Saturday, March 29, 2008

MOHD NOOR DAKI 30 KALI 3 HARI


Mohd. Noor daki Menara KL 30 kali KUALA LUMPUR 3 Feb. - Jurufoto Kumpulan Utusan, Mohd. Noor Mat Amin hari ini muncul individu pertama berjaya mendaki Menara Kuala Lumpur secara solo 30 kali dalam tempoh tiga hari. Beliau menamatkan pendakian melalui tangga kecemasan menara itu kira-kira pukul 10 malam ini kerana mengalami masalah lutut dan bengkak ibu jari kanan selepas memulakan cabaran Pendakian Solo 50 Menara Kuala Lumpur pada pagi Jumaat lalu. Bagaimanapun, pencapaian itu sudah cukup untuk membolehkan nama Mohd. Noor tersenarai buat kali kedua dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya mendaki Gunung Kinabalu 50 kali tahun lalu. Sijil pengiktirafan MBOR telah diserahkan oleh Pengerusi Eksekutif Utusan Malayu (M) Bhd. (Kumpulan Utusan), Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin kepada Mohd. Noor tengah hari ini sempena majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang KL Tower International Forest Towerthon Challenge 2008. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TM Ventures, Khairussaleh Ramli. Walaupun tersasar daripada misi untuk mendaki 50 kali, Mohd. Noor yang pernah menyertai Projek Malaysia Everest 1997 berkata, beliau bangga kerana dapat mencipta satu rekod untuk dipecahkan oleh pendaki lain. ''Pendakian 50 kali itu satu sasaran kerana tidak pernah ada cubaan sedemikian sebelum ini. ''Jadi kita tidak tahu berapa lama yang diperlukan untuk membuat catatan sedemikian,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Menceritakan cabaran yang dihadapi sepanjang tiga hari itu, Mohd. Noor berkata, ia amat berbeza dengan apa yang dihadapi sewaktu mendaki Gunung Everest atau Kinabalu. ''Di Menara Kuala Lumpur, saya hanya melihat dinding simen manakala suhunya panas berbanding mendaki di gunung dengan udara segar dan pemandangan menarik,'' katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, pihaknya kini dalam perancangan awal untuk membawa Mohd. Noor mendaki Menara Eiffel di Perancis. Katanya, hubungan baik antara Menara Kuala Lumpur dan Menara Eiffel melalui keanggotaan Persekutuan Menara Tertinggi Dunia (WFGT) akan dimanfaatkan untuk merealisasikan perancangan itu. ''Pendakian itu dijangka menjadi salah satu daya penarik program memperkenalkan Malaysia di negara tersebut,'' katanya.