Saturday, June 7, 2008

PENDAKI TERMUDA TAWAN MENARA KUALA LUMPUR

Oleh Muhd. Zulkifli Sainuddin - (Utusan Malaysia 7 Jun 2008)
KUALA LUMPUR 6 Jun - Kanak-kanak berusia empat tahun, Muhammad Syahrulnizam Mohd. Noor mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Pendaki Menara Termuda apabila berjaya mendaki 2,058 anak tangga Menara Kuala Lumpur (KL) selama satu jam 13 minit.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, rekod itu sepatutnya meniupkan semangat kepada golongan belia yang lain supaya melakukan sesuatu untuk bukan sahaja mengharumkan nama individu tetapi juga nama negara.
Sehubungan itu katanya, kementerian bercadang menjadikan Syahrulnizam sebagai ikon termuda di bawah kementerian itu.
"Saya harap kejayaan Syahrul ini menjadi perangsang kepada belia kita untuk mencipta nama mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil MBR kepada Syahrulnizam yang merupakan anak jurugambar Kumpulan Utusan, Mohd. Noor Mohd. Amin.
Mohd. Noor sebelum ini berjaya mendaki Menara KL sebanyak 30 kali dalam tempoh tiga hari sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 pada Ogos tahun lalu.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Zulkifli Muhamad dan Pengarah MBR, Datuk Danny Ooi.
Sementara itu, Mohd. Noor berkata, pendakian bermula pada pukul 10.25 pagi dan berakhir pada pukul 11.38 pagi.
Beliau berkata, semasa pendakian, anaknya tidak menghadapi sebarang masalah kecuali di peringkat pertengahan, dia mengalami sedikit gangguan emosi namun berjaya ditenangkan.
''Sebelum pendakian ini, Nizam telah pun menjalani latihan menaiki tangga bangunan apartmen 10 tingkat dalam dua hingga empat kali seminggu,'' katanya.
Beliau juga akan membawa anaknya mendaki Gunung Kinabalu di Sabah sempena ulang tahunnya yang keempat pada 13 Jun ini.
''Pendakian Gunung Kinabalu itu ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Belia dan Sukan,'' katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya akan memberikan laporan khas kepada World Federation Great Towers berhubung rekod yang dicatatkan oleh Syahrulnizam itu.