Saturday, August 14, 2010

Wanita bersuami enam

Oleh ROZIANAH RISMAN
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Jika sebelum ini, golongan lelaki sering dikaitkan dengan kasanova tetapi lain pula berlaku kepada seorang wanita ini yang berwajah cantik dan pandai berkata-kata apabila menggunakan kelebihannya itu untuk tujuan salah.
Berbekalkan kelebihan itu, dia bukan sahaja telah mengahwini enam lelaki berusia antara 23 tahun dan 30-an malah memperdaya mereka untuk mengikis sumber kewangan golongan tersebut.
Akibat merasa diri mereka ditipu, dua mangsa yang mendakwa telah berkahwin dengan wanita itu, tampil membuat aduan di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA hari ini.
Ketuanya, Datuk Micheal Chong berkata, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Jery, 23, dan Jet, 25, mengaku berkahwin dengan wanita yang didakwa sudah mempunyai empat suami lain.
“Kedua-dua mangsa berkenalan dengan wanita itu secara berasingan iaitu melalui iPod dan laman web sosial Facebook.
“Mereka kemudian berjumpa lalu terpikat dengan kecantikan dan kata-kata manis oleh wanita itu,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Katanya, selepas beberapa lama mengenali wanita itu, kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk mengahwininya setelah wanita tersebut membuktikan dirinya telah hamil.
“Kedua-dua mangsa terjerat dengan taktik yang serupa sebelum membuat keputusan untuk mengahwininya iaitu kerana mengandungkan anak mereka.
“Mereka kemudian berkahwin mengikut adat tradisional Cina dan tidak mendaftar perkahwinan secara sah kerana wanita itu tidak mahu berbuat demikian,” ujarnya.
Micheal memberitahu, selepas mendirikan rumahtangga, wanita itu mula mengatur helah untuk melakukan pelbagai bentuk penipuan sehingga ramai lagi yang menjadi mangsa termasuk keluarga dan sahabat terdekat.
“Wanita terbabit memperdayakan suami mereka supaya melibatkan diri dalam skim cepat kaya.
“Jery yang merupakan suami kedua wanita itu telah menyerahkan modal RM15,000 kepada isterinya manakala Jet yang merupakan suami keenam pula mengeluarkan modal sebanyak RM12,000,” katanya.
Tambahnya, isteri mereka turut meminjam duit daripada pihak-pihak tertentu sehingga dikejar oleh pemiutang terbabit.
Tambah menyedihkan Jet, isterinya itu turut memperdayakan rakan-rakannya supaya memasukkan wang ke dalam akaunnya sehingga mencecah RM400,000 tanpa pengetahuannya.
Katanya, banyak penipuan yang telah dilakukan isterinya itu namun kedua-dua lelaki terbabit tidak mengetahui niat buruk wanita dikahwini mereka.
“Perkara itu akhirnya terbongkar apabila mereka menemui keratan akhbar yang menyiarkan kisah penipuan wanita terbabit yang dilakukan sejak 2009.
“Mereka kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Cheras sebelum wanita itu akhirnya ditahan di Kepong, Khamis lalu,” ujarnya dan memberitahu wanita itu turut mempunyai enam anak hasil perkahwinan dengan lelaki-lelaki terbabit.
Berikutan itu, Jerry dan Jet meminta pihak-pihak terlibat memahami situasi mereka yang menjadi mangsa penipuan wanita tersebut.