16/08/2010 1:57pm
JASIN 16 Ogos - Kerajaan akan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Okt. ini yang memberi jaminan faedah tertentu kepada orang ramai yang bekerja separa masa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S.Subramaniam berkata, peraturan itu, yang telah diwartakan baru-baru ini, adalah bagi memastikan hak dan perlindungan pekerja separa masa daripada segi terma pemburuhan lebih jelas dan menyeluruh.
Peraturan tersebut mengandungi formula yang menentukan pembayaran gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia di Dewan Alamanda Jasin di sini hari ini.
Subramaniam berkata peraturan baru ini akan memberi jaminan faedah kepada 6.5 juta orang seperti suri rumah, ibu tunggal, pesara, orang kurang upaya dan pelajar institusi pengajian tinggi yang ingin bekerja secara separa masa. - Bernama