Monday, March 21, 2011

Misi Broga bersama pendaki solo negara

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK

DI kalangan peminat rekreasi mendaki gunung atau bukit, pastinya mengetahui Bukit Broga di Hulu Langat, Selangor. Ia merupakan salah satu bukit yang paling mencabar untuk 'ditawan' dan sangat sesuai untuk dijadikan lokasi bagi latihan ketahanan fizikal.
Walaupun ketinggiannya hanya 400 meter, bukit yang agak curam ini merupakan antara bukit yang boleh dikatakan mempunyai laluan sukar.
Lantas ia dianggap sebagai medan latihan terbaik untuk mereka yang rata-rata masih baru dalam dunia rekreasi ini.
Baru-baru ini seramai 50 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyertai program Semarak Misi Rekod Dunia bersama pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin dengan pendakian sehingga ke puncak Bukit Broga.
Program yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dan UKM itu bertujuan untuk menyemarakkan misi pendaki solo negara yang akan meneruskan cabaran memecahkan rekod dunia dengan mendaki tangga Menara Kuala Lumpur dijangkakan pada 16 April ini dalam usaha melakarkan nama di dalam Guinness World of Records.
Pelajar UKM yang menyertai ekspedisi itu tiba di perkarangan Bukit Broga pukul 7.30 pagi disertai tiga pegawai unit sukan yang diketuai Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pusat Sukan UKM, Mohd. Azhar Zainal telah disambut oleh pendaki solo bersama urusetia yang terdiri sukarelawan daripada Kolej Cybermatic, dan Politeknik Tanjung Malim.
Selepas diberi taklimat ringkas mengenai tujuan dan matlamat pendakian itu, semua peserta dibekalkan satu botol air minuman isotonic yang ditaja oleh 100 plus bagi menghilang kehausan ketika pendakian laluan sejauh 1.7 kilometer ke puncak Bukit Broga itu.
Tepat pukul 8 pagi sebaik sahaja selesai bergambar kenangan di ladang kelapa sawit itu, masing-masing memulakan pergerakan dengan begitu bersemangat sekali dan telah tiba di kawasan puncak Bukit Broga pukul 8.45 pagi.
Kepuasan jelas terpancar di wajah pelajar terutama yang julung kali melakukan aktiviti pendakian dengan menyertai program Semarak Misi Rekod Dunia yang boleh memberi satu inspirasi untuk mencapai satu-satu dan juga demi kecergasan sepanjang hayat.
Keadaan cuaca yang agak baik menyebabkan kesemua pelajar berjaya merentasi laluan sejauh 3.4 kilometer keseluruhan perjalanan.
Pelajar Ijazah Sarjana Antropologi dan Sosiologi, Halimatussaadiah Sohod berkata, program seperti ini telah membuka minda dan boleh menyemarakkan lagi semangat golongan muda terutama para pelajar supaya mengamalkan gaya hidup sihat.
"Kami amat bangga kerana dapat menjayakan program ini demi menyemarakkan usaha pendaki solo negara untuk memecahkan rekod dunia dengan mendaki tangga Menara Kuala Lumpur sebanyak 70 kali dalam tempoh 24 jam dijangkakan pada 16 April depan," katanya.
Menurutnya lagi, program seperti ini telah membuka mata supaya sentiasa berusaha gigih dalam apa jua bidang yang diceburi untuk mencapai kejayaan.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sukan Rekreasi, Mohd Farid kamaruddin berkata, beliau amat terharu kerana telah diberi peluang melakukan pendakian bersama pendaki solo negara yang sebelum ini hanya membaca dan melihat perkembangan tentang usaha gigihnya mencapai kejayaan melalui akhbar dan televisyen sahaja.
"Bukan sahaja setakat mendaki bersama, kami juga memperolehi pelbagai tip, motivasi diri serta berkongsi pengalaman bersama pendaki solo," kata beliau.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi berkata, Adina Nordin Othman, beliau yakin program ini juga telah membuka pandangan lebih luas kepada para siswa dan siswi untuk turut sama mengambil berat mengenai kecergasan diri di samping melakukan aktiviti senaman seperti mendaki bukit atau tangga.
Katanya juga, gaya hidup sihat amat penting di samping menghirup udara nyaman alam semula jadi yang masih menghijau di Bukit Broga.
"Program semarak misi rekod dunia oleh pendaki solo hanya perintis kepada generasi muda yang mana program seperti ini harus dilakukan berterusan pada masa akan datang," ujarnya lagi.