Sunday, August 10, 2008






Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman(Utusan Malaysia)

KOTA KINABALU 9 Ogos _ Selepas mencipta rekod mendaki Gunung Kinabalu secara solo sebanyak 50 kali tahun lalu, jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin, 41, hari ini meneruskan cabaran mencipta rekod baru menerusi pendakian solo Menara Tun Mustapha di sini.
Kali ini dia telah berjaya mendaki kira-kira 600 anak tangga Menara Tun Mustapha setinggi 30 tingkat sebanyak 51 kali.
Pendakian sempena 51 tahun kemerdekaan negara itu dijadualkan selama tiga hari tetapi Mohd. Noor berjaya menghabiskan pendakian tersebut dalam tempoh dua hari.
Hari ini, dia meneruskan pendakian pada pukul 10.15 pagi dan tamat pada pukul 6 petang dengan membuat 40 kali pendakian.
Semalam, Mohd. Noor yang memulakan pendakian pada pukul 3 petang, berjaya melakukan 11 kali pendakian.
Menurutnya, pendakian ini adalah bagi menyempurnakan projek Pendakian Merdeka 2008 yang bermula di Menara Pelita Kuching pada 2 Ogos dan berakhir di Menara Kuala Lumpur pada 29 Ogos ini.
"Pendakian di sini berjalan dengan baik dan saya tidak menghadapi sebarang masalah, alhamdulillah saya telah berjaya menghabiskan pendakian dengan purata 15 minit bagi setiap pendakian seterusnya melakar sejarah di menara ini.
"Pada mulanya saya mensasarkan 20 kali pendakian hari ini, tetapi saya rasa mampu melakukan kesemuanya jadi saya teruskanlah sebab cabaran sebenar adalah di Menara Kuala Lumpur bagi memecahkan rekod sendiri," katanya ketika ditemui selepas menamatkan pendakian di Menara Tun Mustapha di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Noor berjaya mendaki Menara Kuala Lumpur sebanyak 30 kali dalam tempoh tiga hari sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 pada Ogos tahun lalu.
Katanya, Pendakian seterusnya akan di buat di Menara Alor Setar, Kedah dan Hotel Felda, Terengganu sebelum kemuncaknya di Menara Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini.
Dalam pada itu, pendaki termuda, Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor, 4, yang merupakan anak Mohd. Noor telah muncul sebagai kanak-kanak termuda pernah mendaki Menara Tun Mustapha.
Dia yang sebelum ini pernah mendaki menara Kuala Lumpur berjaya membuat dua pendakian di Menara Tun Mustapha yang memakan masa purata 14 minit bagi setiap pendakian.