Thursday, May 12, 2011

21 kali tawan Gunung Everest

KATHMANDU: Seorang pendaki warga Nepal berusia 51 tahun menawan Gunung Everest buat kali ke-21 memecahkan rekod peribadinya dari segi jumlah kejayaan menjejakkan kaki di puncak gunung tertinggi dunia itu.
Sherpa Apa tiba di puncak berkenaan jam 9.15 pagi (11.45 waktu Malaysia) semalam.
‘Dia bersama-sama lima pendaki lain meninggalkan Kem Empat malam tadi (kelmarin) dan semuanya berjaya tiba di puncak,” kata jurucakap syarikat ekspedisi Asian Trekking Private Limited, Ang Tshering Sherpa.
Sherpa Apa yang digelar ‘Super Sherpa’ mencatatkan kejayaannya selepas tragedi awal minggu ini apabila bekas Menteri Luar Nepal, Shailendra Kumar Upadhayaa, 82, mati ketika cuba menjadi orang paling tua mendaki gunung berkenaan.
Uphadhaya mati petang Isnin lalu, beberapa jam selepas tiba di Kem Satu dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai keupayaan golongan tua.
Pendaki paling tua pernah berjaya mendaki hingga ke puncak Everest ialah Min Bahadur Sherchan, yang dilakukannya pada usia 76 tahun tiga tahun lalu.
Kira-kira 3,000 orang berjaya menawan Everest yang setinggi 8,848 meter sejak Edmund Hillary and Tenzing Norgay menjadi orang pertama berbuat demikian pada 1953. Sherpa Apa mengetuai Ekspedisi Eco Everest 2011 yang berhasrat mengutip empat tan sampah menerusi program ‘Wang Tunai untuk Sampah.’ Program itu dibiayai oleh sebuah syarikat pendakian swasta.
Kali pertama dia tiba di puncak gunung itu ialah pada 1990.
“Jika pendakian saya untuk mempromosi dan melindungi gunung itu, saya sentiasa bersedia untuk mendakinya,” katanya.
Musim mendaki Everest bermula hujung April dan Mei apabila tempoh singkat antara musim bunga dan panas menawarkan keadaan terbaik untuk pendakian. - AP