SEPANG: “Ketika tiba di ketinggian 6,085 meter (14,000 kaki) saya ada dua hari untuk berfikir sama ada meneruskan pendakian ke puncak atau turun kerana keadaan kaki yang melecet teruk,” kata pendaki negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin atau Qobin.
Qobin berlepas ke Los Angeles, Amerika Syarikat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), akhir bulan lalu untuk memulakan misi Ekspedisi Tujuh Puncak Tujuh Benua Tujuh Nilai dengan mendaki Gunung McKinley di Amerika Utara yang dijangka berakhir pertengahan bulan ini.
Dengan nada kecewa Qobin berkata, dia yang memulakan pendakian 3 Jun lalu bagaimanapun membuat keputusan untuk menamatkan pendakian selepas lima hari bagi mengelakkan kecederaan lebih serius berikutan mengalami reput salji pada beberapa jari kanan, terbakar sebahagian muka serta melecet yang teruk akibat salji yang terlalu tebal.
“Saya terpaksa mengambil keputusan untuk turun kerana sakit dan risiko gagal ke puncak amat tinggi. Lebih memburukkan lagi keadaan saya terpaksa membawa sendiri bekalan makanan dan minuman kerana tiada pembantu seperti ketika mendaki Gunung Everest sebelum ini.
“Dalam keadaan itu, kita harus berfikiran rasional untuk membuat keputusan terbaik. Saya fikir jangan pulang dengan hilang semuanya (anggota badan) dan tidak berjaya meneruskan misi untuk menawan gunung berkenaan sedangkan saya boleh mencuba lagi apabila sudah sembuh kelak kerana gunung McKinley masih ada di situ,” katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Los Angeles di KLIA, di sini, semalam.
“Jika saya teruskan pendakian mungkin saya akan kehilangan anggota badan akibat mengalami pereputan salji,” katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Los Angeles di KLIA, di sini, semalam.
Walaupun mengetahui hanya satu ‘base camp’ saja untuk dia menjejakkan kaki ke puncak gunung itu, dia tidak ingin mengambil risiko dan mengambil keputusan amat berat dengan berpatah balik ke kaki gunung.
“Sebelum saya mengambil keputusan untuk berpatah balik, salji masih turun sehingga ketebalan tiga ke empat kaki. Malah, difahamkan ramai pendaki lain lagi termasuk yang sudah berada di ketinggian lebih 1,518 meter (17,000 kaki) terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk di puncak Gunung McKinley,” katanya.
Qobin berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan misi Ekspedisi Tujuh Puncak Tujuh Benua Tujuh Nilai, tetapi dia perlu berehat antara dua hingga tiga minggu sebelum meneruskan misi untuk menawan puncak gunung Kilimanjaro bulan depan.
“Kegagalan ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk meneruskan misi. Tetapi saya perlu berehat dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Damansara sebelum memulakan latihan semula.
“Kecederaan di muka mungkin mengambil masa sebulan lebih untuk pulih. Saya akan terus menjalani latihan fizikal seperti biasa,” katanya. - HARIAN METRO NEWS 15 JUN 2010