Anda sedang melayari blog Team PendakiSOLO, KEJAYAAN AKAN DATANG, JIKA KITA INGINKAN KEJAYAAN... cabaran EVEREST 2017 - BRANDS OF MALAYSIA bersama pendakisolo Activity CREAM maklumat lanjut layari www.pendakisolo.com
Wednesday, February 25, 2009
Pendaki termuda serikan Towerton
CABARAN Towerton Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (Menara KL) edisi 2009 kali ini bakal diserikan dengan kehadiran pemegang rekod pendaki termuda Menara KL, Syahrul Nizam Mohd. Noor.
Syahrul, 5, yang mencipta rekod pendakian menara setinggi 421 meter itu Jun tahun lepas, dijemput oleh Menara KL untuk memeriahkan lagi cabaran yang akan berlangsung pada 28 Februari hingga 1 Mac depan itu.
Anak kepada jurugambar Utusan Melayu, Mohd. Noor Mat Amin itu akan turut sama menyertai pendakian tersebut selepas semua peserta lain dilepaskan.
"Syahrul memang sentiasa berminat dengan sebarang cabaran pendakian, dia suka apabila berada di tempat yang tinggi," kata bapanya, Mohd. Noor semalam.
"Setiap hari saya akan membawanya menjalani latihan mendaki tangga di apartmen 10 tingkat kami dan juga berenang.
"Biasanya Syahrul akan berlatih menaiki tangga sebanyak tiga kali sehari dan dia tidak pernah merungut tentangnya. Dia memang seorang budak yang lasak," kata Mohd. Noor yang pernah mendaki Gunung Everest dan mencipta rekod mendaki Gunung Kinabalu 50 kali dalam masa dua bulan.
Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara KL merupakan acara tahunan yang dianjurkan Menara KL dengan kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (POAWP).
Lebih 2,000 peserta dari dalam dan luar negara akan bersaing dalam 14 kategori yang dipertandingkan pada cabaran kali ini.
Selain hadiah kemenangan yang bernilai dari RM3,000 sehingga RM100 yang menjadi rebutan, peserta cabaran ini juga berpeluang membawa pulang medal dan sijil sekiranya berjaya menamatkan pendakian ke garisan akhir.
Semua peserta diminta mengambil nombor penyertaan dan cip larian di pejabat POAWP di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, Jalan Hang Tuah pada 27 dan 28 Februari ini.
Menara KL juga akan mengadakan sesi latihan pendakian bagi para peserta pada 27 dan 28 Februari bermula 10 pagi hingga 6 petang.