Tuesday, August 12, 2008

Pendaki solo Menara Tun Mustapha kunjungi Datuk Bandar K. Kinabalu
KOTA KINABALU 11 Ogos - Jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin yang berjaya menamatkan cabaran pendakian solo Menara Tun Mustapha, kelmarin mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim hari ini.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merupakan antara penaja utama Mohd. Noor, 41, ketika beliau mencipta rekod mendaki Gunung Kinabalu secara solo sebanyak 50 kali pada tahun lalu.
Dalam pertemuan itu Iliyas berkata, DBKK akan memberikan sokongan dan menjalinkan kerjasama secara berterusan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh kedua-dua pihak.
''Kita berharap kerjasama ini diteruskan pada masa akan datang kerana kita mahu menjadikannya contoh terbaik kepada masyarakat.
''Kita mahu menunjukkan kepada semua pihak bahawa rakyat Malaysia sememangnya memiliki semangat jati diri tinggi dan mampu mencipta kejayaan membanggakan seperti yang dilakukan pendaki kita," katanya.
Turut hadir ialah Penasihat KL Tower International BASE Jump 2008, Wan Ahmad Lotfi Wan Ibrahim.
Selepas mencipta rekod mendaki Gunung Kinabalu 50 kali tahun lalu, Mohd. Noor mencipta rekod baru menerusi pendakian solo Menara Tun Mustapha.
Kali ini dia berjaya mendaki kira-kira 600 anak tangga Menara Tun Mustapha setinggi 30 tingkat sebanyak 51 kali.
Pendakian sempena 51 tahun kemerdekaan negara itu dijadualkan selama tiga hari tetapi beliau berjaya menamatkan pendakian itu dalam tempoh dua hari.
Mohd. Noor berkata, kejayaan pendakian ini adalah hasil sokongan padu semua pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan dan DBKK.
''Saya mengucapkan terima kasih kepada DBKK kerana banyak membantu dalam pelbagai aspek sejak pendakian solo Gunung Kinabalu pada tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat tersebut.
Sebelum ini, beliau berjaya mendaki Menara Kuala Lumpur sebanyak 30 kali dalam tempoh tiga hari sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 pada Ogos tahun lalu.
Pendakian seterusnya ialah di Menara Alor Star, Kedah dan Hotel Felda, Terengganu sebelum kemuncaknya di Menara Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini. - Utusan Malaysia 11Ogos 2008