(Berita Harian - 5/12/09)
Oleh Hazran Mohamed
GUNUNG Tebu di daerah Besut, Terengganu, menjadi antara destinasi popular bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak. Cabaran mendaki puncak tertinggi serta meredah hutan belantara pasti meninggalkan kenangan sukar dilupakan terutama bagi mereka yang pertama kali menjejaki magis alam di destinasi ini.
Bagi Kelab Kaki Redah TV3, Gunung Tebu menjadi pilihan untuk kami mengerah keringat menjejakinya dalam ekspedisi hujung minggu, baru-baru ini. Hasrat tetap diteruskan biarpun ketika perancangan dibuat, sudah tersiar laporan beberapa kawasan di Terengganu dilanda banjir.
Namun, dek semangat berkobar-kobar, penulis dan rakan-rakan sekelab menyahut cabaran mendekati keindahan alam di Gunung Tebu... Ikuti catatan ini.
Sabtu
9 pagi : Kami seramai 10 ahli Kelab Kaki Redah TV3, memulakan perjalanan ke pantai timur dari Sri Pentas. Kami menaiki dua kereta menyusuri Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju Besut.
Sepanjang perjalanan, hujan lebat mencurah-curah. Kira-kira seminggu lalu, gelombang pertama musim tengkujuh dan banjir sudah melanda pantai timur termasuk di daerah Besut. Keadaan ini memaksa beratus-ratus penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sementara akibat rumah dinaiki air.
Di benak fikiran kami, terfikir juga andai hujan berterusan, alamat terpadamlah hasrat mendaki Gunung Tebu. Sebaik memasuki sempadan Terengganu, hujan mula reda dan kami lega melihat cuaca cukup baik.
3 petang : Kami singgah seketika di Kemaman untuk mengambil seorang lagi anggota ekspedisi iaitu Mohd Zahari Yusof. Beliau adalah Penasihat Khas Kelab Kaki Redah TV3 yang lebih mesra dipanggil ‘Abah’ di kalangan ahli kelab. Beliau adalah kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah Dungun yang cukup berpengalaman dan mahir mengenai selok-belok hutan.
5 petang : Kami akhirnya tiba di Kampung Jabi dan menuju ke Lata Belatan yang terletak di kaki Gunung Tebu. Lokasi ini adalah pintu masuk ke Gunung Tebu.
Perkara pertama yang dilakukan, kami mendaftar diri di pondok pengurusan Lata Belatan dan Gunung Tebu yang dikendalikan Jabatan Perhutanan.
Kami dimaklumkan oleh kakitangan Jabatan Perhutanan, jika hujan lebat sepanjang hari, semua pengunjung tidak dibenarkan mendaki Gunung Tebu bagi mengelak terperangkap.
Kami difahamkan, sebelum ini, kes pendaki tersesat atau hilang di Gunung Tebu kerap dilaporkan. Malah, kami dimaklumkan, dalam kejadian terbaru pada 27 November lalu, sekumpulan lima sahabat dikatakan sesat hingga terpaksa bermalam di hutan.
Kami juga mendengar cerita kononnya Gunung Tebu agak ‘keras’ seperti yang diperkatakan penduduk tempatan.
6 petang : Selesai urusan pendaftaran, tanpa membuang masa, kami terus ke tapak perkhemahan untuk mendirikan khemah sebelum hari gelap. Alhamdulillah, keadaan cuaca baik hingga ke tengah malam, cuma hujan renyai-renyai.
Ahad
8 pagi : Kami bersiap untuk memulakan pendakian. Keadaan cuaca, amat baik dan tidak ada hujan. Ini memberi harapan kepada kami untuk mencapai misi menawan Gunung Tebu.
Ekspedisi mendaki Gunung Tebu adalah sebahagian daripada program latihan bersama ahli Kelab Kaki Redah TV3 dan Pendaki Solo Negara, Mohd Nor Mat Amin bersama ahli Kelab Rekreasi Kota, yang sedang mempersiapkan diri menawan Gunung Kinabalu, akhir tahun ini. Ini bagi mencipta rekod dunia mendaki Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari bermula 31 Disember ini.
Mohd Nor yang sudah beberapa kali menawan puncak Gunung Tebu, menjadi ketua ekspedisi ini. Sebaik ahli kelab bersedia dengan kelengkapan masing-masing termasuk bekalan makanan dan minuman, kami memanaskan badan dengan membuat regangan otot.
8.30 pagi : Kami mula bergerak memasuki trek pendakian menyusuri air terjun Lata Belatan yang sungguh mempesonakan. Kehijauan airnya membuatkan perasaan berbelah-bagi sama ada hendak meneruskan pendakian atau bersantai di air terjun itu.
Ahli kelab iaitu Haizal, Junaidi dan Mohd Nor yang membawa kamera, tidak henti-henti merakamkan panorama alam semula jadi yang terhidang di depan mata.
10 pagi : Selepas lebih sejam setengah meredah hutan dan mendaki, kami tiba di persimpangan yang membuatkan kami berhenti seketika bagi menentukan arah sebenar ke puncak Gunung Tebu.
Ketika itu, barulah kami tersedar, rupa-rupanya trek yang kami lalui membawa kami kembali semula ke lokasi permulaan iaitu berhampiran tapak perkhemahan. Semuanya dek asyik menikmati keindahan air terjun Lata Belatan serta ghairah merakamkan foto, hingga terlupa kami perlu menyeberangi Sungai Cakah Dua untuk menuju ke laluan sebenar ke puncak Tebu.
Kami seolah-olah kembali ke titik permulaan pendakian. Jam sudah menunjukkan 10.15 pagi. Laluan berbatu dan agak licin terpaksa kami tempuhi untuk menyeberangi Sungai Cakah Dua atau dikenali sebagai Sungai Y.
Keadaan laluan selepas menyeberangi Sungai Cakah Dua agak mendatar dan kumpulan ekspedisi terpaksa melalui beberapa titian kayu. Kami akhirnya tiba dikem Sungai Cakah Dua untuk berhenti rehat seketika sambil membasahkan tekak.
Dari sini, kami perlu menyeberangi satu lagi sungai. Dengan air sungai di paras bawah lutut, ada antara kami membuka kasut untuk mengelak sepatu basah. Lebar sungai ini pula lebih kurang empat meter saja.
Selepas menyeberangi sungai, laluan ke puncak Tebu mula menegak. Tiga anggota baru Kelab Kaki Redah iaitu Sue, Shikin dan Razila mula terpisah antara satu sama lain. Sue dan Razila jauh di depan meninggalkan Shikin di belakang yang agak kepenatan selepas melalui laluan pendakian menegak.
1.45 petang : Kumpulan kami tiba di kem Batu Mat Hasan. Kami berhenti rehat, menikmati bekalan makanan yang dibawa untuk menambah tenaga yang sudah hampir kehabisan dek laluan pendakian mencabar sepanjang kira-kira dua kilometer.
Dari kem Batu Mat Hasan, jarak pendakian hanya tinggal 2.5 kilometer lagi untuk tiba di puncak gunung. Kami agak kecewa. Selepas berbincang dengan semua anggota, ekspedisi terpaksa dihentikan. Keputusan itu dibuat atas nasihat Abah dan Mohd Nor selepas mengambil kira jarak pendakian dan waktu yang sudah menunjukkan 2.30 petang. Jika pendakian diteruskan, besar kemungkinan kumpulan kami akan berdepan risiko keletihan. Ini kerana bekalan makanan tidak mencukupi selain terpaksa pulang ke tapak perkhemahan dalam keadaan gelap.
Atas faktor itu, kami terpaksa memendam rasa kecewa dan menerima hakikat bahawa impian untuk menawan puncak Gunung Tebu tidak kesampaian. Untuk meredakan rasa kecewa, kami berazam untuk kembali ke gunung ini pada masa depan. Kami membuat keputusan untuk segera turun ke kaki gunung dan bersantai di air terjun.
3 petang : Kami mengambil masa kurang dua jam menuruni gunung dan menuju ke lokasi sesuai untuk bersantai dan menghilangkan kepenatan. Lokasi dipilih bagaikan di tepian pantai dengan pasirnya yang memutih. Yang pasti, sebaik memasuki air sungai di Lata Belatan ini, segala rasa penat bagaikan hilang serta-merta. Lebih sejam berendam dalam air, nyata tidak cukup.
Sepanjang ekspedisi ini, lebih 1,500 foto sempat kami rakamkan. Sebaik pulang, masing-masing sibuk memuat naik foto ke laman Facebook. Pelbagai komen diterima dari rakan-rakan termasuk ahli kelab yang tak dapat menyertai ekspedisi ke Gunung Tebu.
Apa yang pasti, ekspedisi Gunung Tebu banyak meninggalkan kenangan kepada ahli kelab. Apatah lagi ahli baru yang menjadi ‘bahan’ sakat-menyakat oleh Abah dan Haizal. Antara situasi lucu yang tidak dapat dilupakan, Sue, Shikin dan Razila bagai berpakat ‘mengenakan’ Haizal dengan hidangan teh tarik dicampur garam.
INFO
•Ketinggian 1,037 meter dari aras laut.
•Jarak perjalanan hampir tujuh kilometer atau lima jam pendakian.
•Terletak di daerah Besut, Terengganu.
•Peserta ekspedisi perlu melapor diri di kaunter Pejabat Hutan, Air Terjun Lata Belatan.
•Gunung tertinggi di Terengganu.