Monday, August 30, 2010

Ribuan lari gunung berapi meletus

JAKARTA - Sebuah gunung berapi di Pulau Sumatera, Indonesia meletus buat pertama kali dalam tempoh 400 tahun semalam. Gunung itu mengeluarkan asap dan debu ke udara sekali gus menyebabkan ribuan penduduk bertindak menyelamatkan diri dengan meninggalkan rumah masing-masing.
Menurut beberapa pegawai, pemerintah Indonesia mengeluarkan satu amaran selepas Gunung Sinabung itu meletus dan menyebabkan kawasan di sekitarnya diselubungi asap hitam.
Setakat ini tidak ada sebarang kecelakaan sama ada melibatkan kematian atau kecederaan dilaporkan kepada pihak berkuasa.
"Ia amat berbahaya. Justeru kami meningkatkan amaran ke peringkat paling tertinggi atau amaran merah," kata Ketua Pusat Amaran Gunung Berapi Indonesia, Surono.
"Dari kawah itu, gunung itu menghaburkan asap dan debu 1,500 meter ke udara," tambahnya.
"Pada mulannya, kami menganggap debu dan asap itu berlaku akibat hujan tetapi kini kami tahu tekanan yang menyebabkan ia berlaku adalah daripada magma," jelas Surono.
Dia berkata, Gunung Sinabung yang setinggi 2,460 meter di utara Sumatera itu tidak pernah meletus lebih 400 tahun tetapi ia kini menunjukkan tanda-tanda letusan.
Kira-kira 9,300 orang sudah dipindahkan dari beberapa buah kampung ke bandar-bandar termasuk di Berastagi dan Kabanjahe.
"Debu itu tersebar pada jarak sehingga 30 kilometer dari gunung berapi. Ramai penduduk kampung yang dipindahkan itu adalah petani," jelasnya. - AFP

Saturday, August 21, 2010

Tujuh ekor cicak tokek ditemui


BALIK PULAU 20 Ogos - Bukan seekor tetapi tujuh ekor cicak besar atau dikenali sebagai tokek ditemui dua pekerja kontrak di Bukit Teluk Bahang berhampiran Taman Negara Pulau Pinang dekat sini sejak sebulan lalu.
Menurut Syafiz Abdul Shomad, 26, dia menemui cicak itu bersama rakannya, Aiman Alias, 25, secara tidak sengaja semasa mereka menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan bukit tersebut bulan lalu.
Kata Syafiz, pada mulanya mereka hanya menemui seekor cicak tokek sederhana besar seberat kira-kira 250 gram yang ketika itu berada di atas dahan pokok yang ingin dicantas mereka.
''Kami melihat cicak ini amat menarik dan unik kerana bintik-bintik merah yang terdapat pada kulitnya dan dia amat berbeza daripada cicak biasa lalu kami berusaha menangkapnya.
''Walaupun cicak ini nampak jinak, sebenarnya ia bergerak sangat laju dan amat sukar untuk ditangkap,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Terang di sini, hari ini.
"Selepas berjaya ditangkap kami cuba mencari maklumat di Internet dan tidak sangka cicak ini adalah cicak tokek yang didakwa mampu mengubati pelbagai penyakit berbahaya termasuk melawan HIV dan AIDS yang harganya mencecah jutaan ringgit sekilogram," katanya.
Menurutnya, selepas mengetahui khasiat dan nilai cicak tersebut yang dikatakan boleh mencecah jutaan ringgit, dia bersama rakannya kemudian cuba mengesan kemungkinan terdapat cicak tokek lain di kawasan berkenaan.
Kawasan tersebut, kata mereka, dikatakan sesuai sebagai habibat cicak tokek kerana ia sejuk dan tidak terganggu dengan kegiatan pembangunan.
Katanya, usaha keras hampir tiga minggu berulang alik ke hutan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila enam ekor lagi cicak tokek berjaya ditemui termasuk yang paling besar seberat 350 gram dengan panjangnya kira-kira 30 sentimeter.
"Cicak tokek ini mendapat permintaan yang tinggi dari negara seperti China dan Jepun," ujarnya.
Justeru, menurut Syafiz, dia dan rakannya berhasrat untuk menjual haiwan itu. Bagi yang berminat boleh hubungi 012-4619676 (Syafiz) dan 013-4521642 (Aiman). Utusan Malaysia 21 Ogos 2010)

Friday, August 20, 2010

Tubuh jadi medan magnet

BEBERAPA objek melekat pada muka Brenda Allison.
LONDON - Seorang wanita Britain, Brenda Allison mendakwa, banyak objek logam melekat pada tubuh badannya selama beberapa minit seperti medan magnet, lapor sebuah akhbar semalam.
Ibu seorang anak itu yang bertugas sebagai pengurus akaun berkata, tarikan magnet badannya turut menyebabkan dia boleh menyalakan mentol lampu, membunyikan penggera kereta dan membuka mesin tunai kedai.
Doktor-doktor yang melakukan pemeriksaan berkata, kuasa magnet pada Allison, 50, disebabkan oleh tekanan tinggi pada dirinya sendiri dan mereka menasihatkannya supaya dia mengurangkan tekanan.
"Benda logam mudah melekat di kawasan bertulang dari bahagian berotot menyebabkan ramai orang yang pernah ketawa apabila melihat saya," katanya. - Agensi

Wednesday, August 18, 2010

Ekonomi Malaaysia melebihi 6.0 peratus pada 2010

18/08/2010 9:21pm
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka melebihi 6.0 peratus tahun ini, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Ia berdasarkan angka pertumbuhan kukuh yang direkodkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini meskipun ekonomi maju mencatatkan pertumbuhan yang perlahan, kata Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Bank Negara memantau kelembapan ekonomi yang perlahan itu, katanya, dan menambah ia yakin ekonomi akan terus berkembang pada separuh kedua tahun ini.
Momentum pertumbuhan pada separuh pertama 2010 melantun kepada 9.5 peratus daripada - 5.1 peratus dalam tempoh yang sama pada 2009.
"Berdasarkan pertumbuhan yang kukuh yang kita alami pada separuh pertama tahun ini, kami yakin ekonomi akan terus berkembang pada separuh kedua meskipun persekitaran yang mencabar dengan pertumbuhan ekonomi maju, yang merupakan rakan dagang kita, semakin perlahan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan KDNK bagi suku kedua tahun ini, di sini hari ini.
Ditanya sama ada ia merupakan unjuran baharu oleh bank pusat itu, Zeti berkata: "Tidak ada unjuran, sekadar menyatakan itulah angka yang dijangkakan berdasarkan apa yang kita lihat setakat ini.
"Kami tidak menjangkakan kemelesetan dalam ekonomi maju, namun tahap pertumbuhannya perlahan," katanya yang menambah, risiko momentum pertumbuhan global menyederhana semakin meningkat susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap krisis hutang negara dan perancangan penyepaduan fiskal di beberapa negara maju.
Beliau berkata, unjuran pertumbuhan sebenar akan diumumkan pada Bajet 2011 Oktober ini.
BNM sebelum ini mengunjurkan KDNK bagi 2010 akan berkembang antara 4.5 dan 5.5 peratus.
Zeti berkata, untuk masa depan, permintaan domestik yang memain peranan penting dalam ekonomi Malaysia kini, dijangka kekal kukuh, diperkukuh dengan permintaan sektor swasta yang pesat.
Mengenai Ekonomi Malaysia beliau berkata, ia kukuh, disokong oleh sistem kewangan yang padu, mudah tunai yang banyak dan akses mudah kepada pembiayaan.
Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), Zeti berkata: "Kami menjangkakan kemasukan FDI akan terus kukuh.
"Ini diperkukuh menerusi usaha kerajaan untuk meningkatkan proses perniagaan bagi syarikat yang datang ke Malaysia," kata Zeti, dan menambah, dagangan antara ASEAN juga meningkat. - Bernama

Tuesday, August 17, 2010

BERHENTI NAFAS SETIAP KALI TIDUR

GAMBAR menunjukkan Liam Derbyshire menggunakan alat menyedut udara semasa tidur.
--------------------------------------------------------------------------------
FAREHAM, Britain - Seorang budak lelaki, Liam Derbyshire akan berhenti bernafas setiap kali dia tidur, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia menghidap sejenis penyakit yang dikenali sebagai sumpahan Ondine menyebabkan dia perlu menggunakan mesin sokongan hayat semasa tidur di rumahnya.
Keluarganya dari Gosport, Hampshire membelanjakan ribuan pound untuk membayar bil elektrik disebabkan penggunaan mesin berkenaan.
Menurut Dr. Garry Connett yang merawat Liam di Hospital Besar Southampton: "Ia sesuatu yang amat ganjil. Liam merupakan pesakit pertama saya kesan menghidap penyakit itu sejak saya bertugas di hospital ini 12 tahun lalu."
Liam mempunyai alat penyedut udara berkuasa bateri yang diletakkan di dalam kereta dan dibawa menaiki pesawat sebagai persediaan jika dia tertidur. - Agensi

Monday, August 16, 2010

Peraturan pekerja ‘part time’ dikuatkuasakan 1 Oktober

16/08/2010 1:57pm
JASIN 16 Ogos - Kerajaan akan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Okt. ini yang memberi jaminan faedah tertentu kepada orang ramai yang bekerja separa masa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S.Subramaniam berkata, peraturan itu, yang telah diwartakan baru-baru ini, adalah bagi memastikan hak dan perlindungan pekerja separa masa daripada segi terma pemburuhan lebih jelas dan menyeluruh.
Peraturan tersebut mengandungi formula yang menentukan pembayaran gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia di Dewan Alamanda Jasin di sini hari ini.
Subramaniam berkata peraturan baru ini akan memberi jaminan faedah kepada 6.5 juta orang seperti suri rumah, ibu tunggal, pesara, orang kurang upaya dan pelajar institusi pengajian tinggi yang ingin bekerja secara separa masa. - Bernama

Remaja 16 tahun jadi jutawan muda

CHRISTIAN OWENS menjadi jutawan dalam usia baru 16 tahun selepas memulakan perniagaan Internet dua tahun lalu.
NORTHAMPTON - Seorang remaja sekolah di Britain, Christian Owens mencipta sejarah apabila dia berjaya memperoleh kekayaan £1 juta (RM4.9 juta) dalam usia 16 tahun selepas memulakan perniagaannya dua tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang berasal dari Corby, Northamptonshire di sini mula menjalankan bisnes dengan duit poket sendiri pada usia 14 tahun apabila melancarkan laman web Mac Box Bundle yang menjana perolehan £700,000 (RM3.5 juta).
Owens kemudian menubuhkan syarikat iklan menerusi Internet, Branchr pada 2009 yang memperoleh £500,000 (RM2.5 juta) tahun lalu dan kini turut dilanggani firma bidaan ternama, William Hill serta laman sosial MySpace.
Walaupun sibuk, dia hanya aktif selepas waktu persekolahan dan hari hujung minggu namun Owens kini mampu menggaji lapan pekerja, semuanya orang dewasa serta merancang membuka dua cawangan tahun depan.
Dia yang kini tinggal bersama bapanya yang merupakan pekerja kilang, Julian, 50, dan ibunya, Alison, 43, setiausaha sebuah syarikat, mendapat idea menjadi jutawan muda daripada kisah kejayaan Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs. - Agensi

Akhbar dedah gambar curang bintang England

LONDON - Akhbar News of the Worlds semalam mendedahkan gambar-gambar yang menunjukkan bintang pasukan bola sepak England, Peter Crouch dilaporkan 'bermesra' dengan tiga wanita ketika ketiadaan tunangnya, Abbey Clancy.
Sebelum ini akhbar yang sama mendedahkan Crouch, 29, melanggani seorang pelacur remaja Sepanyol, Monica Mint, 19, ketika bercuti di Madrid minggu lalu dengan bayaran £800 (RM3,952) semalam.
Namun, kisah Crouch 'bermanja' dengan tiga wanita itu berlaku di sebuah kelab malam di Perancis pada 7 Julai lalu.
Ketika itu, tunangnya yang dikenali sebagai Abbey, 24, dan juga model pakaian dalam ternama bergegas balik ke London untuk menjadi tetamu siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 bersama pengacara popular, James Corden di stesen ITV1.
Crouch dikatakan mabuk dan menyentuh tubuh seorang jururawat England, Jo Elliott, 27, sebelum mereka bergambar bersama serta berpelukan manja.
Pesta kira-kira pukul 1 pagi itu berterusan dengan Crouch mencium dua lagi wanita berpakaian seksi.
Gambar-gambar yang menunjukkan gelagat Crouch itu dirakamkan oleh seorang pengunjung kelab tersebut yang benci dengan perbuatan bintang berkenaan. - Agensi(kosmo 16 Ogos 2010)

CABARAN GETIR DI HUTAN KEMENSAH

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
SUASANA di sekitar Kampung Kemensah, Hulu Klang dekat Kuala Lumpur pada pagi itu dingin dan lembap. Hujan lebat pada sebelah awal pagi menyebabkan kebanyakan laluan basah dan berlumpur.
Seperti biasa lokasi sekitarnya agak sibuk dengan kenderaan milik penduduk kampung selain pengunjung luar yang datang untuk memancing dan berkelah di kawasan itu.
Bagaimanapun, destinasi yang ingin dituju penulis ialah ATV Adventure Park, satu-satunya kawasan permainan sukan lasak All-Terrain Vehicle (ATV) di Lembah Klang.
Biarpun terletak jauh ke dalam, pemanduan hampit 15 minit tidak begitu dirasakan. Beberapa papan tanda yang diletakkan di sepanjang jalan sedikit sebanyak membantu biarpun bagi yang baru pertama kali ke sana.
Sebaik tiba, penulis dan jurugambar disambut mesra oleh seorang lelaki tinggi lampai dan bertubuh sasa yang juga pemiliknya, Mas Faizil Khan.
Kelihatan beberapa peserta lain yang tiba lebih awal sudah berada di atas ATV masing-masing lengkap dengan topi keselamatan.
"Kita hendak bermula kira-kira 10 minit lagi. Sebelum itu awak kena belajar aspek teknikal dan berlatih menunggang kenderaan ini untuk membiasakan diri," kata lelaki berusia 43 tahun itu kepada penulis.
Penulis mengakui, walaupun sudah biasa menggunakan pelbagai jenis motosikal dan kereta sebelum ini, tetapi menjinakkan ATV tidaklah semudah yang disangkakan. Beberapa kali kenderaan yang dipandu nyaris terbabas dan mati dengan sendirinya sehingga menyebabkan penulis gelisah dan gementar.
Apa yang pasti, ia tidak sekadar memerlukan penulis belajar bagaimana memulas tuil minyak, brek dan gear, tetapi juga menuntut kekuatan mental dan fizikal dalam mengharungi persekitaran yang lasak dan ekstrem.
Apatah lagi pakej yang bakal dilalui nanti merupakan pakej E yang melibatkan trek lasak dan mencabar berbanding pakej-pakej biasa. Lokasi perjalanan dianggarkan mengambi masa lima hingga enam jam meliputi kawasan seluas 20 hingga 25 kilometer persegi di sekitar Hutan Simpan Kemensah meliputi Bukit Tabur, Bukit Lalang dan Dataran Emas.
"Awak semua kena berhati-hati, berdisiplin dan sentiasa ikut arahan yang diberikan jurupandu. Bekas laluan balak yang bakal dilalui nanti agak mencabar dan berbahaya, saya tidak mahu ada di antara peserta yang terlibat dalam kecelakaan," nasihatnya.
Tepat pukul 10 pagi, penulis bersama lima peserta lain memulakan tunggangan. Diketuai oleh seorang jurupandu, Mohd. Saifulazam Aziz, cabaran pertama kami adalah menaiki cerun setinggi 200 meter menuju ke kawasan hutan simpan.
Kedudukannya yang condong 70 darjah memberikan cabaran kepada peserta untuk mengawal ATV masing-masing sebelum sampai ke puncak.
"Ini baru sikit, di atas nanti lagi banyak cerun dan bukit yang kita perlu lalui sepanjang perjalanan ini," kata Saifulazam yang sudah setahun bekerja di syarikat itu.
Ternyata lelaki berusia 23 tahun itu tidak bergurau. Cerun berliku-liku serta gaung yang dalam, beberapa inci saja dari laluan cukup membuatkan setiap peserta kecut perut.
Bagaimanapun, perasaan itu hilang sebaik sahaja melihat panorama flora dan fauna yang mendamaikan di sekelilingnya. Bunyi unggas dan cengkerik yang bersahutan seakan-akan menyambut kehadiran kami.
Sesekali, Saifulazam akan berhenti untuk menebas pokok-pokok buluh yang tumbang dan menghalang laluan kami. Bagaimanapun, halangan semula jadi seperti rentangan akar-akar kayu dan laluan berbatu tidak dapat dielakkan. Di sinilah wujud semangat kerjasama di antara peserta untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
Hujan lebat yang turun secara tiba-tiba melambatkan perjalanan. Laluan becak dan berlumpur menjadi halangan kepada peserta terutama sewaktu menuruni cerun.
Adakalanya tayar ATV masih menggelongsor ke bawah walaupun kedua-dua brek belakang dan hadapan sudah ditarik. Di sini terletaknya kemahiran peserta dalam memastikan kenderaan yang dinaiki tidak terbabas atau berlanggar sesama sendiri.
Penulis turut merasai pengalaman apabila tayar kenderaan tersangkut di dalam selut separas lutut ketika kebanyakan peserta sudah berada jauh di hadapan.
Walaupun sudah puas mencuba pelbagai cara, namun ia gagal dikeluarkan sehingga Saifulazam muncul. Kenderaan penulis ditarik dengan menggunakan tali seperti yang sering dilakukan oleh kenderaan pacuan empat roda (4X4).
Selepas dua jam perjalanan, akhirnya kami tiba di kawasan Empangan Ulu Klang di Bukit Tabur. Sambil melepaskan lelah, kami sempat membasuh muka dan menghilangkan dahaga.
Saifulazam memberitahu, kawasan itu merupakan perkampungan dikenali sebagai Kampung Rengit.
"Masa saya kecil-kecil dulu, kawasan ini masih berpenghuni, ada masjid dan sebagainya. Selepas kerajaan ambil dan jadikan sebuah empangan semua penduduk kampung berpindah, kini ia jadi tempat tumpuan kaki-kaki pancing," kata anak jati Kampung Kemensah itu.
Perjalanan kami diteruskan menuju ke Dataran Emas dan Bukit Lalang. Laluan landai serta dikelilingi kebun-kebun getah memudahkan pemanduan. Dari puncaknya, kelihatan bandar raya Kuala Lumpur yang berdiri megah.
Seterusnya kami dibawa ke Air Terjun Kamisah yang terkenal di situ. Kesukaran mengakses lokasi ini kecuali dengan menunggang ATV atau berjalan kaki membuatkan persekitarannya kekal terpelihara sehingga kini.
Pohon-pohon buluh redup memberi suasana damai di sekelilingnya menyebabkan ada di antara peserta tidak sabar untuk berendam dan membersihkan diri. Air bukit yang mengalir jernih membuatkan badan yang sudah lesu selepas melalui perjalanan jauh kembali bertenaga sebelum meneruskan perjalanan pulang.
Seorang peserta, Zainal Abidin meluahkan berasa bangga dapat menyertai aktiviti itu apatah lagi dalam usia yang mencecah hampir separuh abad.
Lelaki berusia 46 tahun itu memberitahu, aktiviti yang dilakukan mampu meningkatkan keyakinan diri peserta berhadapan cabaran di samping memupuk semangat setiakawan dan kerjasama di antara satu sama lain.
"Ia bukan sekadar pengembaraan biasa, sebaliknya merupakan satu riadah sihat yang sesuai dilakukan oleh semua orang daripada pelbagai peringkat usia.
"Pelbagai halangan yang ditempuhi sepanjang perjalanan membolehkan peserta lebih kreatif. Misalnya, bagaimana untuk melepasi halangan batu besar atau nak memastikan tidak terbabas semasa menuruni cerun berlumpur," katanya yang menetap di Cheras.
Rakannya, Muhammad Faizil Desouza, 29, pula menjelaskan pengalaman menunggang ATV lebih menarik berbanding aktiviti menunggang basikal gunung dan go-kart yang sering dilakukannya sebelum ini.
Ujar pekerja syarikat audit itu, sepanjang pengembaraan dia berasa kagum apabila melihat pelbagai keunikan flora dan fauna yang masih kekal di hutan simpan berkenaan.
"Saya memang suka melihat keindahan alam semula jadi, sebelum ini pun jika mahu beriadah dan menenangkan fikiran saya sering berbasikal di sekitar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia," jelasnya.

London ikut jejak Amsterdam

MENGAYUH basikal di London kini akan lebih selesa, walaupun pada hakikatnya ia mungkin akan menjadi satu pengalaman yang agak menakutkan. Warga London dikatakan bakal melupakan dua kenderaan awam terkenal di kota itu iaitu teksi berwarna hitam dan bas dua tingkat apabila program sewa basikal yang dilancarkan oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson baru-baru ini membolehkan tambahan 6,000 buah basikal disediakan oleh pihak berkuasa.
Melalui inisiatif itu, penunggang dapat menyewa basikal di 400 lokasi terpilih di sekitar bandar raya berkenaan. Johnson memanggilnya sebagai sinar baru untuk berbasikal di ibu kota. Bagaimanapun, sesetengah penunggang basikal veteran melihat kempen tersebut sebagai satu inisiatif yang akan menyebabkan London lebih kacau-bilau.
Tidak seperti di Amsterdam, jalan berbasikal dengan kenderaan lain dipisahkan dalam satu lorong berbeza, sebaliknya pengayuh basikal di London mungkin menyabung nyawa apabila mereka hanya dipisahkan dengan garisan putih daripada ribuan kereta di jalan raya.
Bagaimanapun Jawatankuasa Kempen Berbasikal di London menolak dakwaan mengayuh basikal di London sebagai berbahaya. Ia mungkin menjadi tabiat kebanyakan orang termasuk penunggang basikal. Apabila brek basikal semakin haus, mereka berfikir untuk menyelesaikannya kemudian. Bagaimanapun, apabila basikal yang dikayuh merempuh belakang teksi hitam di persimpangan Gray's Inn Road dan Calthorpe Street, mereka terfikir alangkah baiknya kalau brek itu dibaiki sebelum itu.

Justeru itu kajian Kempen Berbasikal di London mendapati kebanyakan kemalangan yang berlaku bukan kerana kesalahan pemandu lain, sebalik sikap penunggang basikal sendiri.
Jadi, bagi mengelakkan ia terus berlaku penunggang basikal di London dinasihatkan untuk memakai jaket keselamatan yang bercahaya, sarung tangan atau beg galas berwarna kuning terang.
Walaupun pemakaian tersebut kelihatan janggal tetapi ia sekurang-kurangnya mampu menampakkan kehadiran penunggang di jalan raya. Rata-rata kemalangan yang berlaku tidak terlalu serius.
Berdasarkan statistik Jabatan Pengangkutan London, bilangan kematian di antara tahun 1987 dan 2007 tidak banyak berubah iaitu kira-kira 15 peratus setahun meskipun jumlah pengayuh basikal bertambah dua kali ganda.
Menyokong kempen tersebut, Johnson mendakwa kebanyakan pelancong tidak mengetahui bahawa London mempunyai rangkaian terusan yang melalui bahagian tengah dan timur bandar tersebut. Oleh itu, ia boleh menjadi laluan alternatif kepada penunggang basikal.
Sebelum ini lorong-lorong itu amat berguna kepada pejalan kaki atau kereta kuda, bagaimanapun penunggang diberi amaran bahawa tidak mudah untuk mengayuh basikal di laluan blok konkrit.
Setiap penunggang yang melaluinya tidak boleh memecut kerana anda mungkin mudah hilang kawalan.
Ketika waktu tengah hari, ramai yang akan menggunakan laluan tersebut maka, pihak berkuasa mungkin perlu mengehadkan kelajuan.
EMPEN berbasikal di London dikritik sesetengah pihak yang melihat ia agak berbahaya kerana tidak dilengkapi dengan prasarana lengkap seperti Amsterdam.
Penulis sendiri pernah melalui insiden perlanggaran dengan penunggang basikal dari arah bertentangan lorong terusan hingga menyebabkan kecederaan.
Lupakan tanda-tanda jalan ataupun sistem grid kerana rangkaian trafik di London terdiri daripada campuran laluan gaya Rom, zaman pertengahan, zaman abad ke-19 dan lingkaran trafik konkrit moden yang amat mengagumkan.
Ia juga adalah antara yang terpanjang di Eropah iaitu di antara kota dengan kepadatan penduduk yang tinggi. Cuba untuk mengingati tempat-tempat terkenal di kota sepanjang jalan juga merupakan satu cabaran. Lokasi terbabit termasuklah Dataran Leicester, Covent Garden, Oxford Street, Regent Street, Bond Street, Mayfair, Soho dan Trafalgar Square.
Sesetengah yang menunggang basikal bergantung kepada papan tanda untuk mengetahui di mana mereka berada. The River Thames dan The London Eye Ferris Wheel di timur dan bangunan pencakar langit The Gherkin adalah contoh penanda yang bagus untuk digunakan.
Setelah memahami selok-belok jalan dan jalan pintas, mereka yang berbasikal boleh berada di mana-mana sahaja.
Tidak kira sama ada anda tinggal di London untuk tempoh yang lama atau sebagai pelancong, menggunakan basikal untuk aktiviti harian akan memberi kebaikan dari segi ekonomi.
Ini kerana kemudahan di London amat mahal. Misalnya caj sehala yang dikenakan dari Convent Garden ke Hyde Park dengan kenderaan awam lain mencecah AS$6.25 (RM19). Jika pun anda sudah membeli sistem kad diskaun, harga mingguan yang dikenakan berjumlah AS$40 (RM126).
Namun, dengan caj AS$7.85 (RM25) bagi tujuh hari penyewaan atau AS$80 (RM253) untuk keahlian selama setahun nampaknya mengayuh basikal di London lebih menguntungkan. Apatah lagi anda tidak perlu bersesak dengan orang ramai untuk menggunakan kereta api bawah tanah.  Kosmo-16 Ogos 2010

Saturday, August 14, 2010

Akhirnya saksi utama kes Norman muncul

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Seorang saksi perbicaraan kes khalwat pasangan artis, Norman Hakim dan Memey Suhaiza memberitahu dia melihat pelakon lelaki itu cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Muhamad Yusri Abd. Razak, 55, berkata, dalam serbuan pada pukul 2.30 pagi, dua tahun lalu itu, dia melihat kelibat Norman yang berseluar pendek memanjat ke premis atas bangunan berkenaan melalui satu lubang di sebelah ruang legar belakang pejabatnya.
Dalam keterangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini, saksi keenam itu mendakwa, dia menyaksikan kejadian itu dari pejabatnya yang terletak di sebelah pejabat Norman.
Muhamad Yusri yang bekerja sebagai pereka dalaman juga mengakui dia yang membuat aduan mengenai perbuatan pasangan tersebut kepada JAIS.
“Selama lapan bulan, setiap hari saya melihat Memey membawa bantal dan tilam ke pejabat Norman.
“Bagaimanapun niat untuk membuat aduan tersebut saya abaikan disebabkan bekas isteri Norman, Abby Abadi sedang sarat mengandung ketika itu,’’ katanya sewaktu disoal oleh Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi.
Ditanya mengapa dia sanggup memberi keterangan di mahkamah walaupun mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Norman, saksi itu berkata, dia ingin menegakkan kebenaran setelah sekian lama melihat banyak pembohongan dan tipu helah sepanjang prosiding itu berlangsung.
Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, hadir ke mahkamah hari ini.
Terdahulu, sebelum saksi dipanggil, Fakhrul Azman mengemukakan bantahan terhadap hakim syarie, Salehan Yatim yang terus mengendalikan kes itu meskipun kini bertugas sebagai pendakwa syarie di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Salehan bagaimanapun menolak bantahan tersebut kerana beliau berpegang kepada prinsip berlaku adil dan turut memetik ayat 90, Surah al-Nahl yang menyatakan Allah menyuruh berlaku adil dan melarang daripada melakukan perbuatan keji serta kezaliman.
Hakim tersebut juga menyatakan, beliau mendapat arahan dari Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM) untuk menyelesaikan kes-kes tertunggak termasuk kes tersebut yang sudah berlarutan selama dua tahun.
Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey, 21, dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di antara pukul 1.45 pagi dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.
Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi pula dituduh di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pada sebelah petangnya, kesemua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes itu termasuk hakim dan kedua-dua tertuduh sekali lagi melawat ke premis tersebut bagi membolehkan Muhamad Yusri memberikan gambaran dengan lebih jelas tentang kejadian tersebut.
Perbicaraan bersambung 3 September ini. (utusan Malaysia)

Wanita bersuami enam

Oleh ROZIANAH RISMAN
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Jika sebelum ini, golongan lelaki sering dikaitkan dengan kasanova tetapi lain pula berlaku kepada seorang wanita ini yang berwajah cantik dan pandai berkata-kata apabila menggunakan kelebihannya itu untuk tujuan salah.
Berbekalkan kelebihan itu, dia bukan sahaja telah mengahwini enam lelaki berusia antara 23 tahun dan 30-an malah memperdaya mereka untuk mengikis sumber kewangan golongan tersebut.
Akibat merasa diri mereka ditipu, dua mangsa yang mendakwa telah berkahwin dengan wanita itu, tampil membuat aduan di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA hari ini.
Ketuanya, Datuk Micheal Chong berkata, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Jery, 23, dan Jet, 25, mengaku berkahwin dengan wanita yang didakwa sudah mempunyai empat suami lain.
“Kedua-dua mangsa berkenalan dengan wanita itu secara berasingan iaitu melalui iPod dan laman web sosial Facebook.
“Mereka kemudian berjumpa lalu terpikat dengan kecantikan dan kata-kata manis oleh wanita itu,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Katanya, selepas beberapa lama mengenali wanita itu, kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk mengahwininya setelah wanita tersebut membuktikan dirinya telah hamil.
“Kedua-dua mangsa terjerat dengan taktik yang serupa sebelum membuat keputusan untuk mengahwininya iaitu kerana mengandungkan anak mereka.
“Mereka kemudian berkahwin mengikut adat tradisional Cina dan tidak mendaftar perkahwinan secara sah kerana wanita itu tidak mahu berbuat demikian,” ujarnya.
Micheal memberitahu, selepas mendirikan rumahtangga, wanita itu mula mengatur helah untuk melakukan pelbagai bentuk penipuan sehingga ramai lagi yang menjadi mangsa termasuk keluarga dan sahabat terdekat.
“Wanita terbabit memperdayakan suami mereka supaya melibatkan diri dalam skim cepat kaya.
“Jery yang merupakan suami kedua wanita itu telah menyerahkan modal RM15,000 kepada isterinya manakala Jet yang merupakan suami keenam pula mengeluarkan modal sebanyak RM12,000,” katanya.
Tambahnya, isteri mereka turut meminjam duit daripada pihak-pihak tertentu sehingga dikejar oleh pemiutang terbabit.
Tambah menyedihkan Jet, isterinya itu turut memperdayakan rakan-rakannya supaya memasukkan wang ke dalam akaunnya sehingga mencecah RM400,000 tanpa pengetahuannya.
Katanya, banyak penipuan yang telah dilakukan isterinya itu namun kedua-dua lelaki terbabit tidak mengetahui niat buruk wanita dikahwini mereka.
“Perkara itu akhirnya terbongkar apabila mereka menemui keratan akhbar yang menyiarkan kisah penipuan wanita terbabit yang dilakukan sejak 2009.
“Mereka kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Cheras sebelum wanita itu akhirnya ditahan di Kepong, Khamis lalu,” ujarnya dan memberitahu wanita itu turut mempunyai enam anak hasil perkahwinan dengan lelaki-lelaki terbabit.
Berikutan itu, Jerry dan Jet meminta pihak-pihak terlibat memahami situasi mereka yang menjadi mangsa penipuan wanita tersebut.

Friday, August 13, 2010

Aksi berani dua penerjun

LONDON – Seorang jurukamera amatur di Britain merakamkan aksi berani dua penerjun payung terjun dari sebuah kren berhampiran tapak Sukan Olimpik 2012 di bandar raya ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketika kejadian baru-baru ini, jurukamera tersebut, Dan McCurry secara tidak sengaja merakamkan aksi mereka apabila dia bangun pagi untuk mengabadikan imej matahari terbit membelakangi pencakar langit di Stratford Hight Street.
Tanpa pengetahuannya, dua penerjun payung terjun sanggup menyabung nyawa memanjat kren pencakar langit itu bagi melepaskan gian untuk melakukan terjunam.
Dia berjaya merakam aksi penerjun pertama dan kedua yang kemudian mendarat di tepi sebatang jalan raya di sini sebelum menghilangkan diri.
Sukan terjun paracut dilarang di Britain. – Agensi

Khalwat Norman-Memey: Saksi kelima adu kepada JAIS

13/08/2010 11:39am
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Perbicaraan kes khalwat Norman Hakim dan Memey Suhaiza di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini dikejutkan dengan keterangan saksi kelima, Mohd. Yusri Abd. Kasan.
Di dalam keterangannya, beliau mendedahkan bahawa beliau yang melaporkan perbuatan tersebut kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum beberapa hari serbuan dilakukan.
Selain itu, saksi berkenaan, yang juga merupakan jiran Norman, turut mendakwa melihat pelakon berkenaan cuba melarikan diri melalui lubang di pintu belakang pejabatnya ketika penguat kuasa menyerbu pasangan tersebut. – Utusan

Ariel-Tari tonton video porno malam pertama Ramadan

JAKARTA 12 Ogos - Buat kali pertama sejak kes video lucah dilaporkan media Jun lalu, dua suspek utama, Ariel Peterpan dan bekas kekasihnya, Cut Tari, dipertemukan di Ibu Pejabat Polis Jakarta malam tadi.
Kedua-dua selebriti itu diminta menonton video lucah mereka pada pertemuan tersebut, yang merupakan hari pertama Ramadan.
Bagaimanapun, kehadiran Cut Tari di Ibu Pejabat Polis Jakarta, tidak diketahui media.
"Memang ada pertemuan antara Ariel dengan Cut Tari," kata sumber ibu pejabat polis tersebut, hari ini.
Peguam Cut Tari, Hotman Paris Hutapea, hari ini turut mengesahkan pertemuan tersebut, namun tidak menyatakan butiran lanjut.
Beliau berkata, selepas dipertontonkan video lucah tersebut, Ariel tetap tidak mengaku dia ialah individu terlibat, berbeza dengan Cut Tari yang mengakuinya.
Sumber polis berkata, Ariel juga akan dipertemukan dengan kekasihnya, Luna Maya, tetapi tarikhnya masih belum ditentukan.
Sementara itu, Cut Tari ketika ditemui pemberita hari ini berkata, dia sedih dengan tindakan Ariel yang juga mengaku tidak pernah mempunyai perasaan terhadapnya.
"Jika Ariel merasakan dia bukan individu dalam video itu dan tidak pernah mempunyai perasaan terhadap saya, itu hak dia, tetapi saya sangat sedih," kata bekas pengacara rancangan 'Insert' itu.
Hotman dalam pada itu menyifatkan, penyanyi utama kumpulan Peterpan tersebut telah merendahkan martabat wanita selain tidak serius menjalani soal siasat polis. - Agensi

Wednesday, August 11, 2010

Lelaki pertama ikut laluan Amazon

MARAPANIM, Brazil - Seorang warga Britain, Ed Stafford yang berumur 34 tahun mencipta sejarah kelmarin apabila dia menjadi lelaki pertama berjalan di sepanjang Sungai Amazon selama 859 hari termasuk digigit 50,000 nyamuk.
Dia yang merupakan bekas kapten tentera Britain menghabiskan masa selama dua setengah tahun bersama rakan penunjuk arah dari Peru, Gadiel 'Cho' Sanchez Rivera.
"Saya telah diberitahu bahawa saya akan mati. Namun, saya tidak mati. Saya kini berada di sini. Saya membuktikan bahawa jika anda mahukan sesuatu, anda boleh melakukannya," katanya.
Stafford pengsan pada Ahad lalu, kira-kira 85 kilometer daripada lokasi penamat.
Dia menyambung perjalanan selepas berehat selama beberapa jam.
Lelaki itu kemudian berlari ke arah Lautan Atlantik di pantai Crispim, Brazil kelmarin yang merupakan lokasi penamat jelajah Sungai Amazon.
Pada mulanya, Stafford memulakan ekspedisi itu bersama seorang rakan Britain pada 2 April 2008 di selatan Peru.
Selepas tiga bulan berjalan, rakan Britainnya itu menarik diri.
Pada satu ketika di Peru, sekumpulan penduduk orang asli telah memenjarakan dia bersama rakannya itu kerana disyaki menjadi pembunuh sebelum dibebaskan selepas 48 jam ditahan.
Namun, Stafford meneruskan ekspedisi berjalan melalui hutan sebelum menemui Rivera yang berumur 31 tahun dan menemaninya sehingga ke lokasi penamat.
Ekspedisi itu melibatkan kos sebanyak AS$100,000 (RM315,200) yang ditaja oleh beberapa syarikat dan sumbangan.
Sepanjang ekspedisi itu, dia mendapati banyak pokok hutan ditebang sekali gus menyebabkannya memahami lebih mendalam mengenai peranannya untuk melindungi Amazon dan berusaha mengatasi masalah perubahan cuaca. - Agensi

Sunday, August 8, 2010

Usus disumbat cacing

Oleh SHANIKA ABDULLATIB - KOSMO AHAD 8 Ogos 2010

BERCAKAP mengenai jangkitan parasit pada usus, walaupun tidak serius diperkatakan seperti beberapa dekad lalu, ia terus menjadi isu dalam kesihatan orang ramai.
Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, serangan cacing seperti cacing gelang dan cacing kerawit masih wujud.
Tegasnya, bukan sahaja kanak-kanak, ia turut menyerang orang dewasa terutama dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan setinggan dan perkampungan Orang Asli yang mempunyai masalah pembentungan dan saliran serta air bersih.
Menurut Norhayati, masalah cacing boleh menyebabkan anemia yang serius dan kegagalan jantung yang teruk jika tidak dirawat.
“Dengan adanya cacing tertentu di dalam tubuh seseorang, ia mengurangkan selera makan, mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, kehilangan makanan melalui cirit-birit dan muntah serta gangguan metabolisma.
Masalah jangkitan cacing bagaimanapun tidak terhad pada sejenis cacing sahaja. Jangkitan cacing lain yang sering berlaku adalah cacing gelang dan cacing cemeti.
MESKIPUN saiz cacing kerawit kecil, kemampuannya untuk menjejaskan kesihatan tidak boleh dipandang ringan.
“Cacing kerawit misalnya, paling kerap menyebabkan kekurangan darah kerana ia boleh menghisap darah di dalam usus.
Justeru, masalah kurang darah yang kronik boleh mengganggu tumbesaran dan pembelajaran malah pada tahap lebih serius berupaya menyebabkan kegagalan jantung," katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, jangkitan cacing gelang (ascaris lumbricoides) adalah yang paling kerap berlaku iaitu membabitkan 1.22 bilion jangkitan, cacing cemeti (triciuris trichiura) 795 juta jangkitan manakala cacing kerawit (amcylostoma duodenale, necator americanus dan ancylostoma ceylanicum) 740 juta jangkitan.
Daripada jumlah itu, 400 juta kes membabitkan kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran, aktiviti fizikal yang kurang cergas, lemah daya pemikiran dan mengalami masalah pembelajaran.
Serangan cacing di dalam usus ini juga antara penyebab utama sakit abdomen akut di kalangan kanak-kanak di kawasan endemik di negara tropika.
“Kajian status pemakanan di kalangan kanak-kanak berumur satu hingga tujuh tahun mendapati pengambilan zat besi adalah rendah dan ia berkait dengan jangkitan cacing,” tambah Norhayati.
Di samping itu, cacing yang dipindahkan melalui tanah seperti ascariasis dan trichuriasis, bukan sahaja terjadi pada kanak-kanak sekolah malah jangkitan cacing kerawit juga kerap terjadi pada orang dewasa.
“Ia turut berkait rapat dengan masalah buta malam sekiranya kanak-kanak tersebut mengalami infeksi parasit usus,” maklum Norhayati.
Norhayati berkata, larva cacing kerawit juga boleh menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah dan seterusnya masuk ke dalam usus dan meneruskan kitar hidup yang sama.
“Sudah sampai masanya kita mengubah tanggapan bahawa cacing adalah masalah kecil.
“Tanpa pencegahan dan amalan kebersihan, cacing boleh menyebabkan maut jika terjadi masalah usus tersumbat dan tidak dirawat dengan segera,” tegas Norhayati.

Thursday, August 5, 2010

Ubat kuat lelaki memudaratkan - Tiong Lai

05/08/2010 4:51pm
KUALA LUMPUR 5 Ogos — Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan ubat-ubatan tidak berdaftar khasnya ubat kuat lelaki kerana ia mengandungi bahan racun.
Beliau berkata, rata-rata ubat kuat lelaki yang semakin berleluasa dijual di pasaran bercampur dengan bahan-bahan racun seperti sildenafil, tadalafil dan verddanafil yang merupakan bahan aktif perangsang seks lelaki.
Sildenafil, tadalafil dan verdanafil adalah ubat yang digunakan untuk rawatan “erectile dysfunction” yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi dari seorang doktor.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di sini, hari ini beliau berkata, kesan sampingan ubat itu adalah sangat berbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan doktor.
"Adalah tidak berbaloi kepada mereka yang mengambil ubat kuat lelaki kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan dan akan merosakkan badan,” katanya.
Antara kemudaratan ubat itu ialah serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.
Beliau berkata produk-produk mengandungi bahan-bahan aktif perangsang seks lelaki itu juga semakin dipelbagaikan dan mudah didapati dalam bentuk minuman seperti kopi dan ”ice lemon tea”.
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita menghentikan semua perkara mengarut dan penyalahgunaan (ubat) ini di negara ini. Saya memandang serius perkara ini. Jangan suka membeli produk-produk sedemikian.
"Kementerian Kesihatan akan perangi habis-habisan ubat-ubatan, makanan dan minuman kesihatan dan kosmetik yang tidak berdaftar,” katanya. - Bernama

Wednesday, August 4, 2010

Sembilan tukang urut rakyat Thailand ditahan

04/08/2010 1:54pm
SEREMBAN— Polis menahan sembilan wanita rakyat Thailand yang bekerja sebagai tukang urut kerana didapati tiada permit kerja dalam serbuan di sebuah premis pusat urut di Taman Cattleya, Senawang di sini malam tadi.
Kesemua mereka yang berusia antara 29 dan 53 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan dua pegawai dan enam anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pada pukul 9.30 malam.
Ketua Operasi D7 IPK negeri Cif Inspektor Raidah Abidin berkata turut ditahan seorang rakyat tempatan berusia 25 tahun yang merupakan penjaga premis itu.
"Dalam serbuan itu, terdapat tujuh pelanggan lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 50 tahun. Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM2,035 dan dua botol minyak urut.
"Siasatan awal mendapati pusat urut itu telah sebulan beroperasi di situ dan mengenakan bayaran RM37 sejam untuk khidmat urutan badan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua wanita itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban mengikut Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen. - Bernama