CABARAN rekod baru yang akan memasukkan nama dalam rekod dunia.
-----------------------
SATU lagi rekod pendakian bakal dicipta oleh pendaki solo yang juga jurugambar akhbar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin selepas empat rekod pendakian Gunung Kinabalu dan Menara Kuala Lumpur dipegang beliau sebelum ini.
Melalui projek Pendakian solo 1Malaysia itu, Mohd. Noor bakal melakar nama ke dalam Guiness World Book of Records dengan pencapaian 111 pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dalam masa 111 hari.
Fasa pertama projek dijadualkan bermula pada 31 Disember 2009 hingga 19 April 2010, manakala fasa kedua akan disusuli dengan pendakian sebanyak 111 kali ke Menara Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 1 hingga 7 Mei 2010.
Fasa pertama projek dijadualkan bermula pada 31 Disember 2009 hingga 19 April 2010, manakala fasa kedua akan disusuli dengan pendakian sebanyak 111 kali ke Menara Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 1 hingga 7 Mei 2010.
Kegigihan terbaru Mohd. Noor itu didorong semangat untuk memartabatkan nama negara melalui slogan '1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia' sebagai inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian.
Rekod pendakian terdahulu adalah Pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo tanpa henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).
Mohd. Noor, 42, berkata, pendakian tanpa bantuan itu akan bermula pada pukul 7 pagi setiap hari di Gerbang Timpohon dan dijangka sampai ke Low's Peak (puncak) dalam masa tujuh hingga sembilan jam.
"Kiraan satu pendakian akan bermula dari situ sehingga saya berjaya turun semula (Gerbang Timpohon).
"Cabaran utama pendakian ke puncak setinggi 4,095 meter itu adalah perubahan cuaca terhadap suhu badan," ujar beliau ketika ditemui baru-baru ini.
Sebagai persediaan, beliau yang mula berkecimpung dalam sukan mendaki sejak 1994 kini giat menjalani latihan yang diadakan di seluruh negara.
Persediaan
Menurutnya, persediaan projek Pendakian Solo 1Malaysia bermula sejak awal tahun ini melalui latihan panjat tangga sebanyak dua hingga tiga kali seminggu, mendaki Gunung Tebu di Terengganu dan jelajah hutan bagi mengekalkan stamina sehingga hari acara.
Mengulas perkembangan projek tersebut, Mohd. Noor berkata, pihak pengurusan kini sedang gigih merancang strategi untuk melicinkan peringkat-peringkat pendakian.
"Sehingga kini kita bersyukur kerana beberapa pihak sudah menyatakan kesudian untuk berkerjasama sepanjang projek ini," ujarnya.
Antaranya adalah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Pemuda UMNO Sabah, Taman-Taman Sabah dan Menara Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pemuda UMNO Sabah juga akan menghantar lebih 100 belia daripada seluruh Sabah menjadi ahli Pemuda UMNO Sabah untuk turut bersama-sama menjayakan pendakian solo yang dilakukan pendaki solo nanti.
Namun, beliau mewakili pihak pengurusan projek sangat mengalu-alukan penajaan daripada syarikat swasta bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung.
"Kos memasukkan pendakian ini ke dalam Malaysia Book of Records dan Guiness World Book of Records sahaja menelan belanja kira-kira RM160,000.
"Itu belum mengambil kira kos untuk kerja-kerja logistik, perbelanjaan dan pengurusan kru yang terbabit," katanya.
Sementara itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghantar lebih 120 orang pelajar manakala Pemuda UMNO Sabah juga akan menghantar lebih 120 belia untuk turut bersama-sama menjayakan pendakian solo itu nanti.
Utusan Malaysia dan TV3 akan bertindak sebagai media rasmi sepanjang tempoh pendakian.