(Sinar Harian 2 Dis 2009)
KUALA TERENGGANU - Pendaki solo negara, Mohd Noor Mohd Amin yang akan menggalas cabaran pada Pendakian Solo 1Malaysia giat menjalani latihan intensif bermula akhir Jun lalu.
Selepas selesai menjalani latihan pendakian di tangga pangsapuri 10 tingkat, tangga Batu Caves, Gunung Tebu Terengganu dan latihan berenang.
Terbaru, Mohd Noor giat menjalani latihan sehari dengan melakukan pendakian Bukit Besar Terengganu setinggi 800 meter.
Pendakian Solo 1Malaysia bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak, 1Malaysia bermula dengan cabaran pendakian sebanyak 111 kali ke puncak Gunung Kinabalu dalam tempoh 111 hari dan cabaran kedua adalah pendakian tangga Menara Kuala Lumpur sebanyak 111 kali dalam tempoh seminggu.
Pendakian sebanyak 111 kali Gunung Kinabalu akan dilakukan pada 31 Disember ini hingga 19 April 2010, sementara cabaran kedua akan bermula pada 1 hingga 7 Mei 2010.
Pendakian yang dilakukan pendaki solo negara menjadi perintis dengan semangat 1Malaysia, bertujuan membuktikan kepada dunia bahawa di Malaysia juga mempunyai lokasi boleh dijadikan tempat mencipta dan memecahkan rekod dunia.
Menurutnya, dalam usaha mencipta sakejayaan, seseorang itu harus berani ke hadapan atas nama 1Malaysia dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang ke seluruh dunia melalui sukan lasak dilakukan di dalam negara sendiri sebagai yang pertama di dunia, dan ia bukan sekadar hanya mengikut kejayaan telah dilakukan orang lain sebelum ini.