Thursday, July 1, 2010

Lesen Judi: 'Saya tiada mood' kata Vincent Tan


KUALA LUMPUR 30 Jun (Utusan Malaysia)- 'Saya tiada mood'. Begitulah kata tokoh korporat terkemuka Tan Sri Vincent Tan ketika diminta mengulas tindakan kerajaan membatalkan pemberian lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sport Sdn. Bhd. (Ascot Sport).
Katanya, beliau mempunyai jawapan yang amat panjang untuk pihak media tetapi ia tidak dapat diceritakan pada hari ini.
Beliau sambil berseloroh menambah, hubungan beliau dengan kerajaan amat baik di sebalik apa yang berlaku.
''(Hubungan) kami amat mesra dengan kerajaan dan begitu juga sebaliknya,'' kata beliau selepas menghadiri majlis pelancaran prospektus Berjaya Retail Bhd. (B-Retail) di sini hari ini.
Pada 25 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah memutuskan untuk menarik balik kelulusan pengeluaran lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports berdasarkan pertimbangan agama dan juga politik.
Najib menjelaskan, pendirian itu dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti masyarakat di negara ini.
Tan dalam sidang akhbar yang pernah diadakan sebelum ini, menyatakan lesen tersebut bukanlah baharu kerana ia pernah dikeluarkan buat pertama kali pada tahun 1987 sebelum syarikat itu menyerahkannya semula kepada kerajaan.
Katanya, pengeluaran lesen itu bertujuan mengurangkan aktiviti pertaruhan haram yang berleluasa di negara ini dan kegiatan berkenaan hanya ditawarkan kepada orang bukan Islam.
Ascot Sports dimiliki oleh Tan dengan pegangan sebanyak 70 peratus dengan bakinya 30 peratus dipegang oleh anaknya, Datuk Tan Yeong Ching. Pada sidang akhbar itu, Tan turut mengumumkan cadangan menjual kesemua pegangannya dalam Ascot Sports kepada Berjaya Corp pada harga RM525 juta dan kesemua hasilnya didermakan kepada Yayasan Better Malaysia (YBM) atau sebelum ini dikenali sebagai Yayasan VTCY singkatan kepada Vincent Tan Chee Yioun.
Beliau berkata, tindakan itu adalah sebagai menjawab dakwaan dan tuduhan kononnya wang berkenaan diberikan kepada kakitangan awam dan kerajaan sebagai balasan meluluskan lesen berkenaan.