Sunday, September 7, 2008

pendaki solo terus cipta rekod

Pendaki solo negara yang juga jurugambar akhbar Utusan Malaysia, Mohd Noor Mat Amin terus cemerlang bila diiktiraf sebagai pendaki tangga pertama negara yang berjaya melakukan sebanyak 20 kali dalam tempoh 24 jam pada 27 Ogos lalu.

Kejayaan beliau melakukan pendakian tangga Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter telah mendapat pengiktirafan dan dimasukkan ke dalam The Malaysia Book of Records sebagai pendaki pertama melakukan pendakian sebanyak 20 kali dalam tempoh 24 jam.

Beliau telah memulakan pendakian pukul 12 tengahari pada 27 Ogos dan tamat pada pukul 2 petang keesokkan harinya dengan melalui sebanyak 2,058 anak tangga iaitu paras tertinggi Menara Kuala Lumpur.

Dalam setiap pendakian naik dan turun itu, Mohd Noor telah melalui sebanyak 4,116 anak tangga, ini kerana setiap kali naik dan turun tangga ke bawah baru dikira sekali pendakian.

Secara keseluruhannya, Mohd Noor telah melalui ketika naik dan turun sebanyak 82,320 anak tangga dalam 20 pendakian dalam tempoh 24 jam.

Pendakian tangga menara Kuala Lumpur itu merupakan siri terakhir dalam program Pendakian Merdeka 2008 sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 51 tahun yang dilakukan oleh Mohd Noor bersama anaknya pendaki termuda negara, Muhammad Syahrulnizam, 4 tahun yang juga pemegang rekod pendaki termuda Menara Kuala Lumpur yang dilakukannya pada 6 Jun lalu.

Sebelum ini, beliau bersama Muhammad Syahrulnizam turut membuat pendakian sebanyak 51 kali di Menara Pelita Kuching Sarawak, Menara Tun Mustapha Kota Kinabalu Sabah, Menara Alor Star Kedah, Felda Residence Kuala Terengganu dan berakhir di Menara Kuala Lumpur.

Pendakian Merdeka 2008 dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, Kelab Rekreasi Kota dan Menara Kuala Lumpur dengan sokongan Sarawak Incoperated, Kumpulan Yayasan Sabah, Menara Alor Star, Felda dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Sijil The Malaysia Book Of Record telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail sabri Yaakob yang juga penaung program pada majlis pelancaran KL Tower International Base Jump pada 30 Ogos lalu.

Sepanjang pendakian itu dilakukan, kebanyakan orang ramai khususnya golongan belia yang telah tampil berjumpa dengan pendaki solo bertujuan untuk mendapatkan bantuan bagaimana cara untuk melakukan cabaran lasak dan seterusnya mencipta rekod demi negara.

Mohd Noor bersedia memberi apa jua bantuan dan sokongan yang diperlukan bagi menjayakan apa jua cadangan dan cabaran yang hendak dilakukan khususnya golongan belia pada masa akan datang demi memertabatkan nama negara dipersada dunia.

Maklumat lanjut mengenai program akan dating dan cadangan boleh layari blog pendaki solo http://pensolo.blogspot.com atau email pendakisolo@gmail.com