Sunday, February 6, 2011

LATIHAN DI GUNUNG TEBU

BESUT, TERENGGANU, 3 FEB 2011 — Pendaki Solo, Mohd Noor Mat Amin mengambil kesempatan untuk mendaki sehingga ke puncak Gunung Tebu sempena cuti Tahun Baru Cina semalam.
Beliau melakukan latihan sebagai persediaan sebelum membuat pendakian sebanyak 70 kali tangga Menara Kuala Lumpur pada 16-17 April ini bagi memecahkan rekod dunia dan seterusnya dimasukkan namanya di dalam Guinness World Record.

Gunung tebu setinggi 1,300 meter merupakan salah satu lokasi latihan selain di tangga Batu Caves, Bukit Broga di Semenyih, Gunung Kinabalu dan tangga pangsapuri setinggi 10 tingkat.

Gambar menunjukkan beliau sedang berada di sekitar puncak gunung Tebu selepas memulakan pendakian pukul 10 pagi dan tiba di puncak pukul 1 tengahari semalam.

Selepas berada seketika di puncak sambil menghirup udara nyaman, beliau terus turun dan sampai di kawasan perkhelahan Lata Belatan pukul 4 petang.

Tuesday, February 1, 2011

Misi rekod Menara KL

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA - Kosmo 31 Jan 2011
TARIKH 16 hingga 17 April nanti merupakan detik penting kepada pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin. Ini kerana buat pertama kalinya, beliau akan mencipta rekod dunia bagi mendaki tangga Menara Kuala Lumpur (Menara KL) selama 24 jam tanpa henti.
Dalam usaha itu, Mohd. Noor kini giat mempersiapkan dirinya dengan melakukan latihan intensif di seluruh negara. Antara lokasi yang dipilih adalah Bukit Broga dan Batu Caves, Selangor; Gunung Tebu dan Bukit Besar, Terengganu; Menara Alor Setar, Kedah; Puncak Universiti Malaysia Sabah dan Gunung Kinabalu, Sabah.
Lebih menarik, kali ini beliau tidak bersendirian menjalani latihan sebaliknya turut ditemani lebih 1,000 pelajar dari beberapa universiti tempatan melalui Program Semarak Misi Rekod Dunia 2011.
Bercerita mengenainya, Mohd. Noor berkata program yang mendapat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi itu sudah bermula sejak Januari lalu dibagikan kepada beberapa fasa.
“Fasa pertama melibatkan Bukit Broga, kemudian diteruskan ke beberapa lokasi lain di seluruh negara sehinggalah April nanti,” katanya.
Tambah Mohd. Noor, sepanjang program, beliau bukan sahaja melakukan latihan intensif bersama pelajar-pelajar berkenaan malah turut memberi motivasi, tip dan berkongsi pengalaman yang pernah dilaluinya.
“Saya mahu golongan ini menyedari tiada apa yang mustahil, asalkan mereka mempunyai keyakinan dan disiplin yang tinggi serta bersedia mengharungi cabaran mendatang.
“Pada masa yang sama, saya mahu melahirkan golongan pelapis yang bersedia melakukan sesuatu yang luar biasa bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga negara,” jelasnya.
Sementara itu, mantan Presiden Kelab Kembara Management & Science University (MSU), Muhammad Zakir Muhammad berkata seramai 50 pelajar dari universiti itu terlibat dalam program yang diadakan baru-baru ini.
Katanya, kesungguhan dan keazaman pendaki solo itu yang berusaha merealisasikan impian perlu dicontohi walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran.