Saturday, June 7, 2008

BUDAH EMPAT TAHUN CIPTA REKOD

Muhammad Syahrulnizam diiktiraf Pendaki Termuda Menara Kuala Lumpur

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman - (berita harian 7 June 2008)

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia empat tahun, Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor semalam, mencipta nama dalam Malaysia Book of Records sebagai Pendaki Menara Termuda setelah berjaya mendaki 2,058 anak tangga Menara Kuala Lumpur selama satu jam 13 minit. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, berkata rekod itu sepatutnya meniupkan semangat kepada golongan belia yang lain supaya melakukan sesuatu untuk bukan saja mengharumkan nama individu tetapi juga negara.
"Saya harap (apa) yang ditunjukkan oleh adik Syahrul ini menjadi perangsang kepada belia kita untuk mencipta nama mengikut kesesuaian mereka,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. Ismail Sabri berkata, kementerian bercadang menjadikan Muhammad Syahrulnizam sebagai ikon termuda di bawah kementerian itu. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad, berkata pihaknya akan memberikan laporan khas kepada World Federation Great Towers berhubung rekod itu.
Anak pertama pasangan Mohd Noor Mat Amin dan Rosmawati Mohd itu lahir di Kuala Terengganu pada 13 Jun 2004. Sempena hari jadinya yang keempat tahun ini, Muhammad Syahrulnizam akan mendaki Gunung Kinabalu minggu depan dan segala pembiayaan berkaitan pendakian ditanggung kementerian. Sebelum ini, bapa Syahrulnizam sendiri berjaya mendaki Menara Kuala Lumpur sebanyak 30 kali selama tiga hari berturut-turut sempena “KL Tower International Forest Towerthon Challenge 2008” yang diadakan pada 1 hingga 3 Februari lalu.