Thursday, September 16, 2010

Menara Eiffel terima panggilan ancam bom

PARIS: Pengunjung dan pelancong diarah meninggalkan Menara Eiffel dan kawasan sekitarnya semalam selepas pihak berkuasa menerima satu panggilan ancaman bom di lokasi pelancongan terkenal dunia itu.
Bagaimanapun, pakar bom yang membuat pemeriksaan menyeluruh tidak menemui sesuatu yang mencurigakan sekali gus menyebabkan panggilan itu dianggap ancaman palsu. Polis berkata, sebahagian daripada hab pelancongan kedua terbesar di Paris, stesen kereta api bawah tanah Saint Michel berhampiran gereja Notre Dame juga ditutup seketika, selepas menerima ancaman sama.
Stesen itu adalah sasaran serangan pengganas pada 1995 yang menyebabkan lapan orang terbunuh dan ramai yang lain cedera.
Beliau berkata, 2,000 orang diarah meninggalkan kawasan itu ketika polis memeriksa keseluruhan kawasan dan menara setinggi 324 meter itu, selain menyekat laluan di ruang bawahnya.
Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab mengeluarkan ancaman terbabit. Bagaimanapun, panggilan ancaman bom itu berlaku selepas ketua agensi perisikan Perancis dilaporkan berkata minggu ini bahawa risiko serangan pengganas di Perancis semakin meningkat.
Bernard Squarcini memberitahu akhbar Le Journal du Dimanche bahawa sejarah Perancis sebagai negara penjajah di Afrika Utara, kehadiran tenteranya di Afghanistan dan langkah mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam, menjadikan negara itu sasaran utama kumpulan Islam radikal.
Perancis meluluskan undang-undang mengharamkan pemakaian purdah awal semalam tetapi tiada sebarang isyarat menunjukkan wujud ancaman terhadap lokasi pelancongan itu mempunyai kaitan dengan kelulusan itu.
Pada masa sama, pemimpin nombor dua pergerakan al-Qaeda, Ayman al-Zawahri mengecam undang-undang itu dan berkata keputusan diambil adalah diskriminasi ke atas wanita Islam. – AP