Wednesday, August 18, 2010

Ekonomi Malaaysia melebihi 6.0 peratus pada 2010

18/08/2010 9:21pm
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka melebihi 6.0 peratus tahun ini, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Ia berdasarkan angka pertumbuhan kukuh yang direkodkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini meskipun ekonomi maju mencatatkan pertumbuhan yang perlahan, kata Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Bank Negara memantau kelembapan ekonomi yang perlahan itu, katanya, dan menambah ia yakin ekonomi akan terus berkembang pada separuh kedua tahun ini.
Momentum pertumbuhan pada separuh pertama 2010 melantun kepada 9.5 peratus daripada - 5.1 peratus dalam tempoh yang sama pada 2009.
"Berdasarkan pertumbuhan yang kukuh yang kita alami pada separuh pertama tahun ini, kami yakin ekonomi akan terus berkembang pada separuh kedua meskipun persekitaran yang mencabar dengan pertumbuhan ekonomi maju, yang merupakan rakan dagang kita, semakin perlahan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan KDNK bagi suku kedua tahun ini, di sini hari ini.
Ditanya sama ada ia merupakan unjuran baharu oleh bank pusat itu, Zeti berkata: "Tidak ada unjuran, sekadar menyatakan itulah angka yang dijangkakan berdasarkan apa yang kita lihat setakat ini.
"Kami tidak menjangkakan kemelesetan dalam ekonomi maju, namun tahap pertumbuhannya perlahan," katanya yang menambah, risiko momentum pertumbuhan global menyederhana semakin meningkat susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap krisis hutang negara dan perancangan penyepaduan fiskal di beberapa negara maju.
Beliau berkata, unjuran pertumbuhan sebenar akan diumumkan pada Bajet 2011 Oktober ini.
BNM sebelum ini mengunjurkan KDNK bagi 2010 akan berkembang antara 4.5 dan 5.5 peratus.
Zeti berkata, untuk masa depan, permintaan domestik yang memain peranan penting dalam ekonomi Malaysia kini, dijangka kekal kukuh, diperkukuh dengan permintaan sektor swasta yang pesat.
Mengenai Ekonomi Malaysia beliau berkata, ia kukuh, disokong oleh sistem kewangan yang padu, mudah tunai yang banyak dan akses mudah kepada pembiayaan.
Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), Zeti berkata: "Kami menjangkakan kemasukan FDI akan terus kukuh.
"Ini diperkukuh menerusi usaha kerajaan untuk meningkatkan proses perniagaan bagi syarikat yang datang ke Malaysia," kata Zeti, dan menambah, dagangan antara ASEAN juga meningkat. - Bernama