Sunday, December 20, 2009

MINGGUAN MALAYSIA 20 DISEMBER 2009

GOMBAK 19 Dis. - Pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin, kini dalam persiapan terakhir untuk mencipta nama dalam Guinness World Book of Records melalui pendakian Gunung Kinabalu dan Menara Kuala Lumpur.


Beliau yang juga jurugambar Utusan Malaysia akan melakukan pendakian ke puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu sebanyak 111 kali dalam masa 111 hari sebelum meneruskan misinya dengan mendaki tangga menara Kuala Lumpur sebanyak 111 kali dalam tempoh seminggu.

"Semoga misi kali ini akan terus mengharumkan nama negara di mata dunia kerana jarang sekali rakyat Malaysia dapat mencipta rekod baru dunia dalam acara mendaki di negara sendiri.

"Selain itu, ia juga secara tidak langsung akan membantu mempromosikan kedua-dua destinasi tersebut," kata Mohd. Noor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas selesai menjalani latihan fasa terakhir sebagai persiapan untuk mendaki Gunung Kinabalu dan Menara Kuala Lumpur di Batu Caves di sini hari ini.

Projek itu dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dengan kerjasama UMNO Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan Sabah dan Terengganu, Taman-taman Sabah, Milo, syarikat telekomunikasi CSL, Menara Kuala Lumpur dan lain-lain.

Utusan Malaysia dan TV3 merupakan media rasmi sepanjang ekspedisi berkenaan berlangsung.

Untuk rekod, sepanjang tahun lalu, Mohd. Noor, 42, telah berjaya menyelesaikan beberapa misi seperti Pendakian Merdeka, Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur dan juga Pendakian Solo tanpa henti selama 24 jam di menara tersebut.

Selain itu, beliau juga pernah menganggotai pasukan Projek Malaysia-Everest '97 dan pendakian solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka pada tahun yang sama.

Kini berbekalkan slogan '1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia' yang bermaksud bermula dengan satu pendakian untuk sampai ke satu kemuncak bagi menyahut cabaran satu Malaysia, Mohd. Noor yakin usahanya akan berhasil.

Ketika ditanya mengenai misi seterusnya, Mohd. Noor berkata, beliau akan membawa anaknya yang kini berusia 6 tahun dalam projek yang dinamakan Everest 2016.

"Saya berharap agar satu lagi rekod baru dunia akan dicipta suatu hari nanti.

"Manusia termuda yang memegang rekod mendaki puncak Everest ketika ini berusia 15 tahun sedangkan anak saya pada 2016 nanti akan berusia 13 tahun," katanya - Mingguan Malaysia