Sunday, December 26, 2010

Pendaki solo perlukan RM250,000 untuk catat rekod dunia

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Pendaki solo negara, Mohd Noor Mat Amin memerlukan perbelanjaan sebanyak RM250,000 untuk cabaran terbaru beliau yang bakal mencatatkan rekod dunia iaitu pendakian solo tangga di Menara Kuala Lumpur tahun depan.
Beliau, yang juga jurugambar Utusan, berkata, berikutan kesukaran untuk mendapatkan penajaan bagi membiayai program itu, cabaran yang sepatutnya diadakan pada 9 dan 10 Oktober lepas, terpaksa ditunda kepada 2 hingga 3 Februari 2011.
"Bagaimanapun, program ini terpaksa ditunda sekali lagi kepada 16 hingga 17 April 2011 kerana sehingga kini masih tiada pihak yang mahu menaja, walaupun kecewa saya akur dan tetap meneruskan latihan,” katanya di sini hari ini.Mohd Noor, 43, sebelum ini pernah memecahkan rekod negara dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records bagi cabaran mendaki sebanyak 50 kali Gunung Kinabalu secara solo selama 60 hari pada 10 Julai hingga 10 September 2007.
Beliau juga pernah mencipta rekod pendakian sebanyak 30 kali Menara Kuala Lumpur dalam tempoh tiga hari pada 1 hingga 3 Februari 2008.
Terbaru Mohd Noor berjaya mendaki sebanyak 111 kali Gunung Kinabalu pada 31 Disember 2009 hingga 20 April 2010. – Bernama