MENGAYUH basikal di London kini akan lebih selesa, walaupun pada hakikatnya ia mungkin akan menjadi satu pengalaman yang agak menakutkan. Warga London dikatakan bakal melupakan dua kenderaan awam terkenal di kota itu iaitu teksi berwarna hitam dan bas dua tingkat apabila program sewa basikal yang dilancarkan oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson baru-baru ini membolehkan tambahan 6,000 buah basikal disediakan oleh pihak berkuasa.
Melalui inisiatif itu, penunggang dapat menyewa basikal di 400 lokasi terpilih di sekitar bandar raya berkenaan. Johnson memanggilnya sebagai sinar baru untuk berbasikal di ibu kota. Bagaimanapun, sesetengah penunggang basikal veteran melihat kempen tersebut sebagai satu inisiatif yang akan menyebabkan London lebih kacau-bilau.
Tidak seperti di Amsterdam, jalan berbasikal dengan kenderaan lain dipisahkan dalam satu lorong berbeza, sebaliknya pengayuh basikal di London mungkin menyabung nyawa apabila mereka hanya dipisahkan dengan garisan putih daripada ribuan kereta di jalan raya.
Bagaimanapun Jawatankuasa Kempen Berbasikal di London menolak dakwaan mengayuh basikal di London sebagai berbahaya. Ia mungkin menjadi tabiat kebanyakan orang termasuk penunggang basikal. Apabila brek basikal semakin haus, mereka berfikir untuk menyelesaikannya kemudian. Bagaimanapun, apabila basikal yang dikayuh merempuh belakang teksi hitam di persimpangan Gray's Inn Road dan Calthorpe Street, mereka terfikir alangkah baiknya kalau brek itu dibaiki sebelum itu.
Justeru itu kajian Kempen Berbasikal di London mendapati kebanyakan kemalangan yang berlaku bukan kerana kesalahan pemandu lain, sebalik sikap penunggang basikal sendiri.
Jadi, bagi mengelakkan ia terus berlaku penunggang basikal di London dinasihatkan untuk memakai jaket keselamatan yang bercahaya, sarung tangan atau beg galas berwarna kuning terang.
Walaupun pemakaian tersebut kelihatan janggal tetapi ia sekurang-kurangnya mampu menampakkan kehadiran penunggang di jalan raya. Rata-rata kemalangan yang berlaku tidak terlalu serius.
Berdasarkan statistik Jabatan Pengangkutan London, bilangan kematian di antara tahun 1987 dan 2007 tidak banyak berubah iaitu kira-kira 15 peratus setahun meskipun jumlah pengayuh basikal bertambah dua kali ganda.
Menyokong kempen tersebut, Johnson mendakwa kebanyakan pelancong tidak mengetahui bahawa London mempunyai rangkaian terusan yang melalui bahagian tengah dan timur bandar tersebut. Oleh itu, ia boleh menjadi laluan alternatif kepada penunggang basikal.
Sebelum ini lorong-lorong itu amat berguna kepada pejalan kaki atau kereta kuda, bagaimanapun penunggang diberi amaran bahawa tidak mudah untuk mengayuh basikal di laluan blok konkrit.
Setiap penunggang yang melaluinya tidak boleh memecut kerana anda mungkin mudah hilang kawalan.
Ketika waktu tengah hari, ramai yang akan menggunakan laluan tersebut maka, pihak berkuasa mungkin perlu mengehadkan kelajuan.
EMPEN berbasikal di London dikritik sesetengah pihak yang melihat ia agak berbahaya kerana tidak dilengkapi dengan prasarana lengkap seperti Amsterdam.
Penulis sendiri pernah melalui insiden perlanggaran dengan penunggang basikal dari arah bertentangan lorong terusan hingga menyebabkan kecederaan.
Lupakan tanda-tanda jalan ataupun sistem grid kerana rangkaian trafik di London terdiri daripada campuran laluan gaya Rom, zaman pertengahan, zaman abad ke-19 dan lingkaran trafik konkrit moden yang amat mengagumkan.
Ia juga adalah antara yang terpanjang di Eropah iaitu di antara kota dengan kepadatan penduduk yang tinggi. Cuba untuk mengingati tempat-tempat terkenal di kota sepanjang jalan juga merupakan satu cabaran. Lokasi terbabit termasuklah Dataran Leicester, Covent Garden, Oxford Street, Regent Street, Bond Street, Mayfair, Soho dan Trafalgar Square.
Sesetengah yang menunggang basikal bergantung kepada papan tanda untuk mengetahui di mana mereka berada. The River Thames dan The London Eye Ferris Wheel di timur dan bangunan pencakar langit The Gherkin adalah contoh penanda yang bagus untuk digunakan.
Setelah memahami selok-belok jalan dan jalan pintas, mereka yang berbasikal boleh berada di mana-mana sahaja.
Tidak kira sama ada anda tinggal di London untuk tempoh yang lama atau sebagai pelancong, menggunakan basikal untuk aktiviti harian akan memberi kebaikan dari segi ekonomi.
Ini kerana kemudahan di London amat mahal. Misalnya caj sehala yang dikenakan dari Convent Garden ke Hyde Park dengan kenderaan awam lain mencecah AS$6.25 (RM19). Jika pun anda sudah membeli sistem kad diskaun, harga mingguan yang dikenakan berjumlah AS$40 (RM126).
Namun, dengan caj AS$7.85 (RM25) bagi tujuh hari penyewaan atau AS$80 (RM253) untuk keahlian selama setahun nampaknya mengayuh basikal di London lebih menguntungkan. Apatah lagi anda tidak perlu bersesak dengan orang ramai untuk menggunakan kereta api bawah tanah. Kosmo-16 Ogos 2010