KUALA LUMPUR 4 Mei - Pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin mencabar generasi muda supaya mengikut jejaknya dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dan pada masa yang sama mencabar kemampuan mental dan fizikal masing-masing.
Mohd. Noor yang merupakan jurugambar Utusan Malaysia berkata, walaupun sudah berumur 44 tahun, semangat juang sebagai anak Malaysia yang mahu menaburkan jasa kepada negara masih tinggi dan membara.
"Kegagalan percubaan pertama mendaki tangga Menara Kuala Lumpur selama 24 jam tanpa henti pada tahun lalu akibat kecederaan kaki tidak melunturkan semangat saya untuk terus merealisasikan impian itu tahun ini.
"Bagi memecahkan rekod 70 kali pendakian melalui 2,058 anak tangga sejauh 19,400 meter, saya kini sibuk menjalani latihan intensif setiap masa di Bukit Broga, Semenyih, tangga Batu Caves dan juga di tangga pangsapuri setinggi 10 tingkat di Bandar Baru Bangi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelasnya, latihan secara intensif itu bertujuan menguatkan fizikal dan mental sebagai persediaan menghadapi pendakian yang amat mencabar itu nanti.
Pada 16 Jlai ini, beliau bakal melakukan sekali lagi Misi Pendakian Tangga Berketinggian Menegak Dalam 24 Jam di menara kelima tertinggi di dunia itu bagi melakarkan nama di dalam Guinness World of Records.
Rekod Guinness World of Records dalam kategori itu kini dipegang oleh pendaki Switzerland, Klurt Hess yang mendaki dan menuruni tangga Menara Esterli, Switzerland setinggi 45 meter sebanyak 413 kali sejauh 18,585 meter pada 2007.
Sebelum ini, Mohd. Noor telah berjaya mencipta rekod dengan melakukan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari bermula 31 Disember 2009 dan berakhir 9 Mei lalu.
Rekod pendakian beliau terdahulu adalah pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo Tanpa Henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).