Sunday, November 1, 2009

Perubahan Tarikh Pendakian Solo 1Malaysia Fasa Pertama


Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 fasa pertama di Gunung Kinabalu, Sabah telah diubah tarikh permulaan pendakian daripada 1 Disember 2009 kepada 31 Disember 2009 selepas hasil pertemuan dengan agensi-agensi di Sabah yang terbabit secara langsung dalam program ini sehinggalah tamat.
     Namun begitu tarikh pendakian dalam fasa kedua di tangga Menara Kuala Lumpur tidak berubah iaitu pada 1 hingga 7 Mei 2010.
     Terkini, agensi yang terlibat secara langsung dalam pendakian solo di Gunung Kinabalu ialah Taman-Taman Sabah, Pemuda UMNO Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kementerian Pelancongan Sabah.
     Semua agensi ini menjadi penganjur bersama dalam program yang akan dilakukan oleh pendaki solo negara , Mohd Noor Mat Amin atau lebih dikenali sebagai mRSolo Malaysia yang telah berjaya melakukan pelbagai rekod dalam pendakian solo di Malaysia sebelum ini.
     Semua agensi yang terlibat dalam program ini telah diberi penghormatan untuk membantu menjayakan program ini seperti pengangkutan, pendaki sokongan bersama pendaki solo, urusetia program, majlis pelancaran pendakian, promosi seperti penyediaan buku cenderamata, pakaian urusetia dan pendaki sokongan dan sebagianya.
     Dalam program ini, Stesen Televisyen Malaysia atau TV3 telah diberi penghormatan  untuk sama-sama menjayakannya dengan menjadi media elektronik rasmi sementara akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo pula menjadi akhbar Bahasa Malaysia rasmi.
     Program yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia masih menunggu keputusan Kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Terengganu bagi sama-sama menjayakannya dengan menjadi penganjur bersama.
     Pada masa yang sama, pihak penganjur juga masih menguruskan dengan beberapa syarikat korporat dalam pelbagai sektor untuk turut sama dengan menjadi penaja program yang akan berakhir pada 7 Mei 2010.
     Semua penaja daripada syarikat korporat ataupun perseorangan akan dikecualikan cukai pendapatan bagi tahun 2009 dan 2010 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.