DAVID COPPERFIELD, jejaka tampan yang pernah menggegarkan dunia silap mata dengan persembahan yang melangkaui batasan dan tidak terfikir akal sekitar tahun 1980-an. Aksinya menghilangkan Patung Liberty, terbang di ngarai Grand Canyon dan berjalan menembusi Tembok Besar China mencetuskan fenomena tersendiri dalam dunia magis.
Ia telah mencetuskan polemik dan prasangka pelbagai pihak sama ada ahli silap mata tersebut menggunakan ilmu sihir, doa, jampi atau muslihat ilusi semata-mata. Persoalan itu terus menjadi tanda tanya sehingga kemunculan siri Magic's Greatest Secrets Finally Revealed pada penghujung 1990-an.
Pembongkaran mengejut yang dilakukan oleh ahli silap mata illusi, Val Valentino itu membangkitkan kontroversi di kalangan ahli silap mata. Dunia yang sebelum ini diselubungi rahsia gerakan halus hingga mengelirukan mata penonton hampir hilang serinya. Persoalannya adakah pendedahan itu mematikan minat orang ramai terhadap cabang hiburan tersebut?
"Bagi saya tidak. Silap mata ini seronok dan menarik kerana dapat menipu orang dengan cara yang bijak. Pernahkah anda terfikir bahawa menjadi ahli silap mata sebenarnya melahirkan individu yang kreatif?" soal ahli silap mata muda, Jorrin Chee Ka-Yee.
Sebenarnya, membezakan kemampuan antara ahli-ahli silap mata adalah melalui gaya mereka mengekspresi kemahiran yang anda dalam persembahan mereka. Harry Houdini contohnya menggunakan gimik rantaian di badan sebagai imejnya. Kesemua adegan itu bagi menunjukkan ciri keistimewaan dalam diri ahli silap mata tersebut.
Berbeza bagi gadis yang berumur 16 tahun itu, gaya persembahan Jorrin lebih banyak diadaptasi daripada minatnya terhadap seni dan budaya. Dia menghimpunkan intipati konsep 1 Malaysia bagi menjadikan aksinya lebih menarik.
"Saya menggabungkan enam elemen dalam setiap persembahan. Ada konsep menari, menyanyi, pertukaran topeng muka dan baju, angklong dan silap mata. Semestinya memberikan keunikan tersendiri.
"Selain menghiburkan orang ramai, saya dapat juga mempromosikan produk kesenian dan kebudayaan yang terdapat di negara ini," jelas anak sulung daripada empat beradik itu.
Pernah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Merlin iaitu anugerah tertinggi dalam dunia silap mata baru-baru ini, Jorrin menjelaskan bahawa bukan mudah untuk mencapainya kerana terpaksa bersaing dengan 100 ahli silap mata dari seluruh dunia.
Kriterianya ditimbang melalui bakat, kemahiran persembahan, keaslian dan keupayaan luar biasa untuk menghiburkan orang ramai di bawah sebarang keadaan. Pengiktirafan yang diterimanya itu merupakan satu lambang bahawa rakyat Malaysia turut mampu bersaing dalam apa jua bidang di pentas antarabangsa.
Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang, Selangor menyatakan cintanya terhadap ilmu magis berputik sejak umurnya sembilan tahun. Persembahan keduanya pada usia tersebut di sebuah rumah orang tua memberikan impak mendalam terhadap dirinya. Sangkaannya bahawa silap mata hanya diminati oleh golongan kanak-kanak ternyata meleset.
Pelukan erat yang disertai linangan air mata daripada salah seorang warga rumah tersebut menjadi perangsang untuknya terus bergerak aktif dalam dunia silap mata.
"Tiba-tiba sahaja nenek yang berumur 90 tahun itu memeluk saya dan menangis. Betul-betul terkejut. Dia menyatakan bahawa dirinya benar-benar terhibur dan mengucapkan terima kasih. Saya terharu mendengar kata-katanya," terangnya yang tersentuh mengimbau kenangan tersebut.
Realitinya, dalam dunia silap mata, bukan mudah untuk mempelajari seni itu daripada orang lain. Mengakui tiada guru atau tenaga pengajar yang tetap, dia menggunakan buku, rujukan Internet dan video persembahan artis magis yang lain sebagai sumber utamanya. Sehingga kini, Jorrin sudah menguasai hampir kebanyakan teknik silap mata antaranya magis ilusi, jarak dekat, manipulasi dan persembahan.
Menurut Jorrin, magis sebenarnya lebih berkaitan dengan kebijaksanaan dunia sains. Istilah silap mata dalam bahasa Melayu membawa makna yang sebenarnya menjelaskan kefahaman tentang seni khayalan dan tipu muslihat tersebut. Walau bagaimanapun, dalam memiliki ilmu tersebut terdapat beberapa perkara yang harus dititikberatkan. Antaranya adalah kemahiran, memahami dan mentafsir silap mata serta menunjukkan konsep yang ingin dibawa.
"Mungkin adakalanya silap mata yang kita tontoni agak sama. Malah, ada ketikanya penonton akan menjerit dan memerli setiap kesilapan yang jelas kelihatan di mata kasar mereka. Dari situ kita belajar memperbaiki kesilapan seterusnya mematangkan setiap persembahan.
"Ahli silap mata juga harus bijak menyesuaikan diri di mana sahaja mereka berada. Andai di pentas, anggap pentas tersebut sebagai milik kita. Dengan itu, imej kita akan serta-merta berubah menjadi seorang yang luar biasa dan memukau para penonton," katanya pernah mendapat tunjuk ajar daripada Jeff McBride semasa mengadakan persembahan di Shenzhen, China.
Lebih menarik, pendedahan yang diberikan secara tidak langsung oleh Jorrin kepada adik-adiknya yang mengikutinya ke serata lokasi persembahan telah mendorong mereka untuk turut mengikuti jejak langkahnya. Antaranya yang menyerlah adalah Gelvin Chee Ka- Shing, 13, yang berjaya memenangi Kejohanan Silap Mata Remaja di bawah 15 tahun dengan mengenepikan 20 orang pesaingnya pada tahun lepas.
Menjadikan ahli silap mata Ann Ha Lim sebagai idolanya, konsep persembahan Gelvin lebih kepada permainan daun terup. Mungkin ia lebih bersifat tradisional namun Gelvin mempunyai pendapatnya tersendiri.
"Hampir kesemua ahli silap mata di dunia mengetahui permainan kad kerana adalah asas dalam mengenali silap mata. Antara yang terkenal seperti Harry Loravne, Juan Tamariz dan Dai Vernon.
"Namun, yang membezakannya adalah kelajuan dan kecekapan masing-masing dalam mengolah permainan kad tersebut sehingga tidak mampu dinampak oleh penonton. Itu yang dinamakan silap mata dan memang mata anda yang silap memandangnya," terangnya yang meminati warna hitam dan putih.
Tambah Gelvin, sekiranya ingin menjadi seorang yang pakar dalam bidang ini, seseorang harus menumpukan kepada satu-satu peringkat terlebih dahulu. Daripada asas memegang kad sehinggalah skil bermain silap mata dengan kad perlu dikuasai terlebih dahulu. Bersikap terburu-buru hanya menyebabkan ilmu yang dipelajari tidak akan dikuasai sepenuhnya seterusnya mengakibatkan seseorang hilang minat.
Tambahnya, ahli silap mata juga bertindak sebagai penghibur ketika melakukan sesuatu persembahan. Bukan sahaja gaya persembahan yang dipertonjolkan malah kebijaksanaan kita berkomunikasi dan peka terhadap sensitiviti setiap penonton juga perlu diambil kira.
Ia secara tidak langsung mencerminkan kredibiliti dan ketrampilan yang ada pada mereka. Kegugupan kita dalam beraksi hanya menimbulkan reaksi hilang semangat dalam kalangan penonton.
"Menjadi seorang ahli silap mata juga bermakna menjadi seorang penghibur. Interaksi dua hala amat diperlukan dan tepukan tangan mereka seolah-olah motivasi menandakan persembahan yang ditonjolkan menarik.
"Malahan, setiap gerakan yang dilakukan adalah perlu bersesuaian dengan iringan muzik yang disusun. Ini semuanya akan menjadikan aksi kita lebih menarik," terang seorang lagi ahli keluarga magis tersebut, Melkin Chee Ka-Seng, 15.
Pandangan tersebut turut diakui oleh adik bongsu dalam keluarga tersebut, Raykinn Chee Ka-Shong. Meskipun baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia silap mata namun aktiviti itu telah dijadikan pemangkin keyakinan dirinya.
"Saya sering meminta kakak dan abang untuk melihat dan menilai persembahan saya sebelum melakukannya di hadapan penonton. Ini bagi mendorong keyakinan dalam diri saya.
"Namun yang penting sentiasa ucapkan terima kasih agar penonton dapat merasakan keikhlasan kita dalam menghiburkan mereka," terangnya yang bercita-cita ingin mengikut jejak kakaknya itu.- KOSMO 26/7/2010