Mohd Noor panjat Menara KL 50 kali dalam tiga hari
01-02-2008 05:41:47 PM
KUALA LUMPUR: Selepas mencipta rekod "Pendakian Solo 50 Puncak Gunung Kinabalu Merdeka" pada 10 Julai hingga 10 September lepas, Mohd Noor Amin kini berhasrat mencipta rekod baru iaitu Pendakian Solo 50 Menara Kuala Lumpur.
Pendaki Gunung Everest 1997 yang berusia 41 tahun itu meluahkan rasa terima kasih kepada Menara Kuala Lumpur kerana sudi menjadi penganjur walaupun di saat akhir dan sentiasa memberi sokongan moral kepadanya.
"Saya berharap supaya rekod ini dapat melakarkan satu lagi sejarah di menara itu," katanya sebelum memulakan pendakian yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Mohamad, Jumaat.
Jurufoto akhbar Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad itu akan mendaki 2,580 anak tangga Menara Kuala Lumpur sebanyak 50 kali dalam masa tiga.
Mohd Noor memulakan pendakian pada pukul 9.31 pagi dan tamat pusingan pertama pada pukul 10.24 pagi.
Terdahulu, Zulkifli ketika berucap berkata acara itu diadakan bersempena dengan "KL Tower International Forest Towerthon Challenge 2008" yang akan berlangsung Ahad ini.
"Kami telah menganjurkan sebanyak tujuh kali acara seperti ini dan bagi tahun ini kami ubah sedikit untuk memberi kelainan iaitu peserta akan memulakan larian di kawasan hutan sebelum mendaki anak tangga," katanya.
Setakat ini, Menara Kuala Lumpur menerima permohonan penyertaan 1,341 orang peserta dari seluruh dunia termasuk Thailand, Kenya, Morocco, Singapura dan Jepun.
"Saya berharap rakyat Malaysia khususnya generasi muda untuk terus mencipta rekod di dalam negara dengan menyertai cabaran lasak untuk menyemarakkan lagi industri pelancongan di negara kita," katanya.
Menara Kuala Lumpur turut mengadakan pelbagai program bagi memeriahkan program pendakian itu.
Zulkifli berkata setakat hari ini, Menara Kuala Lumpur menerima 9.85 juta pengunjung dan hadiah menarik menanti pengunjung ke 10 juta iaitu pakej percutian ke Paris untuk dua orang. BERNAMA