Saturday, September 18, 2010

Laluan sengsara di Mera Peak

Oleh KHALID YUNUS
MERA Peak merupakan satu daripada 18 puncak gunung yang popular di banjaran Gunung Himalaya, Nepal. Pada musim mendaki setiap tahun (Mac hingga Jun) dianggarkan 700 pendaki tiba dari seluruh dunia untuk mengejar impian.
Namun tidak semua yang berjaya menakluk rabung dunia setinggi 6,476 meter itu kerana cabaran dan risiko serangan penyakit akut gunung (AMS). Penulis bersama enam pendaki Projek Everest 2011 baru-baru ini berpeluang menjejakkan kaki ke Mera Peak yang merupakan sebahagian daripada latihan pendakian gunung salji.
Unutk ke puncak bersalji itu ada dua pilihan iaitu laluan Lukla dan Phaplu. Kumpulan kami akhirnya bersetuju memilih laluan dari Phaplu yang lebih jauh dan mencabar berbanding Lukla. Perjalanan memakan masa 11 hari merentasi 16 buah kampung Sherpa.
Daripada kawasan kampung, perjalanan mula memasuki hutan tropika sebelum melepasi kawasan berbatu tinggi dan curam yang merbahaya.
Perjalanan bertambah sukar ketika menyusuri sungai yang penuh dengan batu. Berjalan di atas batu-batu itu menuntut kami lebih berwaspada. Jika terpijak batu yang longgar dan licin pasti ada yang tersungkur.
Pendakian semakin tinggi dan kesan AMS mula dirasai sebaik sahaja tiba di Khare Base Camp Mera Peak yang berada pada paras 5,000 meter dari paras laut. Kandungan oksigen dirasakan mula berkurangan dan cuaca silih bertukar. Panas di sebelah pagi, mendung pada tengahari dan berangin sejuk.
Pada peringkat itu, bibir mula membeku dan retak manakala muka mula sembab dan terbakar. Selera makan makin berkurangan dan kepala mula pening. Lebih teruk lagi ada hidung yang mula berdarah.
Dalam situasi segetir itu, Jalur Gemilang menjadi satu-satunya pembakar semangat. Lagu Negaraku pula dinyanyikan setiap pagi dengan iringan doa selamat. Ada yang menangis dan kebingungan kerana ragu untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh ketika itu.
"Jangan menangis dan kita cuba teruskan pendakian. Harungi semua cabaran selagi terdaya," ujar penulis kepada rakan-rakan.
Pendakian dari Base Camp ke High Camp setinggi 780 meter cukup mencabar. Sebaik sahaja tiba di Crampon Point para pendaki terpaksa memakai kasut crampton untuk pendakian salji dan ais.
Berjalan di atas salji dan ais menyebabkan cepat penat kerana perlu berhati-hati untuk mengelakkan terperosok ke dalam rekahan ais.
Pendakian ke High Camp memakan masa enam jam. Pendaki kumpulan, Zainul Fikri, terdampar diserang AMS. Manakala yang lain terbaring akibat kepenatan melampau. Namun dengan semangat yang membara, Zainul tetap menyatakan hasratnya untuk mendaki.
Di suatu ketika, seorang pendaki mahu turun dan mengalah. Namun nasib menyebelahinya kerana perjalanan hanya tinggal satu jam menurut kata Sherpa.
Selepas lima jam setengah mendaki, semua pendaki sampai ke puncak. Matahari ketika itu bersinar terang dengan awan berarak menutupi langit.
Ketika di puncak saya sempat melaungkan azan. Tanda kesyukuran kami kepada tuhan yang mengizinkan cita-cita kami. Ketika itu, ramai yang menitiskan air mata.
Dalam perjalanan turun, nasib malang sekali lagi menimpa Zainul. Serangan AMS kali itu lebih teruk sehingga dia meracau dan membuat pelbagai isyarat tidak menentu.
Seorang lagi pendaki mengalami muntah namun masih mampu berjalan. Zainul Fikri kemudian dipapah sehingga ke High Camp. Sebaik sahaja sampai, beliau diberikan oksigen. Kandungan oksigen pada masa itu tidak sampai 40 peratus. Beliau dipapah dan memakai oksigen sehingga ke Base Camp. Pendakian turun memakan masa hampir enam jam.
Itu merupakan kali kedua Zainul ditimpa nasib malang selepas diserang penyakit buta salji semasa pendakian Island Peak (Himalaya).
Pendakian turun kemudian memakan masa tiga hari dan bukan mudah. Pendaki terpaksa merentasi laluan berbatu besar yang tinggi dan menyusuri tepian sungai yang cukup memenatkan.
Di saat-saat akhir perjalanan sejauh 180 kilometer itu, ketibaan kami disambut deruan air sungai dan tumbuhan bunga pelbagai warna yang memberi kelegaan dan ketenangan kepada setiap daripada kami.