ETIAP hari kelibat wanita berusia 46 tahun itu boleh dilihat di sekitar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Kuala Lumpur. Berbekalkan sebatang kayu yang dijadikan tongkat, wanita itu memulakan pendakian ke puncak yang dikenali sebagai Titian Kanopi.
Pada usia yang hampir mencecah separuh abad, dia kelihatan masih gagah dan cergas. Kakinya pantas melangkah di laluan berbatu dan berbukit itu. Pokok-pokok hutan yang menjulang tinggi memberikan suasana redup di sekelilingnya menyebabkan pendakian sejauh 500 meter itu tidak begitu memenatkan.
Sebaik tiba sebuah kawasan lapang berhampiran pintu masuk ke Titian Kanopi, wanita itu berehat seketika. Sambil mengesat peluh yang membasahi dahi, dia melakukan beberapa aktiviti regangan.
“Hai untie. Selamat pagi, hari ini ada baik kah?” tegur seorang petugas di kaunter.“Biasa saja la. Hari ini awak nampak sibuk, sebab pagi-pagi lagi pelancong sudah datang melawat ke sini,” jawabnya ramah.
Bagi Tracy Lim, dia sudah mengenali kebanyakan petugas di situ. FRIM seakan-akan sudah menjadi rumah keduanya sejak lebih 10 tahun yang lalu. Sama ada ditemani keluarga atau datang bersendirian dia tidak pernah jemu melakukan pelbagai aktiviti riadah yang disediakan.
Selain menjelajah hutan satu hingga dua jam sehari, adakalanya dia berjoging atau mengikuti kelas Tai Chi atau kelas Chiqong yang diadakan. Kebetulan, rumahnya di Selayang Jaya hanya terletak beberapa kilometer dari FRIM.
“Saya suka datang ke sini kerana keindahan alam semula jadinya. Di peringkat usia begini, beriadah penting untuk saya kekal cergas.
“Lagi pun suasananya begitu tenang dan mendamaikan. Setiap hari saya berpeluang bertemu rakan-rakan lama, menghirup udara segar dan nyaman membuatkan fikiran saya sentiasa tenang,” katanya yang merupakan suri rumah.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1929, FRIM menjadi salah sebuah institusi penyelidikan perhutanan tropika terulung di dunia. Ia terletak di kawasan seluas 485 hektar di Hutan Simpan Bukit Lagong, Kepong.
Pada Februari 2009, ia diwartakan sebagai Taman Warisan Semulajadi di bawah Akta Warisan Kebangsaan (Akta 645). Dianggarkan terdapat kira-kira 15 juta pokok terpelihara di situ dan dibahagikan kepada 2,500 spesies yang berlainan.
Berbanding sedekad lalu, kawasan itu kini sudah banyak berubah. Kemudahan infrastruktur dan prasarana menyebabkan ia menjadi tumpuan di kalangan warga kota melakukan pelbagai aktiviti riadah.
Kedudukannya yang terletak kira-kira 30 minit dari pusat bandar raya menjadikannya popular bukan sahaja di kalangan pengunjung tempatan malah, pelancong asing yang mahu menikmati kepelbagaian serta keunikan flora dan fauna di dalamnya.
Bagi mereka yang baru pertama kali ke sini, tidak sah sekiranya tidak mencuba pengalaman penjelajahan ke puncak pokok di Titian Kanopi. Terletak di antara puncak Bukit Lagong dan Bukit Hari, laluan sepanjang 150 meter itu dibina pada 1992 dengan ketinggian 30 meter.
Dengan sedikit bayaran, pengunjung berpeluang melihat keindahan panorama yang terdapat di sekelilingnya. Di sepanjang laluan itu terdapat tiga pondok yang disediakan untuk pengunjung berehat dan merakamkan detik-detik indah. Jika bernasib baik, pengunjung mungkin dapat melihat aksi nakal beberapa spesies monyet dan burung liar yang terbang bebas di udara.
Di samping itu, terdapat juga denai yang disediakan khusus untuk mereka yang menggemari aktiviti menjelajah hutan. Antaranya ialah Denai Salleh sejauh 1.5 kilometer (km), Denai Keruing (1.5 km), Trek Rover (tiga km) dan Denai Engkabang (satu km).
Di sini, terdapat pelbagai spesies pokok hutan hujan tropika yang hidup subur antaranya ialah merbau atau nama saintifiknya Intsia Palembanica, kapur (Dryobalanops spp), meranti merah tua (Shorea spp), keranji (Dialium spp) dan banyak lagi.
“Hampir seluruh spesies pokok-pokok yang terdapat di hutan di Semenanjung Malaysia terdapat di sini. Sebab itu, ia sering menjadi tumpuan para saintis dari dalam dan luar melakukan pelbagai kajian dan penyelidikan,” kata Ketua Unit Pengurusan Korporat, FRIM, Norhayati Nordin.
FRIM lebih daripada sebuah institut penyelidikan perhutanan kerana ia juga menjadi 'sahabat' hutan kepada ramai pencinta alam.
Katanya, salah satu lokasi yang wajib dikunjungi ialah Crown Shyness. Populariti lokasi itu menyebabkan krew daripada siri dokumentari National Geographic juga pernah mengadakan penggambaran di sini beberapa tahun lalu.
Sebaik sahaja mendongak kepala ke atas himpunan pokok-pokok kapur setinggi 20 hingga 30 meter itu, mata terpaku melihat keunikan kanopi rimbunan daun-daunnya yang seakan-akan membentuk sebuah jigsaw puzzle. Cahaya matahari yang mula meninggi dan memasuki celah-celah daun membolehkan pengunjung melihat fenomena luar biasa itu dengan lebih jelas.
“Peliknya, hanya di laluan ini sahaja terdapat fenomena sebegini dan mungkin pertama seumpamanya di dunia. Tidak hairanlah ia begitu popular dan menjadi tarikan utama pengunjung ke sini,” jelasnya.
Menurut Norhayati, pengunjung juga boleh berkelah sambil bermandi-mandi di Sungai Kroh yang mengalir masuk ke kawasan ini.
Selain kemudahan tempat letak kereta yang luas terdapat beberapa wakaf yang boleh disewa di samping kemudahan gerai-gerai makanan dan minuman untuk menjamu selera.
Salah satu lokasi lain yang boleh dikunjungi ialah Taman Botani, Kepong. Di sini pengunjung akan berpeluang untuk mengenali beberapa tumbuhan herba di taman itu.
“Kebanyakan rakyat Malaysia tahu tentang khasiat herba seperti kacip fatimah dan tongkat ali tetapi tidak ramai yang tahu bagaimana rupa fizikal tumbuhan herba tersebut. Di taman ini pengunjung akan dapat melihat sendiri tumbuhan herba tanpa perlu meredah hutan tebal, malah ia lengkap dengan papan petunjuk yang tertera nama saintifik,” katanya.
Pengunjung ke sini juga boleh melihat keunikan seni bina beberapa rumah tradisional Melayu yang dipamerkan seperti Rumah Tradisional Terengganu dan Rumah Melaka.
Bagi penggemar-penggemar aktiviti lasak basikal bukit, terdapat laluan khusus yang disediakan bagi tujuan itu.
Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan kawasan berkhemah di Kem Perah kepada pengunjungyang ingin merasai suasana bermalam di situ.
“Selain lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti calet, tandas, kami juga menawarkan beberapa aktiviti menarik seperti ekspedisi jelajah malam yang pasti menjanjikan pengalaman mengujakan,” katanya yang memberitahu hanya 250 pengunjung dibenarkan melawat ke kawasan itu setiap hari.
Sementara itu, seorang pelancong dari Poland, Blechstein, 51, memberitahu dia teruja walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki ke situ. Menurutnya, kawasan itu umpama muzium hidup yang menyimpan pelbagai khazanah hutan dan tumbuh-tumbuhan seperti paku pakis, kulat, buluh, konifer, monocot dan lain-lain yang jarang dapat dilihat.
“Apabila anda menjejakkan kaki ke dalam kawasan ini, anda seolah-olah berada dalam hutan hujan khatulistiwa yang sebenar.
“Terdapat pokok-pokok menjulang tinggi sehinggalah tumbuhan rendah bak lantai hutan terdapat di sini. Ia ibarat sebuah penerokaan ke alam semula jadi yang lengkap,” katanya yang pernah melawat hutan di beberapa negara seperti Thailand dan Amerika Syarikat sebelum ini.
Seorang lagi pelancong dari Jerman, Werner, 55, berkata, selain menjadi tempat riadah kawasan ini mampu menanamkan rasa kecintaan terhadap pentingnya usaha pemuliharaan alam sekitar kepada pengunjung khususnya kanak-kanak.
“Adalah amat penting kawasan seperti ini dikekalkan bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan supaya semua spesies hutan dapat didokumentasikan untuk generasi akan datang.
“Perlu juga diingat, hutan adalah antara elemen penting dalam mengimbangi ekosistem alam,” katanya.