Tuesday, October 5, 2010

RENCANA UTAMA

Annoo kayuh basikal 25km

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
Semasa Projek Malaysia-Everest 97 diumumkan pada 1996, beliau antara 28 anggota ekspedisi yang terpilih menggalas misi berkenaan. Tugasnya, melapor dan merakamkan detik-detik pendakian bersejarah itu.
Sebagai persediaan, beliau dan anggota ekspedisi telah menjalani beberapa latihan intensif pendakian di New Zealand dan India serta sekitar Banjaran Himalaya.
"Bukan mudah untuk menyertai projek nasional yang baesar apatah lagi mengikuti ekspedisi pertama Malaysia untuk menawan gunung setinggi 8,848 meter dan tertinggi di dunia.
"Persekitaran sejuk yang ekstrem, menggalas beg seberat 30 hingga 35 kilogram (kg) setiap hari begitu mencabar mental dan fizikal. Pada masa yang sama, saya perlu menghantar berita dan memproses gambar untuk tatapan pembaca setia Utusan Malaysia setiap hari," kata Mohd. Noor Mat Amin membuka cerita.
Menjadi satu-satunya wartawan media cetak dalam ekspedisi berkenaan, memberikan pengalaman paling berharga dalam hidup lelaki berusia 43 tahun itu.
Beliau sendiri mengalami frosbit atau kecederaan pada tisu yang disebabkan sejuk beku sehingga jari-jemarinya bertukar kehitam-hitaman. Beliau juga pitam seharian akibat kekurangan gula di dalam badan.
DALAM persekitaran sejuk yang ekstrem ketika menyertai Projek Malaysia-Everest 97, Mohd. Noor sibuk memproses gambar yang perlu dihantar untuk tatapan pembaca Utusan Malaysia.
Namun, segala kesakitan terubat sebaik dua wira negara, M. Magendran dan N. Mohanadas mengibarkan Jalur Gemilang di puncak gunung itu pada 23 Mei 1997. Pengalaman sepanjang ekspedisi itu dilahirkan dalam bukunya, Jejak Ke Puncak setebal 210 muka surat yang diterbitkan pada tahun 2001.
Jauh di sudut hatinya, dia juga ingin melakar kejayaan yang sama, namun permit yang terhad untuk ke puncak Everest menyebabkan beliau memendam impiannya.
Sebagai anak kepada seorang penoreh getah, Mohd. Noor atau lebih mesra dengan panggilan Annoo sudah biasa menjalani kehidupan lasak sejak kecil. Sejak berusia usia lima tahun, dia sudah biasa menolong bapanya, Mat Amin Ismail, 78, menoreh dan mengangkut susu getah. Adakalanya, beliau mengambil upah menanam padi atau mengikut neneknya menjual kayu api di Pasar Payang, Kuala Terengganu.
"Semasa di sekolah rendah, saya berjalan kaki sejauh lima kilometer (km) setiap hari, begitu juga semasa sekolah menengah, selepas subuh saya akan mengayuh basikal sejauh 25 km. Mungkin itu agaknya kaki saya kuat," selorohnya.
Tekad untuk mengubah nasib keluarga, anak ketiga dari lapan beradik itu menyambung pelajaran di Institut Kemahiran Belia Negara Pertak di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada tahun 1987.
"Saya minat mengambil gambar sejak di tingkatan empat, lepas itu saya jual kepada pihak sekolah dan kawan-kawan. Mula-mula saya guna kamera abang, selepas ada modal sikit saya beli kamera jenama Olympus pada harga RM300," kata Annoo mengimbas minatnya dalam bidang fotografi.
Pernah menimba pengalaman sebagai jurugambar di Berita Harian dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selama beberapa tahun, beliau meneruskan kariernya di Utusan Malaysia pada tahun 1993.
Sifat tahan lasak, di samping kebolehannya menulis menyebabkan dia sering diberikan tugasan mengenai ekspedisi pacuan empat roda. Antaranya, Ekspedisi 4WD Genting Kijal, Jambori 4X4 dan Transpen Malaysia dan rali merentasi Asia Tenggara yang melibatkan Malaysia, Thailand dan Laos.
Di samping itu, Annoo juga sering mengikuti aktiviti meredah hutan dan memanjat gunung sama ada disebabkan tugasan atau hobi.
Pengalaman yang diperoleh sepanjang terlibat di dalam projek menakluk Everest telah menonjolkan dirinya yang sebenar.
"Walaupun tidak berjaya sebagai pendaki namun saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah negara. Sejak itu, saya bertekad mahu melakar kejayaan yang sama mencipta rekod dan mengharumkan nama negara, saya mahu menjadi yang pertama, bukan kedua atau ketiga," jelasnya.
Impian itu terlaksana kira-kira sedekad kemudian. Projek pertamanya ialah Misi Pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu yang diadakan sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-50.
Anno menjadikan gunung yang berketinggian 4,095 meter dan merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara itu sebagai cabaran untuk mencipta satu rekod yang tidak pernah dilakukan sesiapa sebelum ini.
Beliau sengaja memilih lokasi di negara sendiri untuk mencipta rekod dunia kerana Malaysia tidak ada bezanya dengan negara-negara lain.
"Jika sebelum ini ramai anak Malaysia telah mencipta nama di Gunung Everest, Selat Inggeris, Kutub Utara dan sebagainya, apa salahnya saya mencuba mencipta rekod dunia di negara sendiri pula," ujarnya.
Kejayaan misi itu yang dilakukan dalam tempoh 64 hari itu menjadikannya popular dengan gelaran Mr. Solo. Lebih membanggakan, apabila pencapaian tersebut diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pendaki pertama yang berjaya mendaki puncak gunung itu sebanyak 50 kali.
Tidak cukup dengan itu, Annoo cuba mencipta kelainan melalui Pendakian Solo 50 Menara Kuala Lumpur (Menara KL) yang dilakukan pada Februari 2008.
Bagaimanapun, masalah lutut dan bengkak ibu jari kanan yang dialami menyebabkan Anno hanya berjaya melakukannya sebanyak 30 kali. Namun pencapaian itu membolehkan namanya tersenarai buat kali kedua dalam MBOR.
"Di sana, saya hanya melihat dinding simen manakala suhunya panas berbanding mendaki di gunung dengan udara segar dan pemandangan menarik," ujar anak kelahiran Kuala Terengganu itu.
Pada tahun yang sama juga, Annoo melakar beberapa kejayaan penting. Pada Program Pendakian Merdeka 2008, dia berjaya mencatatkan pendakian sebanyak 51 kali di Menara Pelita, Kuching; Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu; Menara Alor Star, Kedah dan Hotel Felda Residence Kuala Terengganu. Kemuncaknya ialah pendakian solo sebanyak sebanyak 20 kali tanpa henti dalam tempoh 24 jam di Menara KL.
Tahun lalu, dia kembali melalui Projek Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia yang dilakukan dalam dua fasa. Ia melibatkan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu Gunung Kinabalu dan Menara Kuala Lumpur masing-masing sebanyak 111 kali.
Biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan, Annoo berjaya menyempurnakan misi itu. Kejayaan menawan puncak gunung sejauh 8.7 km sebanyak 111 kali dalam masa 111 hari tercatat dalam MBOR.
"Hujan lebat telah saya redah, begitu juga kabus tebal dan angin kuat. Ia cukup getir bagi saya. Malah hujan lebat yang membentuk air terjun yang turun dari puncak gunung cukup menggentarkan.
"Namun kata-kata semangat isteri, Rosmawati Mohamad, 30, dan teman-teman menjadi pendorong saya meneruskan misi ini. Kejayaan ini bukan untuk saya sahaja tetapi seluruh rakyat Malaysia yang percaya akan kemampuan anak tempatan," katanya sebaik sahaja menamatkan pendakian.
Bagaimanapun, pendakian naik dan turun anak tangga menara sebanyak 70 kali dalam tempoh 24 jam menemui kegagalan.
Kecederaan yang dialami di lutut kanan dan kiri membuatkannya mengambil keputusan untuk berhenti selepas pendakian ke-37.
Namun usaha Annoo tidak terhenti di situ. Masih banyak lagi rekod yang ingin diciptanya. Terbaru, cubaan keduanya menaiki Menara KL sebanyak 70 kali dalam tempoh 24 jam pada 2 hingga 3 Februari 2011.
"Ia merupakan percubaan saya untuk memecahkan rekod Guinness World of Records. Rekod sedia ada dicipta oleh pendaki Switzerland, Kurt Hess yang mendaki dan menuruni tangga di Menara Esterli, Lenzburg, Switzerland, sebanyak 413 kali pada ketinggian 45 meter pada 2007," ujarnya.
Dalam diam-diam, anak kesayangannya, Muhammad Syahrulnizam, 6, atau lebih manja dengan panggilan Arol mula menunjukkan minat untuk terlibat dalam aktiviti lasak.
Sebelum itu, Arol kerap mengikut bapanya melakukan latihan tangga di bangunan apartmen 10 tingkat dua hingga empat kali seminggu.
"Arol pun boleh juga, naik tangga Menara KL sama macam papa, kuat naik tangga," kata Arol selepas melihat kejayaan bapanya itu.
Pada usia tiga tahun, anak kecil itu mencipta nama dalam MBOR sebagai Pendaki Menara Termuda pada 2008 setelah berjaya mendaki 2,058 anak tangga Menara Kuala Lumpur (KL) selama satu jam 13 minit.
Malah, kanak-kanak comel itu juga menjadi pendaki Gunung Kinabalu kedua termuda di Malaysia. Dia sempat menyambut ulang tahun kelahirannya ke-4 di puncak gunung itu bersama ibu dan bapanya.
"Arol seorang yang aktif. Dia juga gemar menonton rancangan berkonsepkan aktiviti lasak seperti sukan pemotoran, lumba kereta, pendakian dan sesi penjelajahan," katanya yang memberi kebebasan kepada Arol mengikut jejak langkahnya satu hari nanti.