Thursday, July 15, 2010

Bank Muamalat rai petugas media di Gunung Kinabalu

Pelbagai cara dilakukan oleh syarikat korporat bagi meraikan petugas-petugas media seperti menganjurkan acara mencari harta karun, majlis makan malam, majlis anugerah media dan sebagainya.
Sebagai tanggung jawab sosial, Bank Muamalat telah mengambil satu pendekatan yang berbeza jika dibandingkan dengan syarikat korporat yang lain dengan menganjurkan aktiviti sukan lasak yang sukar dilupakan oleh setiap peserta daripada wakil media.
Baru-baru ini, Bank Muamalat menjadi syarikat korporat pertama menganjurkan ekspedisi Kembara Media Via Ferrata Gunung Kinabalu yang disertai oleh 23 orang wakil media pada 7 hingga 10 Julai lalu.
Petugas media cetak dan elektronik yang menyertai kembara itu termasuklah daripada Utusan Malaysia, Kosmo, Harian Metro, Berita Harian, Bernama dan beberapa orang kakitangan Jabatan Akauntan Negara.
Pelbagai pengalaman ditempoh oleh semua peserta yang telah diberi peluang melakukan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4.095 meter dan melakukan aktiviti via ferrata (laluan besi) yang mula beroperasi tahun 2007 dan ianya tertinggi di dunia serta pertama di asia.
Apa tidaknya, kebanyakannya peserta media yang sentiasa sibuk dengan tugasan harian telah menyebabkan mereka tidak berpeluang untuk menjalani latihan sebagai persediaan untuk menguatkan mental dan fizikal.
Ada juga, boleh ke sampai ke puncak Kinabalu dan ke via ferrata ni, saya tak pernah mendaki gunung dan tidak kuat stamina… ujar salah seorang peserta media yang agak risau pada sessi taklimat mengenai perjalanan kembara yang julung dilakukan oleh Bank Muamalat.
Namun begitu, semangat para peserta kembara terus membara untuk sampai di puncak gunung yang tertinggi di Asia Tenggara apabila mendapat suntikan perangsang daripada pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin yang berjaya melakukan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari sebelum ini.
Kehadiran pendaki solo telah membuatkan semua peserta begitu bersemangat untuk mengharungi cabaran sehinggalah dapat berdiri megah di puncak Gunung Kinabalu dan melakukan aktiviti meniti di laluan dinding granit Gunung Kinabalu (via ferrata).
Semangat telah mengatasi segala-galanya apabila semua menjejak kaki di terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan disambut oleh petugas Bank Muamalat sebelum menaiki bas yang tersedia untuk bergerak ke penginapan di Kundasang untuk bermalam.
Para peserta terus bersemangat apabila disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid diperkarangan hotel penginapan dan turut memberi kata-kata perangsang pada majlis makan malam kepada para peserta.
Sebaik sahaja semua bersedia pada keesokkan harinya, pendakian yang diketuai oleh Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Bank Muamalat, Hanif Abu Bakar dan Pengurus Kawasan, Sulaiman Mohd Noor bersama semua wakil media telah memulakan pendakian meninggalkan Timpohon Gate pukul 9.45 pagi.
Mereka begitu bersemangat ketika pendakian, walaupun penat hingga tidak terkata, itulah pengalaman pertama di rasai, mesti sampai ke puncak Kinabalu dan mesti boleh melalui dinding batu di via ferrata.
Walaupun selepas tengahari, hujan renyai mula membasahi di laluan sejauh enam kilometer ke Laban Rata, mereka tetap tidak mahu kalah walaupun penat sehingga tidak terkira.
Akhirnya, semua peserta tiba di Laban Rata untuk makan malam sebelum mendaki tangga ke Pendant Hut iaitu penginapan yang di tempah oleh Bank Muamalat untuk berehat sebelum meneruskan pendakian ke puncak tertinggi di Asia Tenggara pukul 2.30 pagi keesokkan harinya.
Sebelum semua melelapkan mata di Pendant Hut, Jurulatih Mountain Torq telah memberi taklimat dan menunjuk cara menggunakan peralatan bagi menyertai aktiviti menyusur dinding via ferrata selepas tiba di puncak nanti.
Tepat pukul 1.30pagi, semua peserta media telah bangun dan minum pagi dan telah memulakan pendakian ke puncak gunung bersama semua pendaki lain pada pukul 2.30 pagi.
keadaan gelap gelita yang hanya disinari kelipan lampu suluh setiap pendaki melalui laluan yang terpaksa merempuh ratusan anak tangga menyebabkan ianya amat meletihkan sekali, namun begitu ianya tidak mematahkan semangat peserta dan mereka telah tiba di puncak bersama semua pendaki dari dalam dan luar negara seawal pukul 5 pagi.
Selepas berada seketika di kawasan puncak, semua peserta media mula meninggalkan puncak tertinggi di Asia tenggara itu bergerak berhati-hati menuju ke check point Sayat-Sayat yang mana jurulatih Mountaion Touq sedia menunggu untuk member peralatan khas sebelum aktiviti di laluan dinding via ferrata.
Perjalanan melalui dinding batu, via ferrata bermula pukul 8.30 pagi dan ianya didahului oleh pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin sebagai penyuntik semangat kepada semua peserta media yang lain.
Walaupun pada mulanya, sebahagian kecil peserta media agak cemas kerana gayat, tetapi bila berada di tengah laluan dinding itu telah bertukar menjadi satu aktiviti yang menyeronokan. Perjalanan di laluan dinding telah berakhir pada pukul 10.30 pagi.
Selepas itu, semua peserta terus turun ke Pendant Hut untuk minum pagi dan seterusnya bergerak turun ke Timpohon Gate dengan melalui laluan yang sama ketika mendaki semalam.
Alamak… saya ingat turun lagi mudah, rupanya semua sendi, otot-otot dan lutut bergoyang longlai… terpaksalah berjalan pelahan-lahan dan berhati-hati.
Akhirnya semua peserta elah tiba di Timpohon Gate dari pukul 3 petang dan yang terakhir pula tiba pukul 6.30 petang.
Selepas itu, semua peserta media bergerak ke hotel penginapan dan majlis penyampaian sijil kejayaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Rezal Shah Abdul Wahid pada majlis makan malam di sebuah hotel di Kota Kinabalu.
Keesokkan harinya, walaupun sebahagian besar peserta media terpaksa bergerak agak terbatas kerana otot-otot mulai tegang, mereka sempat membeli cenderamata sebelum pulang ke ibu kota pada sebelah tengahari.
Pengalaman dalam Kembara Media Via Ferrata Gunung Kinabalu anjuran Bank Muamalat cukup bererti kepada semua peserta media khususnya mereka yang kali pertama menjejak kaki di Gunung Kinabalu. Terima kasih Bank Muamalat yang menjadi perintis syarikat korporat menganjurkan aktiviti lasak untuk media.- habis