengolah permainan kad tersebut sehingga tidak mampu dinampak oleh penonton. Itu yang dinamakan silap mata dan memang mata anda yang silap memandangnya," terangnya yang meminati warna hitam dan putih.
Tambah Gelvin, sekiranya ingin menjadi seorang yang pakar dalam bidang ini, seseorang harus menumpukan kepada satu-satu peringkat terlebih dahulu. Daripada asas memegang kad sehinggalah skil bermain silap mata dengan kad perlu dikuasai terlebih dahulu. Bersikap terburu-buru hanya menyebabkan ilmu yang dipelajari tidak akan dikuasai sepenuhnya seterusnya mengakibatkan seseorang hilang minat.
Tambahnya, ahli silap mata juga bertindak sebagai penghibur ketika melakukan sesuatu persembahan. Bukan sahaja gaya persembahan yang dipertonjolkan malah kebijaksanaan kita berkomunikasi dan peka terhadap sensitiviti setiap penonton juga perlu diambil kira.
Ia secara tidak langsung mencerminkan kredibiliti dan ketrampilan yang ada pada mereka. Kegugupan kita dalam beraksi hanya menimbulkan reaksi hilang semangat dalam kalangan penonton.
"Menjadi seorang ahli silap mata juga bermakna menjadi seorang penghibur. Interaksi dua hala amat diperlukan dan tepukan tangan mereka seolah-olah motivasi menandakan persembahan yang ditonjolkan menarik.
"Malahan, setiap gerakan yang dilakukan adalah perlu bersesuaian dengan iringan muzik yang disusun. Ini semuanya akan menjadikan aksi kita lebih menarik," terang seorang lagi ahli keluarga magis tersebut, Melkin Chee Ka-Seng, 15.
Pandangan tersebut turut diakui oleh adik bongsu dalam keluarga tersebut, Raykinn Chee Ka-Shong. Meskipun baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia silap mata namun aktiviti itu telah dijadikan pemangkin keyakinan dirinya.
"Saya sering meminta kakak dan abang untuk melihat dan menilai persembahan saya sebelum melakukannya di hadapan penonton. Ini bagi mendorong keyakinan dalam diri saya.
"Namun yang penting sentiasa ucapkan terima kasih agar penonton dapat merasakan keikhlasan kita dalam menghiburkan mereka," terangnya yang bercita-cita ingin mengikut jejak kakaknya itu.- KOSMO 26/7/2010

Sunday, July 25, 2010

Isteri curang bijak simpan rahsia

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

KISAH isteri curang atau suami menangkap isteri berkhalwat dengan lelaki lain semakin kerap dilaporkan media kebelakangan ini.
Kes terbaru berlaku di Kuantan, Pahang, 5 Julai lalu. Seorang suami, dikenali sebagai Muhammad yang mengesyaki isterinya bermain kayu tiga bertindak memasang perangkap dengan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Menurut Muhammad, pada mulanya beliau tidak mengesyaki apa-apa kerana wanita itu sibuk dengan perniagaan butiknya.
“Namun, saya sendiri yang menangkapnya ketika dia berdua-duaan dengan seorang lelaki lain di sebuah bilik sewa yang terletak di atas sebuah restoran,” cerita beliau.
Bagi Halim (bukan nama sebenar) pula, dia tidak menyangka isterinya Halimah (nama samaran) yang berperwatakan baik sanggup menjalin hubungan sulit dengan suami orang.
“Sepanjang hidup bersamanya, tidak sedikit pun saya meragui kesetiaannya memandangkan perkahwinan kami atas dasar suka sama suka,” katanya dalam ruangan forum Internet.
Halim memberitahu, ketika dia bersusah payah membangunkan perniagaan, Halimah merupakan menjadi sumber inspirasinya.
Isterinya juga melayannya dengan penuh kasih sayang dan rumah tangga mereka bertambah bahagia selepas dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.
Namun, ada juga rakan memberitahu Halim mereka pernah melihat Halimah bersama lelaki lain dalam keadaan mencurigakan tetapi tidak diendahkan Halim.
Pada suatu hari, kereta yang dipandu Halim rosak dan beliau terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil sebuah lagi keretanya.
Di rumah, Halim terkejut besar melihat kelibat seorang lelaki keluar dari pintu belakang. Dengan segala kudrat, Halim mengejar lelaki itu dan berjaya menangkapnya.
Tetapi apa yang menyedihkan, Halim mendapati isterinya berada dalam keadaan kusut dan memakai baju tidur tanpa coli di ruang tamu. Mereka berdua akhirnya bercerai.
Menurut seorang peguam syarie, Musa Awang, kes perceraian akibat isteri curang seperti yang dilalui Muhammad dan Halim itu meningkat 20 peratus setiap tahun.
“Perkara ini cukup serius terutama bagi pasangan suami isteri yang menetap di bandar besar. Saya berpendapat antara puncanya ialah isteri banyak menghabiskan masa di tempat kerja.
“Mereka kurang bersama suami dan jika ada masalah rumah tangga, mereka akan berkongsi dengan orang ketiga yang suka mengambil kesempatan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun mengendalikan kes cerai di mahkamah syariah.
Beliau berpendapat, perkara-perkara itu boleh menyebabkan hubungan suami dan isteri renggang, bergaduh dan akhirnya memilih cerai sebagai jalan untuk keluar daripada konflik rumah tangga.
Musa tidak menyalahkan isteri seratus peratus. Suami juga, katanya, mungkin menjadi punca isteri curang, misalnya suami tidak menunaikan tanggungjawab zahir dan batin.
“Selain itu, suami sendiri mungkin curang terlebih dahulu hingga menyebabkan isteri beralih cinta kepada orang lain. Begitu juga jika suami berpoligami tanpa kebenaran, berperwatakan kasar dan suka memukul isteri,” terang beliau.
Musa memberitahu, dalam keadaan itu, perceraian dianggap penyelesaian terbaik.
Bagi Pengarah Bahagian Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM), Linda Jamaluddin, masalah bermula apabila si isteri mengadu kepada orang lain yang tidak berkaitan.
Katanya, wanita lebih terdorong untuk berjumpa teman sepejabat atau jiran-jiran untuk meluahkan perasaan.
“Daripada situlah timbul perasaan kasihan lebih-lebih lagi kawan lelaki hingga membibitkan cinta terlarang,” katanya.
Linda berpendapat kecurangan berlaku disebabkan masalah komunikasi dalam rumah tangga. Suami tidak memahami isteri dan begitulah sebaliknya. Faktor lain ialah suami tidak mahu berkongsi kerja dan tugas menguruskan rumah tangga.
“Kesilapan paling utama adalah apabila suami atau isteri berkongsi masalah rumah tangga dengan orang lain hingga menimbulkan masalah lain khususnya curang,” hujah beliau.
Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali memberitahu, kecurangan merupakan salah satu punca perceraian di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan angka yang tepat berhubung kes cerai yang melibatkan isteri curang.
“Kes cerai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ialah sebanyak 15 hingga 18 peratus berbanding jumlah perkahwinan yang didaftarkan setiap tahun,” katanya.
Che Mat memberitahu, faktor kewangan suami yang tidak stabil selain cabaran kehidupan di bandar besar juga boleh mengakibatkan isteri curang.
“Dahulu, rata-rata isteri menjadi suri rumah tetapi kini kebanyakan mereka bekerja. Pergaulan di pejabat juga menjadi sebab isteri bermain kayu tiga selain waktu yang singkat bersama suami sendiri.
“Lagipun tempoh perkahwinan selama satu hingga lima tahun merupakan tempoh yang kritikal dan pasangan suami isteri yang dapat menghadapinya dengan baik mungkin perkahwinan mereka akan berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.
Pakar psikologi, Dr. Suradi Salim pula berpandangan manusia sebenarnya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.
“Manusia bukan malaikat. Seperti curang seorang lelaki, wanita juga boleh melakukannya,” katanya. Namun, menurut Suradi lelaki lebih cenderung bersikap curang kerana sikap ego mereka.
“Wanita dikenali dengan kesetiaan tetapi lebih berbahaya kerana mereka bijak menyimpan kecurangan mereka,” terang beliau.

Saturday, July 24, 2010

Mayat bayi baru lahir ditemui dalam tong sampah

24/07/2010 5:28pm
KUALA LUMPUR 24 Julai - Mayat bayi perempuan baru lahir yang dibungkus dalam beg plastik ditemui bersama longgokan sampah di Flat SriKelantan, Bandar Baru Sentul di sini, malam tadi.
Mayat yang masih bertali pusat dan diselimut dengan kain itu ditemui pada kira-kira pukul 10 malam oleh pengutip barang-barang lusuh
ketika menggeledah tong sampah di flat itu.
"Ketika lelaki itu menggeledah tong sampah untuk mencari barang-barang yang boleh dikitar semula, dia menemui satu bungkusan plastik yang berisi mayat bayi itu bersama urinya," kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dibuang dalam tempoh kurang dari empat jam sebelum mayatnya ditemui.
Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Azrinaz masih tinggal di istana Brunei

KUALA LUMPUR 23 Julai – Bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah, Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar masih berada di salah sebuah istana di Brunei dan tidak dibenar meninggalkan negara itu sehingga tamat tempoh idah.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, selepas idah, Azrinaz berkemungkinan menetap di London atau Australia dan mungkin juga kembali ke tanah air.
‘‘Itu semua bergantung kepada kehendak beliau sendiri.
‘‘Di tanah air, keluarga Azrinaz kini menetap di Shah Alam dan bukannya di Bukit Antarabangsa, Ampang seperti dilaporkan,’’ katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar ini hari ini, menyiarkan artikel tentang spekulasi di mana Azrinaz berada sejak diceraikan Sultan Brunei, bulan lepas.
Ada yang menyatakan beliau kini menetap di istana hinggap Sultan Brunei di London dan tidak kurang desas-desus bahawa bekas personaliti TV3 itu sudah kembali ke tanah air dan menetap bersama keluarganya.
Menyentuh soal penjagaan anak, sumber itu memberitahu kedua-dua cahayamata pasangan itu akan dijaga sepenuhnya oleh pihak istana.
Sumber itu turut menafikan laporan sebelum ini yang menyatakan Azrinaz diberi pilihan untuk menjaga salah seorang daripada dua anaknya itu.
Tegas beliau, laporan yang menyatakan Azrinaz memilih untuk menjaga anak keduanya iaitu Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 2, adalah tidak benar sama sekali.
‘‘Sekiranya selepas tempoh idah iaitu sekitar September ini, Sultan Brunei tidak rujuk, Azrinaz bukan sahaja terpaksa meninggalkan istana malah tidak akan dapat hak penjagaan kedua-dua anaknya kerana mereka adalah waris Sultan Brunei,’’ katanya.
Dalam pada itu, pelbagai pihak lain seakan-akan ‘mengunci mulut’ daripada membicarakan mengenai bekas isteri kedua Sultan Brunei itu.
Cubaan Utusan Malaysia mendapatkan maklumat tentang di mana Azrinaz daripada Istana Nurul Iman dan Kedutaan Malaysia di Brunei tidak berjaya selepas kedua-duanya enggan memberikan sebarang respons.
‘‘Maaf, kami tidak tahu di mana beliau (Azrinaz) berada. Kami tidak dapat memberikan penjelasan lanjut kerana ini melibatkan tampuk pemerintahan,’’ kata salah seorang pegawai Istana Nurul Iman hari ini.
Sementara itu, pegawai Kedutaan Malaysia di negara tersebut juga memberikan alasan sama dan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan.
Malah beberapa rakan karib Azrinaz juga enggan mengulas ke mana bekas rakan sekerja mereka itu menghilang.
“Tiada komen,” itu jawapan ringkas rata-rata mereka apabila ditanya berkenaan Azrinaz atau panggilan mesranya Naz.
Masing-masing mengakui kali terakhir mereka berhubungan adalah ketika wanita itu diceraikan sekitar bulan lalu.
Malah, ada yang memberitahu perkhidmatan telefon bimbitnya telah ditamatkan sejurus berita mengenai perceraian tersebut tersebar.
Sultan Brunei, 63, diijabkabulkan dengan Azrinaz, 31, pada 20 Ogos 2005 dalam satu majlis tertutup di ibu kota.
Pasangan itu bercerai talak satu pada bulan lepas.
Selain Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang putera, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 4.

Wednesday, July 21, 2010

Kopi Tahi Musang difatwa halal oleh MUI

JAKARTA 20 Julai - Kopi Luwak atau Kopi Tahi Musang, kopi termahal di dunia dari Indonesia, difatwa halal oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) dengan syarat biji kopi berkenaan telah dibersihkan daripada kotoran.
"Kopi Luwak dihukumkan mutanajis, ertinya terkena najis. Kopi Luwak dinyatakan halal setelah melalui proses pembersihan. Meminum Kopi Luwak dihalalkan, kemudian mengeluar, menjual beli, meminum Kopi Luwak, hukumnya boleh," kata Ketua Suruhanjaya Fatwa MUI Ma'ruf Amin di sini hari ini.
Kopi Luwak adalah sejenis kopi yang diproses dengan fermentasi secara semula jadi dalam pencernaan haiwan luwak, binatang yang sejenis dengan musang yang tinggal di pepohonan.
Biji kopi yang masih berkulit, ditelan kemudian sisanya yang berupa biji kopi dengan kulit dalam kopi, keluar bersama kotorannya. Sebelum diolah, biji kopi yang telah keluar tadi dipisahkan dari kotoran luwak secara manual.
MUI mengeluarkan fatwa tersebut berikutan banyak pertanyaan dan keluhan umat Islam mengenai perkara itu, dan berharap dengan adanya fatwa berkenaan, hukum mengenai pengambilan Kopi Luwak menjadi lebih jelas.
Sementara itu, setiausaha Suruhanjaya Fatwa MUI, Aminuddin Yakub berkata, MUI telah melakukan kajian dan mendapati haiwan luwak hanya makan kulit luar buah kopi dan menyisakan kulit dalam buah tersebut.
"Dan kalau ditanam, biji kopi itu boleh tumbuh. Dengan demikian, itu bukan najis, melainkan mutanajis," katanya.
Mutanajis berbeza dengan najis kerana ia suatu benda yang dilarang untuk dimakan oleh umat Islam, seperti daging babi, namun mutanajis adalah keadaan apabila sesuatu benda terkena najis, ia dapat dikatakan halal jika najis itu dibersihkan.
Kopi Luwak sangat masyhur di kalangan penggemar kopi di Indonesia serta di peringkat antarabangsa kerana memiliki cita rasa unik, hasil daripada proses pembuatan yang "aneh". Harganya yang mahal juga turut menjadi penarik kepada para penikmat kopi.
Di Amerika Syarikat, Kopi Luwak dikenal sebagai kopi kotoran kucing atau "cat-poo coffee" dan dijual dengan harga AS$190 untuk 500 gram.
Kopi tersebut juga didakwa dikategorikan sebagai langka atau jarang ditemui kerana setiap tahun, hanya 250 kilogram dihasilkan.
Di pasaran antarabangsa, harganya berkisar antara AS$$100 hingga AS$350 sekilogram. - BERNAMA

Tuesday, July 20, 2010

Pengemis seksi jadi kaya kerana Internet

NINGBO - Seorang pengemis di China, Cheng Guorong menjadi kaya dan terkenal selepas gambarnya tersiar di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun selekeh, berambut panjang dan berjanggut, lelaki tersebut memiliki wajah kacak yang menarik perhatian ramai peminat sejak gambarnya tersiar pada Januari lalu.
Guorong, 34, digelar pengemis paling seksi di China dan dia turut mengecapi status simbol seks di kalangan pengguna Internet.
Nasibnya berubah selepas gambarnya dirakamkan oleh seorang jurugambar amatur ketika dia berkeliaran di jalan raya di bandar ini untuk meminta makanan pada tahun lalu.
Tidak lagi menyelongkar tong sampah, Guorong kini menerima banyak tawaran iklan dan dia turut bekerja sebagai model peragaan.
Pakaiannya semasa dia menjadi pengemis turut menjadi ikon fesyen.
Para peminat lelaki tersebut turut menderma sebanyak 100,000 yuan (RM49,138) bagi membantunya memulakan hidup baru.
Dia juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem mengenai kisah hidupnya yang diterbitkan oleh penerbit filem tempatan, Deng Jiangguo dan menelan kos sekitar 72 juta yuan (RM34.3 juta).
Filem tersebut akan menjalani penggambaran pada September depan dan ia dijadualkan ditayangkan pada Februari 2011.
Guorong berpindah ke bandar di timur China ini pada 1996 untuk mencari kerja bagi menyara isteri dan dua anaknya tetapi malu untuk menghubungi mereka setelah dia hilang pekerjaan dan wang simpanannya habis.
Saudara-maranya menyangka dia mati sehingga mereka melihat imej-imejnya di Internet.
Guorong tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapati bapa dan isterinya terbunuh dalam satu kemalangan kereta setelah dia kembali ke kampung halamannya untuk kali pertama dalam tempoh 14 tahun baru-baru ini. - Agensi

Thursday, July 15, 2010

Bank Muamalat rai petugas media di Gunung Kinabalu

Pelbagai cara dilakukan oleh syarikat korporat bagi meraikan petugas-petugas media seperti menganjurkan acara mencari harta karun, majlis makan malam, majlis anugerah media dan sebagainya.
Sebagai tanggung jawab sosial, Bank Muamalat telah mengambil satu pendekatan yang berbeza jika dibandingkan dengan syarikat korporat yang lain dengan menganjurkan aktiviti sukan lasak yang sukar dilupakan oleh setiap peserta daripada wakil media.
Baru-baru ini, Bank Muamalat menjadi syarikat korporat pertama menganjurkan ekspedisi Kembara Media Via Ferrata Gunung Kinabalu yang disertai oleh 23 orang wakil media pada 7 hingga 10 Julai lalu.
Petugas media cetak dan elektronik yang menyertai kembara itu termasuklah daripada Utusan Malaysia, Kosmo, Harian Metro, Berita Harian, Bernama dan beberapa orang kakitangan Jabatan Akauntan Negara.
Pelbagai pengalaman ditempoh oleh semua peserta yang telah diberi peluang melakukan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4.095 meter dan melakukan aktiviti via ferrata (laluan besi) yang mula beroperasi tahun 2007 dan ianya tertinggi di dunia serta pertama di asia.
Apa tidaknya, kebanyakannya peserta media yang sentiasa sibuk dengan tugasan harian telah menyebabkan mereka tidak berpeluang untuk menjalani latihan sebagai persediaan untuk menguatkan mental dan fizikal.
Ada juga, boleh ke sampai ke puncak Kinabalu dan ke via ferrata ni, saya tak pernah mendaki gunung dan tidak kuat stamina… ujar salah seorang peserta media yang agak risau pada sessi taklimat mengenai perjalanan kembara yang julung dilakukan oleh Bank Muamalat.
Namun begitu, semangat para peserta kembara terus membara untuk sampai di puncak gunung yang tertinggi di Asia Tenggara apabila mendapat suntikan perangsang daripada pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin yang berjaya melakukan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari sebelum ini.
Kehadiran pendaki solo telah membuatkan semua peserta begitu bersemangat untuk mengharungi cabaran sehinggalah dapat berdiri megah di puncak Gunung Kinabalu dan melakukan aktiviti meniti di laluan dinding granit Gunung Kinabalu (via ferrata).
Semangat telah mengatasi segala-galanya apabila semua menjejak kaki di terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan disambut oleh petugas Bank Muamalat sebelum menaiki bas yang tersedia untuk bergerak ke penginapan di Kundasang untuk bermalam.
Para peserta terus bersemangat apabila disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid diperkarangan hotel penginapan dan turut memberi kata-kata perangsang pada majlis makan malam kepada para peserta.
Sebaik sahaja semua bersedia pada keesokkan harinya, pendakian yang diketuai oleh Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Bank Muamalat, Hanif Abu Bakar dan Pengurus Kawasan, Sulaiman Mohd Noor bersama semua wakil media telah memulakan pendakian meninggalkan Timpohon Gate pukul 9.45 pagi.
Mereka begitu bersemangat ketika pendakian, walaupun penat hingga tidak terkata, itulah pengalaman pertama di rasai, mesti sampai ke puncak Kinabalu dan mesti boleh melalui dinding batu di via ferrata.
Walaupun selepas tengahari, hujan renyai mula membasahi di laluan sejauh enam kilometer ke Laban Rata, mereka tetap tidak mahu kalah walaupun penat sehingga tidak terkira.
Akhirnya, semua peserta tiba di Laban Rata untuk makan malam sebelum mendaki tangga ke Pendant Hut iaitu penginapan yang di tempah oleh Bank Muamalat untuk berehat sebelum meneruskan pendakian ke puncak tertinggi di Asia Tenggara pukul 2.30 pagi keesokkan harinya.
Sebelum semua melelapkan mata di Pendant Hut, Jurulatih Mountain Torq telah memberi taklimat dan menunjuk cara menggunakan peralatan bagi menyertai aktiviti menyusur dinding via ferrata selepas tiba di puncak nanti.
Tepat pukul 1.30pagi, semua peserta media telah bangun dan minum pagi dan telah memulakan pendakian ke puncak gunung bersama semua pendaki lain pada pukul 2.30 pagi.
keadaan gelap gelita yang hanya disinari kelipan lampu suluh setiap pendaki melalui laluan yang terpaksa merempuh ratusan anak tangga menyebabkan ianya amat meletihkan sekali, namun begitu ianya tidak mematahkan semangat peserta dan mereka telah tiba di puncak bersama semua pendaki dari dalam dan luar negara seawal pukul 5 pagi.
Selepas berada seketika di kawasan puncak, semua peserta media mula meninggalkan puncak tertinggi di Asia tenggara itu bergerak berhati-hati menuju ke check point Sayat-Sayat yang mana jurulatih Mountaion Touq sedia menunggu untuk member peralatan khas sebelum aktiviti di laluan dinding via ferrata.
Perjalanan melalui dinding batu, via ferrata bermula pukul 8.30 pagi dan ianya didahului oleh pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin sebagai penyuntik semangat kepada semua peserta media yang lain.
Walaupun pada mulanya, sebahagian kecil peserta media agak cemas kerana gayat, tetapi bila berada di tengah laluan dinding itu telah bertukar menjadi satu aktiviti yang menyeronokan. Perjalanan di laluan dinding telah berakhir pada pukul 10.30 pagi.
Selepas itu, semua peserta terus turun ke Pendant Hut untuk minum pagi dan seterusnya bergerak turun ke Timpohon Gate dengan melalui laluan yang sama ketika mendaki semalam.
Alamak… saya ingat turun lagi mudah, rupanya semua sendi, otot-otot dan lutut bergoyang longlai… terpaksalah berjalan pelahan-lahan dan berhati-hati.
Akhirnya semua peserta elah tiba di Timpohon Gate dari pukul 3 petang dan yang terakhir pula tiba pukul 6.30 petang.
Selepas itu, semua peserta media bergerak ke hotel penginapan dan majlis penyampaian sijil kejayaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Rezal Shah Abdul Wahid pada majlis makan malam di sebuah hotel di Kota Kinabalu.
Keesokkan harinya, walaupun sebahagian besar peserta media terpaksa bergerak agak terbatas kerana otot-otot mulai tegang, mereka sempat membeli cenderamata sebelum pulang ke ibu kota pada sebelah tengahari.
Pengalaman dalam Kembara Media Via Ferrata Gunung Kinabalu anjuran Bank Muamalat cukup bererti kepada semua peserta media khususnya mereka yang kali pertama menjejak kaki di Gunung Kinabalu. Terima kasih Bank Muamalat yang menjadi perintis syarikat korporat menganjurkan aktiviti lasak untuk media.- habis

Monday, July 12, 2010

MAYAT 4 TAHUN DITEMUI DALAM SEMAK

JOHOR BAHARU 12 Julai 2010 - Seorang bayi lelaki berusia empat hari ditemui mati dalam semak di Jalan Camar 15, Taman Perling, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, ACP Ruslan Hassan berkata, bayi itu ditemui dalam beg plastik oleh pihak polis hasil maklumat orang awam pada pukul 3.15 petang.
"Berikutan kejadian itu, polis kini menahan dua wanita warga asing yang dipercayai salah seorang daripadanya merupakan ibu bayi berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Kedua-dua wanita berumur 22 dan 27 tahun itu, katanya, ditahan di sebuah rumah kira-kira 50 meter dari tempat mayat bayi tersebut ditemui.
Ruslan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk bedah siasat. - Bernama

Monday, July 5, 2010

Kelab wanita langgan pelacur lelaki

BANGKOK - Terdapat lebih sepuluh buah kelab di sekitar Bangkok yang menawarkan perkhidmatan melanggan pelacur lelaki untuk wanita, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut akhbar itu, ramai orang tidak mengetahui bahawa terdapat perkhidmatan khas untuk wanita melanggan teman sosial lelaki di sejumlah kecil kelab malam di sini.
Kelab-kelab itu menyediakan teman sosial lelaki yang tampan, berpendidikan dan berpakaian kemas untuk golongan tersebut.
Akhbar Bangkok Post dalam laporan itu menyatakan, seramai empat penyelidik menyamar sebagai pelanggan untuk meneroka kehidupan pelacur lelaki di empat buah kelab malam.
Kelab-kelab itu mempunyai kawalan keselamatan yang ketat manakala pihak pengurusan menyimpan perasaan curiga terhadap pelanggan-pelanggan baru.
Di kelab-kelab itu, terdapat dasar tidak membenarkan gambar dirakamkan sehingga ada ketikanya situasi tegang berlaku kerana pengawal-pengawal keselamatan cuba untuk menghalang pelanggan merakamkan gambar.
Penyelidik-penyelidik itu juga dipujuk oleh pelayan dan kakitangan keselamatan supaya terus memesan minuman yang mahal ketika mendapati mereka cuba meninggalkan kelab berkenaan.
Beberapa wanita yang menjadi pelanggan menyatakan mereka seronok dan berasa gembira kerana diberikan perhatian oleh lelaki-lelaki muda.
Wanita-wanita itu tidak kisah jika suami mereka mempunyai wanita simpanan dan tidak sepatutnya berasa bersalah atau malu.
Beberapa pengurus menyatakan pelanggan-pelanggan mereka terdiri daripada wanita Thai yang kaya termasuk seorang penyanyi terkenal selain wanita asing dengan majoritinya dari Jepun.
Namun, terdapat sebuah kelab yang juga menawarkan perkhidmatan untuk pelanggan lelaki selain wanita yang terletak di sebatang jalan di tepi Surawong Road dekat Patpong.
Di kelab itu, seramai 40 orang lelaki yang menawarkan perkhidmatan seks dan mereka menari serta melakukan persembahan erotik.
Kelab itu mempunyai 30 buah meja dengan pentas terletak di bahagian tengah manakala lampu disuramkan semasa persembahan seks dan bunyi muzik yang kuat.
Kakitangan-kakitangan kelab itu termasuk pelayan mengamalkan kaedah mendesak apabila duduk bersama pelanggan supaya mereka boleh menempah minuman.
Satu minuman alkohol ditawarkan pada harga 300 baht (RM29.88) dan 240 baht (RM23.91) untuk satu minuman ringan.
Kelab itu popular di kalangan wanita Asia dan Thailand terutamanya Jepun yang merupakan tetamu paling kerap.
Kebanyakan pelanggan yang ditemui menyatakan mereka telah berkahwin.
Wanita-wanita itu menyatakan bosan dengan suami masing-masing yang selalu keletihan dan mengabaikan mereka.
Pelacur lelaki yang ditawarkan untuk pelanggan wanita itu berumur dari 16 tahun sehingga lewat 30-an dengan ramai berasal dari timur laut Thailand.
Ramai pelacur itu mempunyai tatu dan sebahagian kecil sahaja yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.
Pelacur-pelacur lelaki itu kerap mendedahkan kemaluan mereka dengan sebahagian mereka memakai kondom semasa di atas pentas atau semasa mendekati pelanggan wanita di meja.
Sejurus selepas memasuki kelab, empat penyelidik yang menyamar itu didekati oleh seorang pengurus lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Mr. Kai.
Dia cuba untuk memperkenalkan pasukan penyelidik itu kepada beberapa lelaki yang datang ke meja mereka dengan mendedahkan alat sulit masing-masing.
Penyelidik-penyelidik itu cuba mengelak untuk melanggan lelaki tersebut dengan menyatakan mereka sedang mencari seorang lelaki untuk rakan warga asing yang malu dan tidak mahu datang ke kelab berkenaan.
"Jika dia malu dan tidak mahu datang ke sini, dia boleh menelefon saya dan saya akan memberikan gambaran mengenai lelaki tersebut seperi umur, warna kulit," kata Mr. Kai.
"Dia (pelacur lelaki) itu boleh menemui wanita itu di mana-mana lokasi yang dia suka," tambahnya.
Menurut pengurus itu, wanita-wanita Eropah suka keluar dengan lelaki yang berkulit gelap.
Lelaki-lelaki berkulit gelap itu mempunyai bilangan yang kecil di kelab berkenaan manakala wanita Asia suka lelaki berkulit cerah, katanya.
Pengurus itu memberi kad bisnesnya dengan nombor telefon bimbitnya.
"Selepas Mr. Kai meninggalkan kami, sejumlah lelaki yang pada mulanya menggayakan tubuh mereka di atas pentas dan bermain mata dengan kami, mula datang ke meja kami seorang demi seorang dengan cuba untuk mendapatkan perhatian kami dengan mereka cuma memakai kondom," kata seorang daripada empat penyelidik itu.
"Ramai daripada mereka berkata: "Adakah anda mahukan saya? Saya suka untuk keluar dengan awak. Saya boleh melakukan apa sahaja untuk awak. Lelaki-lelaki itu cuba untuk menarik tangan kami. Saya memberikan mereka 100 baht (RM9.96) setiap seorang supaya mereka beredar," kata seorang penyelidik itu.
Menurut akhbar itu, untuk membawa keluar seorang pelacur lelaki di kelab tersebut, yuran bar sebanyak 400 baht (RM39.85) perlu dibayar dan 1,500 baht (RM149.44) lagi untuk seks bagi tempoh yang singkat.
Penyelidik-penyelidik itu kemudian pergi ke sebuah kelab lain dan terdapat 60 lelaki berumur antara 22 tahun dan 30 tahun bekerja di situ. Pelacur-pelacur lelaki itu kelihatan lebih tampan dan lebih bersopan daripada kelab yang pertama.
Di kelab itu, pelacur-pelacur lelaki itu memakai seluar ketat umpama seluar dalam semasa menari atau melakukan persembahan di atas pentas.
Pengurus kelab itu yang hanya dikenali sebagai Mr. Moo berkata, kelab berkenaan dimiliki oleh seorang pegawai kerajaan.
Katanya, isteri pegawai kerajaan itu mengendalikan kelab tersebut.
Dia mendakwa kelab itu sebagai yang terbaik di Bangkok dengan beberapa selebriti, model, aktres dan penyanyi datang untuk melanggan lelaki.
"Kami juga mempunyai pelanggan wanita dari beberapa negara Asia seperti Singapura, Jepun, Korea Selatan dan dari beberapa buah negara Eropah. Wanita warga asing datang ke sini dalam jumlah yang besar berbanding wanita Thai," katanya.
Hiasan dalaman kelab itu lebih menarik berbanding kelab yang pertama dikunjungi manakala pelayan-pelayannya tidak bersifat pendesak. Ramai lelaki yang bekerja di kelab itu dikatakan pelajar dan penganggur.
Yuran bar ialah 400 baht (RM39.85) dan lelaki-lelaki yang bekerja di kelab tersebut pada kebiasaannya meminta 2,000 baht (RM199.25).Menurut cerita beberapa lelaki, sebahagian rakan pekerja mereka dibelikan pakaian, diberikan wang dan rumah sewa dibayar oleh wanita yang menjadi pelanggan mereka.
Pengurus kelab itu mengetahui susuk tubuh setiap pelacur lelaki termasuk ukuran panjang kemaluan mereka.
Salah sebuah kelab yang paling popular ialah yang terletak di tingkat 18 di sebuah pejabat di Asoke Road,
Kelab itu tidak mempunyai nama dan ia tidak diiklankan.
Tidak ada persembahan seks tetapi terdapat tarian pelacur lelaki.
Teman-teman sosial lelaki di kelab ketiga ini tampan dan mereka memakai sut serta tali leher.
Kelab itu penuh dengan pelanggan selepas pukul 2 pagi terutamanya pada hujung minggu dan ia ditutup pada pukul 5 pagi.
Hiasan dalaman kelab itu kelihatan mewah.
Seorang penyelidik berkata, ramai pelanggan berumur antara 20 tahun dan 30 tahun tetapi kadang-kala ada yang berumur hampir 50 tahun. "Kami melihat beberapa wanita cantik dan muda dihiburkan oleh beberapa lelaki. Wanita-wanita berpendapatan tinggi sahaja yang pergi ke kelab ini kerana ia amat mahal," kata seorang penyelidik.
"Kelab itu telah dibuka selama empat tahaun dan dikenali di kalangan ramai wanita terkenal dan kaya," tambahnya.
"Hos-hos kelab itu melayan pelanggan dengan tarian, bermain permainan dan berbual.
"Tidak ada sentuhan tetapi bercium dibenarkan," katanya.
Menurut penyelidik itu, ramai pelanggan tiba selepas pukul 2 pagi.Katanya, terdapat wanita Thailand dan sebahagiannya dari Jepun, Korea dan Singapura.
Menurutnya, semua wanita kelihatan menarik dan berpakaian kemas.
"Lelaki-lelaki yang duduk bersama kami tidak menawarkan seks secara terbuka. Namun, jika anda mahu mengambil seorang lelaki untuk apa sahaja tujuan, yuran bar ialah 1,500 baht (RM149.44). Untuk tujuan seks, wanita-wanita itu perlu membincangkan harga dengan lelaki tersebut," kata seorang penyelidik.
Kelab terakhir yang dikunjungi oleh empat penyelidik itu terletak di Ratchadaphisek Road yang dibuka sehingga awal pagi.
"Pelanggan-pelanggan kelab itu termasuk pelacur kelas tinggi, model, aktres serta penghibur wanita yang menjadi teman lelaki sambilan," kata seorang lelaki, Mr. Suporn yang menyatakan dia ialah pengurus perhubungan awam kelab berkenaan.
Seorang wanita yang menjadi pelanggan kelab itu berkata: "Suami saya mempunyai seorang 'isteri simpanan' jadi, kenapakah saya tidak boleh memiliki seorang suami simpanan?" Seorang pelanggan yang dikenali sebagai Miss Pu yang berumur 38 tahun dan seorang ahli perniagaan berkata, dia mengetahui mengenai kelab yang menawarkan pelacur lelaki daripada seorang rakan.
Menurutnya, sebelum ini dia pernah mendengar terdapat sebuah kelab di Jepun yang menawarkan lelaki kacak untuk menghiburkan wanita.
Menurutnya, terdapat ramai lelaki kacak, peramah dan menghiburkan di kelab tersebut.
"Saya berasa seperti istimewa berada dengan mereka kerana teman-teman sosial lelaki itu memberi banyak perhatian kepada saya dan mereka lebih baik daripada kekasih lelaki saya sebelum ini termasuk yang saya miliki sekarang ini," katanya.
Thailand memang terkenal dengan kehidupan malamnya tetapi baru-baru ini industri pelancongannya terjejas disebabkan oleh tunjuk perasaan antikerajaan pada April dan Mei lalu.
Imej negara itu sebagai 'Tanah Senyuman" terjejas selepas ribuan penunjuk perasaan antikerajaan menduduki daerah beli-belah dan hotel di tengah Bangkok pada April dan Mei lepas dengan menyebabkan 90 orang terbunuh manakala 1,885 lagi cedera. - Agensi- Kosm 5 Julai 2010)

Thursday, July 1, 2010

Lumur badan dengan minyak gris

DIA bertekad menjadi manusia paling tua berenang menyeberangi Selat Inggeris, Julai ini. Pemilik nama Azizan Ali, 62, mahu membuktikan faktor usia bukanlah penghalang bagi menggapai impian. “Sungai di Pengkalan Asam, Kangar, Perlis yang dikatakan dihuni buaya ganas pun saya telah renang hinggakan ramai menganggap saya gila,” bicaranya yakin kepada wartawan MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM.(KOSMO)

BAU minyak gris dipercayai dapat menjauhkan serangan buaya.
APA rahsia kekuatan anda?
Tiada rahsia sebenarnya. Saya mengamalkan makan ulam-ulaman seperti jering, pegaga, mengkudu, rebung dan pucuk betik.
Kebiasaannya, saya makan ulam tersebut mentah-mentah dengan nasi. Ini bagi mengelak khasiat makanan itu hilang. Saya juga mengambil air yang banyak iaitu lapan liter sehari.
Empat biji telur separuh masak menjadi kemestian setiap pagi. Saya makan bahagian yang putih sahaja kerana yang kuning banyak lemak.
Saya juga tidak menghisap rokok dan mengamalkan tidur yang cukup iaitu selama enam hingga lapan jam sehari.
Petua lain yang berbeza dengan orang lain ialah saya banyak ketawa dan senyum. Mungkin pelik tapi penting kerana ia mampu menyihatkan.
Ini kerana apabila seseorang banyak senyum dan ketawa, ia akan mengerakkan jutaan urat dan sel muka yang mampu menyegarkan badan kita selain menghasilkan bahan kimia baik untuk tubuh.
Saya juga mengamalkan pengambilan vitamin tambahan. Ini memberikan kekuatan fizikal, sama seperti kuasa enjin kereta Lamborghini (ketawa). Mengapa lumur minyak gris ke seluruh badan semasa berlatih?
Saya berlatih renang di Sungai Pengkalan Asam. Ada orang kata saya gila kerana sungai itu didakwa ada buaya. Saya pula berenang seorang diri dengan memakai seluar renang, google serta berkaki ayam.
Jadi sebelum berenang, saya akan menyapu minyak gris (berwarna merah dan kebiasaannya untuk membaiki motosikal dan kereta) serta kapur barus pada seluruh badan.
Bau kedua-dua bahan itu cukup busuk dan mungkin menyebabkan buaya lari kerana bau saya. Kalau tidak saya pun kena berenang laju untuk selamatkan diri (ketawa).
Saya membuat latihan renang dan juga berjoging selama tujuh hari seminggu. Ini bermakna setiap hari saya membuat latihan. Waktunya pula pada pagi dan petang.
Untuk waktu pagi selepas solat Subuh, saya akan berjoging di Denai Pengkalan Asam, Kangar dan juga latihan renang di kolam renang utama, Stadium Utama, Kangar, Perlis. Secara kasarnya sejauh 20 kilometer sehari.
Biasakah anda mengalami kejang otot atau digigit ikan?
Saya pernah mengalami kekejangan otot kaki dan juga hampir lemas di Pantai Klebang, Melaka semasa menyertai satu pertandingan renang pada tahun 1995.
Mungkin kerana saya terlalu obses dan juga yakin dengan diri sampai tidak membuat latihan, menyebabkan saya hampir lemas dengan ombak setinggi dua meter. Syukur saya diselamatkan oleh pengawal pantai.
Tetapi sepanjang melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan renang selama lebih 30 tahun, saya tidak pernah digigit ikan, di sengat pari atau obor-obor. Terminum air laut perkara biasa.
Saya juga tidak pernah berhenti berdoa dan mengucap dua kalimah syahadah setiap kali berenang kerana ajal maut kita tidak tahu bila.
Apa yang ingin anda buktikan dengan berenang menyeberangi Selat Inggeris?
Saya ingin buktikan orang Melayu mampu menandingi orang Eropah dan benua lain dalam pelbagai lapangan.
Malah saya ingin membuktikan faktor psikologi memainkan peranan penting bagi seseorang. Umur dan sebagainya tidak menjadi penghalang jika kita bertekad untuk berjaya. Orang berumur pun masih 'power' jika mengamalkan latihan dan pemakanan yang baik.

Plat TAY 1 RM242,000

KUALA TERENGGANU: Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila nombor pendaftaran kenderaan TAY berjaya memungut hasil jualan berjumlah RM1.02 juta selain nombor plat TAY 1 direkodkan sebagai nombor termahal setakat ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Abdul Rahman Emang Ayie, berkata TAY nombor plat pilihan dan paling hangat permintaannya dalam sejarah negeri ini.
Beliau berkata sebanyak, RM1,002,518.25 dikutip daripada peminat nombor plat TAY selepas bidaannya ditutup pada 31 Mac lalu.
Katanya, nombor pendaftaran TAY 1 pula adalah yang termahal pernah dibayar pembida apabila nombor plat terbabit dijual pada harga RM242,000.
“Kami gembira mengumumkan ia rekod termahal yang pernah dicatatkan di seluruh negara setakat ini,” katanya ketika dihubungi, semalam. (Petikan Harian Metro 1 Julai 2010)

Yusuf belum mahu dakwa Cut Tari berzina

2010/06/30 JAKARTA: Suami Cut Tari, Yusuf Soebrata berada dalam keadaan serba salah berhubung skandal seks isterinya, Cut Tari.
YUSUF menemani isterinya ketika disoal siasat oleh polis, semalam. Bapa seorang anak itu masih belum membuat laporan mengenai perzinaan isterinya walaupun masyarakat menunggu tindakan tegas daripadanya.
“Jika Yusuf membuat laporan mengenai perzinaa Cut dengan Ariel, bukan saja Ariel, malah isterinya juga akan berdepan dengan masalah yang lebih berat,” kata seorang anggota polis yang turut terbabit dalam siasatan kes video seks membabitkan penyanyi utama kumpulan Peterpan, Ariel, Cut dan seorang lagi selebriti, Luna Maya. “Kerana masih belum ada pihak yang melaporkan perzinaan itu menyebabkan Ariel hingga kini tidak didakwa atas tuduhan berzina,” katanya.Sementara itu, Cut disoal siasat buat kali kedua semalam.
Akhbar Internet, Detikhot, melaporkan pengacara televisyen yang juga pelakon terkenal itu berada di ibu pejabat polis di Jakarta selama sembilan jam.
Cut yang enggan menjawab sebarang soalan yang diajukan wartawan bergegas memasuki keretanya sambil ditemani Yusuf. - Agensi (Petikan Harian Metro-1 Julai 2010)

Lesen Judi: 'Saya tiada mood' kata Vincent Tan


KUALA LUMPUR 30 Jun (Utusan Malaysia)- 'Saya tiada mood'. Begitulah kata tokoh korporat terkemuka Tan Sri Vincent Tan ketika diminta mengulas tindakan kerajaan membatalkan pemberian lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sport Sdn. Bhd. (Ascot Sport).
Katanya, beliau mempunyai jawapan yang amat panjang untuk pihak media tetapi ia tidak dapat diceritakan pada hari ini.
Beliau sambil berseloroh menambah, hubungan beliau dengan kerajaan amat baik di sebalik apa yang berlaku.
''(Hubungan) kami amat mesra dengan kerajaan dan begitu juga sebaliknya,'' kata beliau selepas menghadiri majlis pelancaran prospektus Berjaya Retail Bhd. (B-Retail) di sini hari ini.
Pada 25 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah memutuskan untuk menarik balik kelulusan pengeluaran lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports berdasarkan pertimbangan agama dan juga politik.
Najib menjelaskan, pendirian itu dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti masyarakat di negara ini.
Tan dalam sidang akhbar yang pernah diadakan sebelum ini, menyatakan lesen tersebut bukanlah baharu kerana ia pernah dikeluarkan buat pertama kali pada tahun 1987 sebelum syarikat itu menyerahkannya semula kepada kerajaan.
Katanya, pengeluaran lesen itu bertujuan mengurangkan aktiviti pertaruhan haram yang berleluasa di negara ini dan kegiatan berkenaan hanya ditawarkan kepada orang bukan Islam.
Ascot Sports dimiliki oleh Tan dengan pegangan sebanyak 70 peratus dengan bakinya 30 peratus dipegang oleh anaknya, Datuk Tan Yeong Ching. Pada sidang akhbar itu, Tan turut mengumumkan cadangan menjual kesemua pegangannya dalam Ascot Sports kepada Berjaya Corp pada harga RM525 juta dan kesemua hasilnya didermakan kepada Yayasan Better Malaysia (YBM) atau sebelum ini dikenali sebagai Yayasan VTCY singkatan kepada Vincent Tan Chee Yioun.
Beliau berkata, tindakan itu adalah sebagai menjawab dakwaan dan tuduhan kononnya wang berkenaan diberikan kepada kakitangan awam dan kerajaan sebagai balasan meluluskan lesen berkenaan.

Ya, saya dan Rizal bercinta - Fasha Sandha

KUALA LUMPUR 30 Jun - Aktres yang penuh kontroversi, Fasha Sandha, 26, akhirnya mengaku bercinta dengan bekas suami pelakon popular, Nora Danish iaitu Toh Muda Rizal Ashram Ramli.
Menurut Fasha, dia dan Rizal mula menjadi pasangan kekasih selepas peristiwa Rizal membuat kejutan dengan datang ke set penggambarannya di Pulau Lang Tengah, Terengganu menaiki helikopter.
"Saya terharu dengan kesungguhan dan keberanian Rizal menunjukkan cintanya dan saya rasa itulah masa terbaik untuk menerima cintanya.
"Keluarga saya dan Rizal mengetahui kami berdua bercinta. Tetapi saya tidak tahu atau ambil kisah penerimaan mereka kerana kami belum merancang mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.
"Kami bahagia sekarang. Rizal ada menghadiahkan sebentuk cincin tanda saya kini miliknya ketika di Pulau Lang Tengah," kata Fasha pada sidang akhbar drama bersiri Duyong Aridinata di sini hari ini.
Pada 17 Mei lalu, Rizal dan rakan-rakannya membuat kejutan kepada pelakon filem Anak Halal itu dengan hadir menaiki helikopter peribadi ketika Fasha menjalani penggambaran drama bersiri terbarunya, Duyong Aridinata di sana.
Helikopter peribadi milik Rizal yang merupakan ahli perniagaan berjaya itu mendarat berhampiran calet yang didiami Fasha bersama krew drama.
Rizal kemudian dilihat menjamu selera makan tengah hari bersama Fasha dan krew-krew yang lain.
Kata Fasha, dia mengumumkan kisah percintaannya hari ini kerana berasa sudah sampai waktunya dia berkongsi mengenainya bersama orang ramai dan tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan.
"Saya harap selepas pengakuan ikhlas saya ini, orang ramai dapat menerimanya kerana sekarang ini saya dan Rizal sangat bahagia bersama," katanya.- Utusan Malaysia 1 Julai 2010